31 January, 2013

Mesyuarat Rumah Kali Pertama

Pada hari Rabu bersamaan 30 Januari yang lalu telah diadakan Mesyuarat Rumah Kali Pertama bagi tahun 2013. Pelajar-pelajar dikehendaki berhimpun mengikut rumah masing-masing di tempat yang telah ditetapkan.



Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk memperkenalkan barisan guru-guru rumah dah juga ahli-ahli Majlis Tertinggi Rumah. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membincangkan aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat bagi menaikkan nama rumah.


Selamat bertugas diucapkan kepada semua ahli-ahli Majlis Tertinggi Rumah dan diharapkan agar semua ahli-ahli rumah akan dapat memberikan komitmen yang terbaik kepada mereka demi kejayaan rumah masing-masing.

30 January, 2013

Selamat Datang Warga Baru SEMESRA

Selamat datang diucapkan kepada 42 orang pelajar baru Tingkatan 4 yang baru sahaja mendaftar diri menjadi warga SEMESRA. Kedatangan mereka telah disambut mesra oleh guru-guru dan dibantu oleh pemimpin-pemimpin pelajar Tingkatan 4.


Satu taklimat ringkas dan sesi pengenalan dengan guru-guru tingkatan telah dipengerusikan oleh Pengetua Kanan SEMESRA Pn. Hjh Norzila binti Idris.


Selamat datang diucapkan sekali lagi kepada pelajar-pelajar baru. Semoga kecemerlangan anda dari segi akademik dan kokurikulum akan dapat diteruskan lagi di bumi SEMESRA.

25 January, 2013

Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 2013

Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan bagi para pelajar SEMESRA telah diadakan pada pagi ini bertempat di Dewan Dato' Hj Azam.  Ibu bapa pelajar-pelajar SEMESRA juga telah dijemput hadir  ke majlis ini.


Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Zaifulbahri bin Idris, ADUN Kawasan Chembong. Selepas bacaan doa dan ucapan ringkas daripada YB Dato', setiap pelajar dipanggil ke pentas untuk menerima bantuan.


Setiap pelajar telah diberikan bantuan sebanyak RM 100 seorang bagi membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan mereka.


 

Terima kasih YB Dato' kerana sudi menyempurnakan majlis penyampaian bantuan ini. Diharapkan bantuan ini akan dapat membantu ibu bapa dan para pelajar SEMESRA dalam perbelanjaan persekolahan mereka.

24 January, 2013

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Pagi ini telah diadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah bermula pada pukul 7.30 pagi. Semua pelajar telah berhimpun di Astaka mengikut rumah masing-masing. 

Tema pada tahun ini iaitu 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' telah dijadikan teras perarakan pada tahun ini. Setiap rumah telah menghias sepanduk rumah masing-masing mengikut kreativiti ahli-ahli rumah. Selain daripada  kategori sepanduk, rumah-rumah juga telah diadili menerusi kategori perarakan dan juga bacaan selawat.



Selepas berarak, pelajar-pelajar kemudiannya masuk ke dewan untuk mendengar ceramah agama sempena Maulidur Rasul yang telah disampaikan oleh ustaz jemputan.


Rumah Lela Maharaja telah diumumkan sebagai Johan Kategori Sepanduk manakala rumah Kelana Petra telah memenangi kategori perarakan dan bacaan selawat.

Alhamdulillah, warga SEMESRA telah berjaya menyempurnakan majlis sambutan ini dengan baik. Diharapkan sambutan ini akan dapat menyemarakkan lagi rasa cinta dan kasih terhadap nabi junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w.

22 January, 2013

Majlis Perlantikan Jawatankuasa Badan Organisasi Pelajar 2013

Semalam telah diadakan satu Majlis Perlantikan bagi Jawatankuasa Badan Organisasi Pelajar tahun 2013. Ahli-ahli Majlis Tertinggi bagi Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PPSS), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) serta Briged IT.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengetua Kanan SEMESRA, Puan Hjh Norzila bt Idris.


Selepas penyerahan watikah, sesi lafaz ikrar oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi telah diketuai oleh Sdr Azziq Farhan bin Azahree, Presiden BADAR bagi sesi 2013.


Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang telah dilantik. Semoga anda semua akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik demi kecemerlangan diri dan sekolah.

Makluman Mengenai Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan

Makluman kepada semua ibu bapa,

Pada Jumaat ini bersamaan 25 Januari 2013 akan diadakan satu Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan bagi pelajar-pelajar SEMESRA. Bantuan ini akan disampaikan oleh YB Dato' Zaifulbahri bin Idris, ADUN Chembong.

Majlis akan bermula pada pukul 9 pagi bertempat di Dewan Dato' Hj Azam. Ibu bapa dimohon untuk sama hadir dalam majlis tersebut. Selepas majlis berakhir, ibu bapa dibenarkan untuk membawa pulang anak masing-masing untuk outing bermalam (OB).

Sekian, harap maklum.

21 January, 2013

Majlis Penutup Minggu Silaturrahim Pelajar-pelajar Tingkatan 1

Pada hari Sabtu yang lalu telah diadakan Majlis Penutup bagi Minggu Silaturrahim Pelajar-pelajar Tingkatan 1 di Dewan Dato' Haji Azam. Majlis ini merupakan acara kemuncak bagi minggu silaturrahim pelajar-pelajar baru  Tingkatan 1 yang telah berlangsung selama seminggu.

Tetamu kehormat bagi majlis ini ialah Encik Azali bin Hashim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau. Ibu bapa pelajar-pelajar Tingkatan Satu juga telah hadir sebagai tanda sokongan kepada anak-anak mereka.


Majlis dimulakan dengan ucapan dari wakil pelajar iaitu Mohd Syahirul Aidil bin Hairul diikuti dengan ucapan Pengetua SEMESRA. Majlis kemudiannya dirasmikan oleh tetamu kehormat, Encik Azali bin Hashim.

Seterusnya para hadirin telah disajikan dengan pelbagai persembahan menarik seperti persembahan dikir barat, tarian, multimedia dan sebagainya.



Rumah Kelana Petra telah diumumkan sebagai pemenang persembahan diikuti oleh rumah Lela Maharaja dan Johan Pahlawan. Rumah Akhirul Zaman pula telah menjadi Johan Persembahan Multimedia.

Kemudiannya wakil pelajar Tingkatan 1 iaitu Mohd Syahirul Aidil bin Hairul telah mengetuai bacaan ikrar para pelajar Tingkatan 1 bagi tahun 2013.



Tahniah diucapkan kepada semua pelajar Tingkatan Satu yang berjaya menamatkan minggu silaturrahim ini dengan jayanya. Semoga minggu tersebut telah dapat memberikan tunjuk ajar bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran belajar di sekolah berasrama penuh, in sya Allah.

17 January, 2013

Makluman kepada Valedictorians

Makluman kepada semua bekas pelajar SEMESRA batch Valedictorians 2011,

Sijil asal 1119 GCE O Level (General Certificate of Education Ordinary Level) bagi pelajar Valedictorians sudah berada di pejabat sekolah. Anda boleh mengambil sijil tersebut mengikut waktu pejabat. 

Sekian, harap maklum.

12 January, 2013

Mesyuarat Agung Persatuan, Kelab dan Badan Beruniform 2013

Mesyuarat Agung bagi Persatuan, Kelab dan Badan Beruniform telah diadakan pada hari Rabu lepas bersamaan 9 Januari 2013.

Para pelajar telah berhimpun di Dataran Perhimpunan pada pukul 2.30 petang. Selepas nyanyian lagu Negaraku, guru Setiausaha Ko-kurikulum Encik Saljie Saluin telah memberi satu taklimat ringkas mengenai perjalanan mesyuarat pada petang tersebut.

Kemudiannya para pelajar bergerak ke kelas-kelas yang telah ditetapkan mengikut persatuan atau kelab masing-masing.


Semasa mesyuarat agung dilaksanakan, ahli-ahli persatuan dan kelab telah diminta untuk memilih pucuk pimpinan mereka. Selain itu, mereka juga telah diminta untuk berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang hendak dijalankan sepanjang tahun.

Mesyuarat agung bagi persatuan dan kelab berakhir pada pukul 3.30. Para pelajar SEMESRA kemudiannya berhimpun mengikut badan beruniform masing-masing bagi sesi melantik pengerusi dan ahli jawatankuasa tertinggi.


Tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah dipilih. Selamat menjalankan tugas dengan baik dan diharapkan agar kokurikulum SEMESRA akan lebih gemilang pada tahun ini, in sha Allah.