11 January, 2013

Lawatan Delegasi Pengetua-pengetua SMA Negeri Lombok Timur, Indonesia

Pada hari Rabu yang lalu, SEMESRA telah menerima satu lawatan delegasi pengetua-pengetua SMA negeri Lombok Timur, Indonesia. Persiapan rapi telah dibuat bagi menyambut kedatangan mereka ini.

Mereka tiba di perkarangan sekolah lebih kurang pukul 11.30 pagi dan disambut dengan paluan kompang. Seterusnya mereka telah dipersembahkan dengan tarian Endang sebelum dibawa ke bilik Mesyuarat.


Pengetua Kanan SEMESRA Pn. Hjh Norzila binti Idris dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan selamat datang kepada delegasi ini. Beliau telah mengambil kesempatan ini untuk memberi penerangan mengenai struktur pentadbiran SEMESRA. Sedikit penerangan telah diberikan mengenai subjek-subjek yang ditawarkan di sekolah ini serta keistimewaan sekolah berasrama penuh di Malaysia.

Ketua Delegasi dari Lombok dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas kesudian SEMESRA menerima kunjungan mereka dan berharap agar jalinan silaturahim ini akan berkekalan. Beliau juga berharap agar SEMESRA dapat dijadikan sekolah rujukan bagi sekolah-sekolah SMA Negeri yang turut serta dalam lawatan ini.


Selepas ucapan, persembahan multimedia telah dipersembahkan kepada para tetamu. Selepas itu, mereka telah dibawa melawat ke makmal dan juga pusat sumbers sekolah.

Terima kasih diucapkan atas kesudian delegasi ini membuat lawatan ke SEMESRA. Semoga jalinan ini akan dapat membantu dalam mencemerlangkan lagi sekolah masing-masing.