28 February, 2017

Takwim Februari *Terkini*

Untuk makluman semua, 

Dipaparkan takwim terkini bagi bulan Februari.


Harap maklum.

24 February, 2017

Majlis Penetapan Target PT3 dan SPM 2017

Hari ini telah diadakan Majlis Penetapan Target bagi PT3 dan SPM di Dewan Dato' Haji Azam. Ibu bapa telah bersama-sama hadir dalam merangka dan menetapkan target bagi peperiksaan yang akan dihadapi oleh anak-anak mereka.


Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa dan penjaga yang hadir dalam majlis ini. Semoga keprihatinan tuan puan dalam perkembangan akademik anak-anak akan dapat membantu mereka untuk mencapai kejayaan yang gemilang dalam PT3 ataupun SPM nanti.

Perjumpaan Akademik Tingkatan 3

Pada hari Khamis yang lalu telah diadakan satu perjumpaan akademik bersama pelajar-pelajar Tingkatan 3 untuk  sama-sama membincangkan halatuju dan target PT3 mereka.


Perjumpaan ini telah dikendalikan oleh Penyelaras Kecemerlangan Tingkatan 3, Pn Rahayu Johari serta Setiausaha Peperiksaan PT3 Cik Huszaifah Husnan.

Semasa perjumpaan ini juga, tips belajar dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh para pelajar untuk mencapai 10A dalam PT3 telah dipaparkan untuk ingatan dan tindakan para pelajar.

Diharapkan agar maklumat yang telah disampaikan dapat membantu para pelajar Tingkatan 3 untuk memacu ke arah pencapaian 10A dalam PT3 2017 ini, insyaAllah.

23 February, 2017

Jadual Pentaksiran/Ujian 1 bagi Tingkatan 3 dan 5

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 5,

Berikut dipaparkan Jadual Pentaksiran/Ujian 1 bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 5.

 Tingkatan 3

Tingkatan 5

Harap maklum, terima kasih.

22 February, 2017

Takwim Mac 2017

Untuk makluman dan tindakan warga SEMESRA,

Berikut dipaparkan takwim bagi bulan Mac.


Sekian, harap maklum.

Sirkit Diamond League 2017

Pada 17 dan 18 Februari 2017, SEMESRA telah mengambil bahagian dalam Sirkit Diamond League yang telah diadakan di SSN SMK Zaaba, Kuala Pilah. SEMESRA telah menghantar 4 orang atlet bersama satu kuartet 4X100 m untuk mengambil bahagian.


Tahniah diucapkan kepada kuartet SEMESRA yang telah berjaya meraih pingat perak dalam kejohanan ini. Tidak lupa juga kepada atlet-atlet yang berjaya memberi saingan dalam acara masing-masing. Diharapkan agar kejayaan dalam bidang olahraga akan terus dicapai oleh atlet-atlet SEMESRA.

21 February, 2017

Perubahan Alamat e-mel Sekolah

Untuk makluman semua,

Disebabkan terdapat masalah dengan alamat emel sekolah yang lama, mohon untuk mana-mana pihak yang ingin menghubungi sekolah melalui emel untuk menggunakan alamat e-mel yang baharu.

nea3037@1bestarinet.yes.my

Sekian, harap maklum.

Perjumpaan Mentor Mentee Kali Pertama

Pada hari Isnin yang lalu telah diadakan Perjumpaan Mentor Mentee Kali Pertama bagi tahun 2017. Pada perjumpaan ini, mentor setiap kamar telah membuat sesi taaruf bersama mentee masing-masing. Selain itu, setiap kamar juga telah membuat perancangan mengenai keceriaan kamar masing-masing serta persediaan untuk Hari Asrama Terbuka. Pelajar-pelajar juga diingatkan mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi.

 

Perjumpaan berakhir pada pukul 7.55 pagi.

18 February, 2017

Kejohanan Ping Pong MSSNS 2017

Tahniah diucapkan kepada Inas Adalia, pelajar Tingkatan 1 Choping yang telah berjaya memenangi tempat ketiga perseorangan Bawah 15 dalam Kejohanan Ping Pong MSSNS yang telah berlangsung pada 14 - 17 Februari yang lalu di SMK Bukit Mewah, Seremban.


Beliau telah terpilih untuk daerah Rembau selepas muncul Johan Perempuan Bawah 15 dalam Kejohanan Ping Pong MSS Daerah Rembau sebelum ini. Walaupun tidak berjaya dalam pemilihan skuad Negeri Sembilan untuk ke peringkat kebangsaan, Inas telah mempamerkan persembahan yang baik sepanjang kejohanan berlangsung.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Inas. Semoga beliau akan terus maju dalam sukan permainan ping pong ini.

Running Maths MSU President Cup 2017

Pada 15 Februari yang lalu, SEMESRA telah menghantar dua pasukan (16 pelajar) untuk menyertai Pertandingan Running Math MSU President Cup bertempat di Management and Science University, Shah Alam.

Tahniah diucapkan kepada Muhammad Ammar Ariffin yang telah berjaya mendapat Anugerah Peserta Terbaik Lelaki dalam pertandingan ini. Beliau telah memenangi biasiswa bernilai RM1,000 daripada pihak penganjur.

Selain daripada itu, 3 orang pelajar SEMESRA iaitu Gan Sin Yee, Muhammad Imran Afiq dan Haniesha Mohd Hanafi telah berjaya mendapat Anugerah Pelajar Top 50.



Tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar ini. Semoga terus berjaya di pertandingan-pertandingan yang lain.

17 February, 2017

12th Swinburne Sarawak Interschool Debating Championship 2017

Pada 13 sehingga 16 Februari yang lalu, SEMESRA telah menyertai satu pertandingan debat Bahasa Inggeris yang telah diadakan di Swinburne University, Kuching Sarawak.

Seramai 3 orang pendebat Bahasa Inggeris telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang melibatkan 108 pasukan iaitu 60 pasukan senior (menengah atas) dan 48 pasukan junior (menengah rendah) dari 33 sekolah yang terdiri daripada sekolah-sekolah harian, sekolah-sekolah persendirian dan sekolah-sekolah berasrama penuh dari seluruh Malaysia dan juga Indonesia.

 
 
 

Pasukan SEMESRA telah berjaya memenangi 3 perlawanan dalam 6 pusingan awal namun tidak berjaya ke peringkat seterusnya.

Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada pendebat-pendebat SEMESRA yang telah melakukan yang terbaik dalam pertandingan ini. Diharapkan agar latihan akan diteruskan dengan giat lagi agar pasukan ini akan dapat memperbaiki persembahan dalam kejohanan yang akan datang.

Kejohanan Bola Keranjang MSSD Rembau 2017

SEMESRA telah menghantar 2 pasukan lelaki Bawah 18 tahun untuk menyertai Kejohanan Bola Keranjang Peringkat Daerah Rembau yang telah diadakan pada hari ini 15 Februari 2017 di Gelanggang Bola Keranjang, SEMESRA. 

Sebanyak 5 pasukan dari 3 sekolah telah beradu nasib dalam kejohanan ini.


Dalam kejohanan ini, SEMESRA B telah berjaya mendapat tempat ketiga. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan terutamanya pasukan B. Semoga pasukan bola keranjang sekolah akan terus menyinar dalam setiap kejohanan yang disertai.

14 February, 2017

Pendaftaran Tingkatan 1 Ambilan Kedua

Pada hari Isnin yang lalu bersamaan 13 Februari, seramai 18 pelajar Tingkatan 1 Ambilan Kedua telah mendaftar sebagai warga SEMESRA yang baharu. Daripada jumlah ini, seramai 11 orang adalah pelajar-pelajar perempuan. 


Selamat datang diucapkan kepada pelajar-pelajar baharu ini. Diharapkan agar harapan tinggi ibu bapa anda semua akan menjadi pembakar semangat anda untuk meneruskan kecemerlangan di sekolah ini.

13 February, 2017

Kursus Kepimpinan Kokurikulum 2017

Satu kursus kepimpinan kokurikulum telah diadakan pada Sabtu yang lalu bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga pukul 5 petang. Kursus yang telah dikendalikan oleh Unit Kokurikulum ini melibatkan seramai 102 pelajar yang terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha bagi setiap unit kokurikulum. 

   

Pelajar-pelajar telah diberi pendedahan berkaitan tatacara pengendalian unit kokurikulum. Bahagian teori telah diadakan di dewan manakala sesi praktikal telah diadakan di makmal-makmal komputer.

Diharapkan agar kursus yang telah dikendalikan oleh Puan Hasni Bakar, Penolong Kanan Kokurikulum SEMESRA dan Cik Haslinda akan dapat membantu para pelajar untuk menguruskan aktiviti unit kokurikulum masing-masing dengan lebih baik pada tahun ini. 

Perjumpaan Akademik Tingkatan 5

Pada Jumaat 10 Februari yang lalu telah diadakan satu perjumpaan akademik bersama pelajar-pelajar Tingkatan 5. Perjumpaan ini diadakan untuk membincangkan target yang telah disasarkan oleh sekolah bagi SPM 2017.

Perjumpaan ini telah dikendalikan oleh Puan Fauzah Mohamad yang merupakan Penyelaras Program Kecemerlangan SPM dengan bantuan Setiausaha Peperiksaan Pn Siti Normizah Ngatenah. Pelajar-pelajar juga telah diberi jadual sebagai rujukan dalam usaha mereka menyediakan diri mereka untuk peperiksaan ini. 

Diharapkan agar perjumpaan ini akan dapat membantu para pelajar Tingkatan 5 untuk fokus dan berusaha ke arah sasaran yang telah ditetapkan. 

12 February, 2017

Makluman Outing Harian Februari 2017

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar SEMESRA,

1. Tiada lawatan pada Khamis ini iaitu 9/2 (Cuti Thaipusam).

2. Hari Sabtu ini (11/2) tiada lawatan KECUALI  untuk ibu bapa dari Johor. Kelas Al- Falah akan diadakan pada Sabtu ini bermula pada 8 - 12.30 tengah hari, oleh itu lawatan adalah selepas kelas Al- Falah.

3. Pada Ahad ini (12/2), pelajar-pelajar dibenarkan untuk Outing Harian sehingga pukul 5 petang.

09 February, 2017

Ceramah Bulanan Februari 2017

Satu ceramah agama telah diadakan hari ini di Dewan Dato' Haji Azam anjuran Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama BADAR.

Penceramah jemputan pada kali ini ialah PU Raihan dengan tajuk 'Keabadian Cinta Ilahi'.


Terima kasih diucapkan kepada Panitia Pendidikan Islam dan BADAR atas penganjuran ini. Semoga semua telah mendapat manfaat daripada ceramah yang telah diberikan oleh PU Raihan.

Kejohanan Sepak Takraw MSSD Rembau

Pada 6 - 7 Februari yang lalu, SEMESRA telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Sepak Takraw MSSD Rembau yang berlangsung di Gelanggang Majlis Daerah Rembau. SEMESRA telah menghantar dua pasukan iaitu pasukan lelaki B15 dan B18.



Dalam kejohanan ini, pasukan B18 telah berjaya sehingga ke pusingan suku akhir kedua manakala pasukan B15 telah berjaya hingga ke peringkat suku akhir pertama. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat, sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan sepak takraw sekolah atas pencapaian ini. Diharapkan pasukan ini akan terus memperbaiki kemahiran agar dapat pencapaian dapat diperbaiki dalam kejohanan sepak takraw pada tahun hadapan.

08 February, 2017

Sijil SPM 2015

Untuk makluman batch SPM 2015 Valedictorian Cycle 2,

Sijil SPM anda telah diterima oleh pihak sekolah. Oleh itu anda boleh mendapatkan sijil SPM anda di pejabat SEMESRA mengikut waktu pejabat.

Sekian, harap maklum.

Kursus Kepimpinan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Daerah Rembau

Satu Kursus Kepimpinan bagi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah diadakan di PPD Rembau pada 8 Februari 2017 bagi semua sekolah di daerah Rembau. SEMESRA telah menghantar seramai 4 pelajar ke kursus ini.

Sepanjang kursus, pelajar-pelajar telah mengikuti pelbagai aktiviti yang dirancang seperti ice breaking dan team building.  Kursus ini diadakan bertujuan untuk memantapkan lagi kepepimpinan PRS agar dapat berfungsi dengan efektif di sekolah. Mereka juga telah dilatih bagaimana untuk mengendalikan aktiviti sebagai seorang PRS di sekolah.


Diharapkan agar kursus ini telah dapat memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan yang mencukupi kepada PRS SEMESRA untuk dipraktikkan di sekolah dalam membantu rakan-rakan yang lain.

Kejohanan Badminton MSSD Rembau 2017

Pada 6 - 7 Februari yang lalu telah diadakan Kejohanan Badminton MSSD Rembau di SMK Datuk Abdullah. SEMESRA telah menghantar pasukan badminton sekolah untuk mengambil bahagian.
 

Alhamdulillah  SEMESRA telah  berjaya mendapat tempat dalam kejohanan ini. Muhammad Hairudin dan Muhammad Azim telah berjaya mendapat tempat Naib Johan Bergu L18 manakala Muhammad Azim telah berjaya mendapat tempat ketiga L18. Nur Natasha Zafirah dan Nurul Afira Syakirah pula telah mendapat tempat ketiga P18.

 

Tahniah diucapkan kepada pasukan badminton sekolah. Semoga akan terus dapat cemerlang dalam pertandingan-pertandingan yang disertai.