09 January, 2013

Pendaftaran Tingkatan Satu 2013

Pada hari Isnin yang lalu, SEMESRA telah menerima seramai warga SEMESRA yanag baru iaitu para pelajar Tingkatan 1. Dari 154 pelajar, seramai 139 telah hadir untuk mendaftar diri seawal pukul 8 pagi. Kedatangan warga baru SEMESRA ini telah disambut mesra oleh para guru dan pemimpin pelajar di Dewan Besar Dato' Azam.

Sebaik sahaja sampai, para pelajar Tingkatan Satu telah didaftarkan mengikut rumah dan seterusnya bergerak  ke kaunter-kaunter kelas.

 


Kemudian, mereka telah dibawa ke kaunter koperasi bagi urusan barangan koperasi seperti cadar, baju sukan dan sebagainya. Para pelajar juga telah dibawa ke kamar masing-masing sebelum masuk semula ke dewan untuk satu sesi taklimat dari Pengetua.


Dalam ucapan dan taklimat ringkas dari Pengetua Kanan SEMESRA Pn. Hjh Norzila binti Idris, beliau mengucapkan selamat datang kepada para pelajar Tingkatan 1 yang telah berjaya diterima masuk ke sekolah ini. Beliau berharap agar para pelajar  dapat belajar  menyesuaikan diri di sekolah yang tentunya berbeza dari sekolah lama masing-masing. Para pelajar serta ibu bapa diminta untuk mematuhi peraturan-peraturan sekolah yang telah ditetapkan demi kebaikan bersama.

Pengetua SEMESRA juga telah mengambil peluang ini untuk memberi penerangan ringkas mengenai Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) kepada para ibu bapa dan pelajar. Selepas taklimat ringkas, ibu bapa dibenarkan untuk membawa keluar anak-anak mereka bagi urusan melengkapkan peralatan sekolah atau asrama.

Selamat datang diucapkan kepada para pelajar Tingkatan Satu. Semoga kedatangan anda semua akan dapat membantu meneruskan kegemilangan dan kecemerlangan SEMESRA.