28 February, 2014

Kejohanan Catur Peringkat Negeri 2014

Kejohanan Catur Peringkat Negeri telah berlangsung di SM Sains Tuanku Jaafar pada 25 - 27 Februari yang lalu. Seramai 5 pelajar SEMESRA telah terpilih untuk mewakili daerah Rembau ke kejohanan ini.


Dalam kejohanan ini, Muhammad Fikri bin Farizal telah muncul Johan Individu bagi Kategori Lelaki Bawah 18. Gan Sin Yee pula berjaya memenangi tempat Ketiga bagi Kategori Berkumpulan.


Tahniah diucapkan kepada semua kerana telah berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri. Selamat berjaya diucapkan kepada Muhammad Fikri dan seluruh warga SEMESRA mendoakan agar beliau akan melakar kejayaan yang lebih cemerlang di peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 24-28 Mac di Kuching, Sarawak.

26 February, 2014

Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan 2014

Kejohanan Hoki Sekolah-sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan telah diadakan di SMA Labu, Negeri Sembilan pada 19 hingga 23 Februari yang lalu. SEMESRA telah menghantar pasukan hoki perempuan dan lelaki untuk mengambil bahagian.



Pasukan lelaki telah berjaya memasuki pusingan suku akhir namun tewas kepada lawan mereka dalam perlawanan seterusnya. Pasukan perempuan pula tidak bernasib baik dalam kejohanan ini.

Terima kasih diucapkan kepada kedua-dua pasukan yang telah membawa cabaran sekolah ke kejohanan ini. Diharapkan agar latihan berterusan dapat dibuat bagi memperbaiki corak permainan pasukan.

24 February, 2014

Kejohanan Merentas Desa Sekolah 2014

Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah telah diadakan pada 22 Februari yang lalu bersamaan hari Sabtu. Para pelajar telah dilepaskan mengikut kategori masing-masing bermula pada pukul 8 pagi.


Pada kejohanan ini, rumah Lela Maharaja telah memenangi Kategori Perempuan Bawah 18 dan 15 manakala rumah Kelana Petra telah memenangi Kategori Lelaki Bawah 15. Rumah Akhirul Zaman pula telah memenangi Kategori Lelaki Bawah 18.



Pada tahun ini rumah Lela Maharaja telah muncul juara keseluruhan menewaskan juara bertahan rumah Kelana Petra dengan kiraan pingat.    

22 February, 2014

Kejohanan Kriket MSSNS 2014

Kejohanan Kriket MSS Negeri Sembilan 2014 telah diadakan pada 18 - 21 Februari yang lalu di SM Sains Tuanku Jaafar Kuala Pilah. SEMESRA telah menghantar pasukan kriket sekolah untuk mengambil bahagian.


Pasukan kriket berjaya memasuki pusingan suku akhir sebelum akur dengan kehebatan pihak lawan. Tahniah kepada pasukan kriket yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam kejohanan ini. Semoga pasukan ini akan terus membuat latihan untuk memperbaiki mutu permainan.

19 February, 2014

Kejohanan Catur Peringkat Daerah Rembau 2014

Pada 17 dan 18 Februari telah berlangsung Kejohanan Catur Daerah Rembau 2014 di SMKA Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail.


Dalam kejohanan ini, SEMESRA telah berjaya merangkul Johan Lelaki Bawah 15, Naib Johan Perempuan Bawah 18, Tempat Ketiga bagi Lelaki Bawah 18 dan tiada kedudukan pingat bagi Perempuan Bawah 15.


Seramai 5 pelajar SEMESRA akan mewakili Rembau ke Kejohanan Catur Peringkat Negeri yang akan berlangsung pada 25-27 Februari 2014.

13 February, 2014

Mesyuarat Rumah Kali Pertama 2014

Pada 11 Februari 2014 telah diadakan satu Mesyuarat Rumah Kali Pertama. Ia bertujuan untuk memilih barisan ahli jawatankuasa kecil bagi membantu melicinkan pengurusan rumah.

Selepas ucapan daripada Ketua Guru Rumah masing-masing, pemilihan barisan ahli jawatankuasa kecil bagi setiap rumah telah diadakan. Selepas itu, perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dan boleh dijalankan bersama.


Sistem Rumah merupakan sistem yang amat penting di dalam sistem Sekolah Berasrama Penuh. Diharapkan agar semua ahli jawatankuasa yang telah dilantik akan dapat menjalankan tugasan yang diberikan dengan amanah dan baik agar  pencapaian pelajar-pelajar bagi setiap rumah akan terus cemerlang.

10 February, 2014

Tahniah SEMESRA!

Tahniah diucapkan kepada SEMESRA kerana telah dinobatkan dengan Anugerah Dato' Lela Maharaja sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Rembau yang telah diadakan pada 6 Februari lalu di Dewan Perdana  PPD Rembau. Anugerah ini telah diberikan kepada SEMESRA kerana berjaya muncul sebagai sekolah terbaik di daerah Rembau.

Selain daripada anugerah tersebut, SEMESRA telah berjaya menggondol 11 anugerah lain termasuklah Anugerah Kecemerlangan PMR dan SPM. Seorang guru SEMESRA pula iaitu Cik Tamilchelvee A/P Muthu telah dianugerahkan dengan Anugerah Kepimpinan Kokurikulum Kategori Sekolah Menengah atas penglibatan aktif beliau dalam Pandu Puteri.


Tahniah sekali lagi diucapkan kepada SEMESRA. Semoga kejayaan ini akan terus memberi semangat kepada warga SEMESRA untuk terus berusaha keras demi memperbaiki kecemerlangan diri dan sekolah.

09 February, 2014

Kursus Pengurusan Kepimpinan Kokurikulum 2014

Pada 7 Februari yang lalu telah diadakan Kursus Pengurusan Kepimpinan Kokurikulum bagi tahun 2014 bertempat di Dewan Dato' Azam, SEMESRA. Seramai 147 pelajar terlibat yang terdiri daripada Pengerusi, Bendahari dan Setiausaha dari 47 unit kokurikulum.

Kursus ringkas ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai cara-cara menguruskan unit kokurikulum masing-masing agar pengurusan unit koku adalah lebih baik pada tahun ini.

Taklimat dan aktiviti sepanjang kursus ini telah dilaksanakan oleh Unit Kokurikulum.


Semoga pengurusan unit kokurikulum SEMESRA adalah lebih sistematik pada tahun ini bagi  memastikan prestasi cemerlang SEMESRA akan dapat diteruskan.

08 February, 2014

Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah 2014

Pada 7 Februari bertempat di SMK Dato Undang Haji Adnan telah diadakan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah.





Dalam kejohanan ini, pasukan perempuan Bawah 18 telah berjaya muncul Johan Kumpulan. Tiga atlit sekolah telah terpilih untuk mewakili daerah Rembau ke peringkat Negeri yang akan diadakan pada 12 Februari nanti.

Tahniah diucapkan kepada pasukan merentas desa sekolah. Diharapkan pasukan ini akan terus berjaya di peringkat seterusnya.

07 February, 2014

Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Lembaga Pemimpin Pelajar Sesi 2014

Semalam telah diadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Lembaga Pemimpin Pelajar bagi tahun 2014. Majlis ini telah diadakan di Dewan Dato' Hj Azam dan dirasmikan oleh Mejar Khairul Amir bin Abdul Malek, Pegawai Pendidikan Markas 1 Briged Kem Rasah.


Selepas ucapan Pengetua Kanan SEMESRA Puan Hajah Norzila binti Idris serta tetamu kehormat, tibalah masa yang dinanti-nanti iaitu majlis penyerahan watikah pelantikan.


Selepas watikah disampaikan kepada setiap pemimpin pelajar, sesi bacaan ikrar oleh semua pemimpin pelajar telah diketuai oleh Ketua Pelajar 2014 iaitu Saudara Muhammad Zharfan Nafiq bin Ghafarudin.


Ikrar tersebut kemudiannya telah diserahkan kepada Pengetua Kanan SEMESRA, Puan Hajah Norzila binti Idris.


Tahniah diucapkan kepada semua pemimpin pelajar yang telah dilantik bagi tahun ini. Semoga tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh pihak sekolah akan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

06 February, 2014

Pendaftaran Pelajar-pelajar Tingkatan 4 2014

Pada 5 Februari 2014 yang lalu, seramai 42 pelajar baru Tingkatan 4 telah pun mendaftar diri untuk menjadi warga baru sekolah. Pelajar-pelajar yang tiba dengan ibu bapa masing-masing telah mendaftar di kelas-kelas yang telah ditetapkan.


Selepas selesai urusan pembayaran yuran sekolah dan koperasi, pelajar-pelajar baru serta ibu bapa telah diberi taklimat ringkas mengenai sekolah. Mereka juga telah diperkenalkan kepada barisan pengurusan sekolah serta warden-warden asrama.

Selamat datang diucapkan kepada pelajar-pelajar baru Tingkatan 4. Semoga dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama demi mencapai kejayaan.