29 February, 2012

Sambutan Hari Jadi Guru Bulan Februari

Satu majlis sambutan hari ulang tahun bagi guru-guru yang lahir pada bulan Februari telah diadakan pada 29 Februari yang lalu. Sambutan ini telah dibuat sewaktu perhimpunan harian di Dataran Semesra.

Sewaktu lagu selamat ulang tahun dinyanyikan, guru-guru yang diraikan telah diminta untuk sama-sama memotong kek yang telah disediakan oleh Kelab Guru dan Staf.

 yang diraikan dari kiri; Ustz Shahizam, En. Fairos, Cik Adibah, Pn. Siti Madihah dan Pn. Gayatri

Seluruh warga SEMESRA mendoakan kesejahteraan bagi kelima-lima guru yang meraikan ulang tahun mereka pada bulan Februari ini. Semoga segala yang diimpikan akan menjadi kenyataan, amin.

28 February, 2012

Kursus Kepimpinan Ketua dan Penolong Ketua Rumah 2012

Satu kursus Kepimpinan khas untuk semua ketua dan penolong ketua rumah sekolah-sekolah berasrama penuh telah diadakan di SM Sains Sultan Hj Ahmad Shah, Pahang. Kursus ini telah berlangsung dari 25 sehingga 28 Februari 2012.

SEMESRA telah menghantar Ketua-ketua dan Penolong-penolong Rumah Johan Pahlawan, Akhirul Zaman, Lela Maharaja dan Kelana Petra bagi menyertai kursus ini.

Objektif utama kursus ini diadakan ialah untuk memberi pendedahan kepada semua ketua rumah dan penolong akan sistem rumah yang dijalankan di semua sekolah berasrama penuh. Ilmu yang diberikan diharap dapat membantu pemimpin-pemimpin ini untuk menjalankan tugas mereka dengan sempurna demi kebaikan rumah masing-masing.



Diharapkan semua ketua rumah dan penolong dapat memanfaatkan ilmu yang telah mereka pelajari sepanjang kursus dengan mempraktikkannya di sekolah masing-masing.

27 February, 2012

Majlis Anugerah Kecemerlangan PPD Rembau

Pada 27 Februari yang lalu, SEMESRA telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Anugerah Kecemerlangan PPD Rembau di Dewan Hj Azam. Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Majlis ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada sekolah-sekolah daerah Rembau yang menunjukkan prestasi cemerlang di dalam pelbagai segi.

SEMESRA telah berjaya mendapat 4 anugerah pada majlis tersebut. Anugerah-anugerah yang telah dimenangi oleh SEMESRA ialah Anugerah Kecemerlangan PMR, Anugerah Kecemerlangan PMR dengan Gred Purata kurang daripada 1.5, Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Surau Kategori Sekolah Menengah dan Anugerah Kecemerlangan Ko-kurikulum Kategori Sekolah Menengah.



Tahniah diucapkan kepada SEMESRA. Diharapkan agar anugerah-anugerah yang diterima akan menjadi pendorong kepada kita semua untuk terus cemerlang di masa hadapan.

26 February, 2012

Kejohanan Memanah

Pada 22 - 25 Februari yang lalu telah diadakan satu Kejohanan Memanah Peringkat Negeri Sembilan di Padang SMK King George V, Seremban. SEMESRA telah menghantar 7 peserta bagi menyertai kejohanan ini.



Walaupun kesemua peserta gagal untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya, kedudukan tempat peserta SEMESRA adalah semakin baik. Diharapkan agar para pemain akan terus membuat latihan agar persembahan ini akan dapat terus diperbaiki.

25 February, 2012

Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan PSS, BADAR, PRS dan Briged IT

Pada 20 Februari yang lepas, telah diadakan satu Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan bagi JK Pusat Sumber Sekolah (PSS), Badan Dakwah, Akhlak dan Rohani (BADAR), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan juga Briged IT SEMESRA.

Majlis Penyerahan ini telah berlangsung di Dewan Dato' Azam bermula pada pukul 7.30 pagi. Di dalam ucapannya, Pengetua Kanan SEMESRA Pn. Hjh Norzila bt Idris mengucapkan tahniah kepada semua JK yang telah dilantik. Beliau menyatakan bahawa setiap badan ini mempunyai fungsi yang tersendiri dalam membantu kecemerlangan sekolah. Oleh itu beliau berharap agar badan-badan ini akan dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sempurna agar para pelajar sekolah ini dapat dibimbing ke arah kecemerlangan.


Seterusnya watikah lantikan telah disampaikan oleh Puan Pengetua kepada semua JK yang telah dilantik.


 antara yang telah dilantik

Kemudiannya, bacaan ikrar telah diketuai oleh Pengerusi BADAR Mohd Salahuddin b. Saharuddin. Di dalam ikrar ini, pelajar-pelajar yang baru sahaja dilantik ini berjanji akan menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh pihak sekolah dengan baik.


Tahniah diucapkan kepada semua JK yang telah dilantik. Diharapkan agar segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pihak sekolah kepada pelajar-pelajar akan dapat dilaksanakan dengan baik.

23 February, 2012

Japanese Speech Contest 2012

Tahniah diucapkan kepada Siti Aishah bt Mohd Fadzli (4 Chopin) yang telah berjaya mendapat tempat ketiga di dalam Japanese Speech Contest yang telah berlangsung pada 19 Februari di Sekolah Muzaffar Syah, Melaka.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Japan Embassy ini telah disertai oleh para pelajar yang mengikuti Bahasa Jepun dari sekolah-sekolah di Zon Selatan  termasuklah pelajar-pelajar dari sekolah harian. Pertandingan telah dihakimi oleh pensyarah-pensyarah dari Institut Pengajian Bahasa Antarabangsa, Japan Foundation dan Universiti Malaya.

Berbekalkan teks ucapan yang bertajuk 'Things That Are Close to My Heart', Siti Aishah telah berjaya menarik perhatian hakim-hakim pertandingan yang seterusnya menempatkan beliau di tempat ketiga pertandingan. Pemenang-pemenang pertandingan telah menerima sijil pertandingan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Siti Aishah. Semoga kemenangan ini akan terus menjadi pendorong kepada beliau untuk terus mendalami bahasa ini.

22 February, 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Sempena dengan tarikh kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w, Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan satu sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. 

Satu ceramah untuk seluruh warga sekolah telah pun diadakan pada 10 haribulan yang lalu bersamaan hari Jumaat. Acara kemuncak bagi sambutan ini ialah pertandingan perarakan antara rumah yang telah diadakan pada 19 Februari bersamaan hari Ahad yang lalu.

Setiap rumah dikehendaki untuk menghasilkan sepanduk yang bertemakan sambutan ini. Selain daripada itu, ahli-ahli rumah juga diminta untuk berselawat ke atas nabi sepanjang perarakan.


Johan Pahlawan telah diisytiharkan sebagai pemenang bagi perarakan ini manakala Lela Maharaja pula telah memenangi hadiah sepanduk terbaik.

Terima kasih diucapkan kepada semua ahli rumah yang telah bertungkus-lumus dalam membuat persediaan  untuk sambutan Maulidur Rasul ini. Walaupun menghadapi kekangan masa, para pelajar telah berjaya memberikan yang terbaik demi memperingati Rasulullah s.a.w. dan perjuangan serta pengorbanan baginda.

Semoga usaha kita yang tidak seberapa ini akan dapat mendekatkan kita lagi dengan nabi junjungan kita dan seterusnya menjadikan baginda sebagai contoh yang terbaik untuk diikuti, insyaAllah.

21 February, 2012

Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah 2012

Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah telah diadakan pada Sabtu yang lepas bersamaan 18 Februari 2012. Kejohanan ini telah bermula pada pukul 9 pagi dan pada kali ini, para pelajar telah diuji dengan trek yang lebih mencabar berbanding tahun lepas.

Kejohanan telah dimulakan oleh Pengetua Kanan SEMESRA, Pn. Hjh Norzila bt Idris dengan pelepasan peserta-peserta lelaki Bawah 18. Ini diikuti dengan peserta-peserta lelaki B15, Perempuan B18 dan akhir sekali Perempuan B15.

Berikut adalah keputusan mengikut kategori:

Johan Perempuan P15: Lela Maharaja
Johan Perempuan P18: Lela Maharaja
Johan Lelaki L18: Kelana Petra
Johan Lelaki L15: Johan Pahlawan

Johan keseluruhan: Kelana Petra



Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Kepada yang kurang berjaya pula, cuba lagi pada tahun hadapan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga SEMESRA yang telah sama-sama memastikan kejohanan kali ini berjalan dengan baik.

15 February, 2012

Kejohanan Kriket SBP Peringkat Zon Selatan

Pasukan Kriket sekolah yang terdiri daripada 15 orang pelajar telah menyertai Kejohanan Kriket SBP Zon Selatan bermula 8 Februari 2012 yang lalu. Tuan rumah bagi kejohanan kali ini ialah Sekolah Menengah Sains Johor. 

 Pasukan sekolah telah diletakkan di dalam Kumpulan C bersama-sama dengan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Sekolah Dato' Abdul Razak dan Sekolah Menengah Sains Muar.  Pasukan sekolah tidak bernasib baik kerana telah tewas di dalam semua perlawanan kumpulan.
 
 
Tahniah kepada tuan rumah, Sekolah Menengah Sains Johor kerana telah berjaya muncul johan kejohanan dan seterusnya akan mewakili Zon Selatan ke Kejohanan Kriket SBP peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kota Tinggi, Johor.

Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada pasukan kriket sekolah yang telah membuat persembahan yang terbaik di dalam kejohanan ini. Semoga pasukan ini akan lebih cemerlang di masa hadapan.

14 February, 2012

Kejohanan Bola Tampar Daerah Rembau

Kejohanan Bola Tampar Daerah Rembau telah diadakan pada 8hb yang lepas bertempat di SMKA Haji Abu Hassan Sail (Perempuan) dan SMT Dato' Lela Maharaja (Lelaki). SEMESRA telah menghantar 4 pasukan bagi menyertai kejohanan ini untuk kategori P18, P15, L15 dan L18.
 
 
 
 gambar sekitar kejohanan

Dalam kejohanan ini, pasukan P15 telah berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan. Bagi pasukan L15 pula, mereka telah berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan.

Tahniah juga diucapkan kepada pasukan P18 dan L18 kerana berjaya memberikan komitmen yang baik sepanjang kejohanan ini. Diharapkan agar latihan akan dapat diteruskan untuk memantapkan teknik dan mutu persembahan pasukan bola tampar sekolah.

12 February, 2012

Kejohanan Ping Pong Daerah Rembau 2012

Kejohanan Pingpong MSSD Rembau telah berlangsung dari 8 - 9 Februari 2012 di SMK Datuk Undang Haji Adnan, Kota. SEMESRA telah menghantar 8 orang pelajar bagi menyertai kejohanan ini.

 
 aksi pemain SEMESRA

Berikut adalah keputusan kejohanan:

Johan - Farah Hanim binti Fadzil (5 Chopin)
Tempat ke -4: Nur Aziemah binti Mohd Arif (5 Frost)
Tempat ke -4: Priyank a/l Ba Bu Liah (5 Galileo)

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Bagi yang kurang berjaya, diharapkan agar latihan dapat diteruskan bagi memantapkan lagi persembahan sebagai persediaan untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang.

Selamat berjaya diucapkan kepada Sdri Farah Hanim yang akan mewakili daerah Rembau ke Kejohanan Peringkat Negeri tidak lama lagi. Semoga anda akan beroleh kejayaan yang lebih gemilang, insyaAllah.

11 February, 2012

Kejohanan Bola Keranjang MSSD Rembau 2012

Pada 8 Februari yang lalu, SEMESRA telah mengambil bahagian di dalam Kejohanan Bola Keranjang MSSD Rembau. Kejohanan ini telah berlangsung di Gelanggang Orang Ramai Majlis Daerah Rembau.

SEMESRA telah menghantar satu pasukan lelaki dan satu pasukan perempuan bagi menyertai kejohanan ini.


 
  aksi pemain pasukan sekolah di gelanggang

Pasukan SEMESRA berjaya menjadi johan bagi kedua-dua kategori. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan bola keranjang sekolah serta guru-guru pembimbing.

 
 pasukan bola keranjang SEMESRA

Diharapkan agar pasukan bola keranjang SEMESRA akan terus berjaya di peringkat Negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

10 February, 2012

Kejohanan Hoki MSSD Rembau 2012

SEMESRA telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Hoki Peringkat Daerah Rembau pada tahun ini. Kejohanan ini telah berlangsung selama 2 hari iaitu daripada 2-3 Februari 2012. Sebanyak 10 sekolah yang terdiri daripada 7 sekolah menengah dan 3 sekolah rendah telah mengambil bahagian.



Walaupun tewas dalam semua perlawananan, pasukan hoki sekolah telah menunjukkan semangat juang yang tinggi semasa perlawanan berlangsung. Diharapkan agar pasukan hoki sekolah telah dapat menimba sedikit sebanyak ilmu dalam usaha untuk memperbaiki mutu perlawanan hoki mereka. 

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memastikan kejohanan hoki ini berlangsung dengan jayanya.

09 February, 2012

Kejohanan Bola Jaring Daerah Rembau 2012

Tahniah diucapkan kepada pasukan bola jaring P18 SEMESRA yang telah berjaya mendapat tempat ketiga di Kejohanan Bola Jaring Peringkat Daerah baru-baru ini. Kejohanan ini telah berlangsung di SMK Datuk Abdulah (SEMENDA) pada 2-3 Februari yang lalu.

 
aksi-aksi pasukan sekolah semasa kejohanan berlangsung

Walaupun pasukan B15 tidak berjaya mendapat tempat, namun tahniah diucapkan atas persembahan yang semakin baik. Sebagai buktinya, seramai 12 pelajar dari pasukan B18 dan B15 sekolah telah dipilih untuk mewakili daerah ke kejohanan peringkat negeri yang akan berlangsung pada 16-17 Februari ini. Semoga pemilihan ini akan dapat membantu daerah Rembau untuk mendapat tempat yang baik di peringkat negeri, insyaAllah.