26 October, 2012

Jadual Waktu Peperiksaan SPM & Jadual Harian Semasa Peperiksaan SPM 2012

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga serta para pelajar Tingkatan 5, disertakan maklumat mengenai Jadual Waktu Peperiksaan SPM serta Jadual Harian Semasa Peperiksaan SPM untuk rujukan bersama.

23 October, 2012

Program Pengantarabangsaan Ke Padang, Indonesia

Pada 19 - 22 Oktober yang lalu, SEMESRA telah mengadakan satu lawatan program pengantarabangsaan ke Padang, Indonesia. Lawatan ini telah disertai oleh 14 orang guru serta 24 orang pelajar SEMESRA.

Rombongan SEMESRA telah melawat SMP Negeri 1 Padang, Indonesia bagi tujuan program Penanda Aras. Antara objektif lawatan ini adalah untuk  meningkatkan kepakaran dalam teknik pengajaran dan pembelajaran melalui program perkongsiaan pengurusan panitia. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar untuk bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan dengan para pelajar SMP Negeri 1.

Kedatangan rombongan SEMESRA disambut dengan meriah dan selepas itu para peserta rombongan telah dibawa ke sekitar sekolah sambil bertukar-tukar pandangan dan fikiran dalam usaha memantapkan lagi pengurusan sekolah masing-masing.


Semoga lawatan ini telah dapat memberi manfaat dan cetusan buah fikiran kepada kedua-dua sekolah dalam usaha untuk memartabatkan sekolah masing-masing ke peringkat yang lebih baik di masa hadapan.

09 October, 2012

All the Best, Zealous!

 

Pada hari ini bermulalah peperiksaan PMR bagi semua pelajar Tingkatan 3 seluruh Malaysia. Selepas membuat persiapan rapi bagi menghadapi peperiksaan ini, tibalah masanya bagi Zealous untuk menduduki peperiksaan ini.

 

Selamat berjaya diucapkan kepada Zealous. Semoga 8A akan berjaya didalam genggaman, insyaAllah. Lakukan sehabis baik!

08 October, 2012

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin PMR

Sabtu lepas telah diadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin bagi para pelajar yang akan menduduki PMR tidak lama lagi. Majlis telah diadakan di Surau SEMESRA dan dihadiri oleh para ibubapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 3 serta guru-guru SEMESRA.

Majlis bermula pada pukul 9.15 pagi dengan ucapan alu-aluan Puan Pengetua, Hjh Norzila binti Idris. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua pada majlis ini dan berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik bagi para pelajar ini.

Kemudian, majlis diteruskan dengan solat hajat dan bacaan yassin.

 
Selepas selesai, para hadirin dijemput ke kantin untuk sedikit jamuan. Didoakan agar para pelajar Tingkatan 3 akan dapat mencapai kejayaan yang amat cemerlang dalam peperiksaan PMR mereka berkat usaha dan iringan doa daripada ibubapa dan guru-guru sekalian, amin.

01 October, 2012

Hari Kecemerlangan Kokurikulum dan HEM

Pada 29 September yang lalu, telah diadakan Hari Kecemerlangan Kokurikulum dan HEM bagi tahun 2012. Majlis ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada semua guru dan pelajar yang telah berjaya menaikkan nama sekolah ke peringkat yang tertinggi dalam bidang masing-masing.

Majlis dimulakan pada pukul 9.30 pagi dengan pemeriksaan perbarisan kehormat oleh tetamu jemputan iaitu Datin Hajah Naemah binti Ahmad Dahalan, Pengawai Pendidikan Daerah Rembau. Selepas itu, tetamu telah diiringi oleh barisan pentadbiran SEMESRA untuk masuk ke dalam dewan.


Selepas nyanyian lagu Negaraku, Ustaz Shahiful Izuan bin Ismail telah memimpin bacaan doa. Seterusnya, Pengetua Kanan SEMESRA telah dijemput untuk memberi ucapan. Beliau melahirkan ucapan tahniah kepada semua guru dan para pelajar yang telah mengambil bahagian dalam segala pertandingan yang dianjurkan baik oleh JPNS mahupun SBP. Beliau berharap agar prestasi cemerlang pada tahun ini akan dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan.

 
 
Kemudian, Datin Hajah Naemah pula dijemput untuk memberi sedikit ucapan. Beliau mengucapkan sekalung tahniah kepada semua warga SEMESRA kerana telah berjaya mengungguli dalam beberapa pertandingan yang telah dijalankan pada tahun ini walaupun sekolah masih lagi diusia yang baru. Beliau yakin SEMESRA akan terus menempa nama di dalam semua pertandingan yang akan dijalankan pada tahun hadapan.


 Seterusnya majlis penyampaian hadiah kepada semua guru dan pelajar yang telah mencapai kejayaan cemerlang pada tahun ini. Antara anugerah-anugerah yang telah disampaikan adalah seperti berikut:

Anugerah Sukan Terbaik & Anugerah Mutiara Gemilang: Boling

Anugerah Badan Beruniform Terbaik: Kadet Polis

 antara penerima-penerima Anugerah Sinar Mutiara

 penerima-penerima Anugerah Half Colours

antara penerima-penerima Anugerah Kilauan Mutiara

Bagi Anugerah HEM pula, terdapat 10 Anugerah yang telah disampaikan termasuklah Anugerah Kelas Terbaik, Kamar Terbaik bagi Aspuri dan Aspura serta Anugerah Rumah Terbaik bagi setiap kategori.

 Anugerah Kelas Terbaik - 5 Einstein

 Anugerah Kamar Aspura Terbaik - Akhirul Zaman 4

 Anugerah Kamar Aspuri Terbaik - Akhirul Zaman 6

 
 Anugerah Khas Ketua Pelajar Lelaki dan Perempuan

Kemuncak Hari Kecemerlangan Kokurikulum dan HEM ini ialah apabila Anugerah Rumah Terbaik Keseluruhan bagi tahun 2012 diumumkan. Pada tahun ini, rumah Lela Maharaja telah berjaya dinobatkan dengan Anugerah Rumah Terbaik Keseluruhan. Tahniah diucapkan!

Ketua Rumah Lela Maharaja bersama Penolong Ketua Guru Rumah menerima piala pusingan

Diharapkan agar majlis ini akan menjadi pendorong kepada semua pelajar untuk melakukan yang terbaik dalam setiap acara pertandingan yang akan disertai. Semoga SEMESRA akan terus gemilang dalam acara kokurikulum dan para pelajar SEMESRA akan terus mempamerkan akhlak dan bakat kepimpinan selaras dengan aspirasi sekolah untuk melahirkan para pelajar bertaraf dunia, insyaAllah.