12 April, 2013

Hari Terbuka Asrama 2013

Buat julung kalinya, SEMESRA telah menganjurkan Hari Terbuka Asrama 2013 pada 6 April yang lalu. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan pada hari tersebut termasuklah aktiviti membakar lemang, mengacau dodol, pertandingan masakan tradisional, gerai jualan, pertandingan kamar terceria, pameran kesihatan serta kempen derma darah.


Hari Terbuka ini telah dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu En. Shamsuddin bin Mustapha, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusiaan dan Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan yang sekaligus telah merasmikan Hari Terbuka Asrama SEMESRA ini.


Selepas upacara perasmian, hadirin telah dihiburkan dengan persembahan tarian yang menarik daripada kumpulan tarian sekolah iaitu kumpulan Sri Sanggar Minang.


Selain warga SEMESRA, ibu bapa dan orang ramai turut hadir bagi memeriahkan hari terbuka tersebut. Murid-murid dari sekolah-sekolah rendah yang berdekatan juga telah mengambil kesempatan pada hari tersebut untuk melawat kawasan sekolah dan asrama.



Tahniah dan terima kasih kepada semua warga SEMESRA atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan hari terbuka ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa dan orang ramai yang telah sama-sama memeriahkan hari tersebut.

Diharapkan agar Hari Terbuka ini telah dapat memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai sekolah kepada orang ramai. Semoga Hari Terbuka Asrama SEMESRA akan dapat diadakan pada tahun-tahun akan datang.