30 October, 2010

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG KALI PERTAMA

Pada 30 Oktober 2010, Sekolah Menengah Sains Rembau telah menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang buat kali yang pertama tahun ini. Majlis yang julung kali ini diadakan ini bertujuan untuk meraikan kejayaan yang cemerlang yang telah diperoleh oleh para pelajar sekolah menengah sains rembau selain meraikan guru-guru yang telah berjasa kepada sekolah sejak ditubuhkan pada tahun 2009. Majlis yang telah dihadiri oleh beberapa orang pengetua sekolah berasrama penuh, pengetua-pengetua sekolah menengah kebangsaan, agensi kerajaan dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari kementerian pelajaran malaysia khususnya bahagian pengurusan sekolah berasrama penuh dan sekolah kecemerlangan (BPSBPSK), pejabat pelajaran daerah rembau dan ibu bapa pelajar yang menerima anugerah. Majlis telah dirasmikan oleh YB Tuan ZaifulBahri bin Idris, ADUN kawasan Chembong mewakili YAB Dato' Seri Haji Muhammad bin Haji Hassan,Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Zaiful mengingatkan para pelajar supaya senantiasa mempunyai keazaman untuk mengejar kecemerlangan dalam pelajaran disamping tidak mengabaikan aspek-aspek pembinaan sahsiah dan keperibadian yang terpuji dan luhur. Dalam majlis berkenaan beliau yang juga wakil rasmi menteri besar telah sudi untuk menyampaikan anugerah kepada para pelajar dan guru sekolah menengah sains rembau. Semoga Sekolah Menengah Sains Rembau terus maju dan berjaya dengan cemerlang dalam membentuk generasi yang gemilang dan terbilang di Malaysia

23 October, 2010

HARI KEBUDAYAAN BAHASA ARAB SBP KALI KE5 PERINGKAT KEBANGSAAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Hari Kebudayaan Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan  telah diadakan di pada 22 hingga 24 Oktober 2010 bertempat di Sekolah Menengah Sains Selangor, Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Program yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Sains Selangor ini dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan dan dilangsungkan selama 3 hari bermula hari ini. Sebanyak 53 buah sekolah berasrama penuh telah menyertai majlis ini. 

Majlis yang diadakan adalah bertujuan untuk memupuk minat cintakan bahasa Alquran disamping merapatkan ukhuwah diantara pelajar-pelajar SBP yang mempelajari bahasa ahli syurga ini. Selain bertujuan menimbulkan minat untuk mempelajari Bahasa Arab dengan lebih mendalam, majlis ini juga dapat bemberi peluang kepada para pelajar SBP khususnya bagaimana cara untuk menghayati Islam yang sebenarnya menerusi penguasaan Bahasa Arab secara meluas. 

Dalam program yang dijalankan ini, Sekolah Menengah Sains Rembau yang diwakili 4 orang pelajar putera dan puteri bersama guru pengiring telah sama-sama memulakan langkah merealisasikan hasrat semua warga semesra untuk memartabatkan Bahasa Arab ke tahap yang lebih tinggi.Pelbagai acara telah disusun sepanjang tiga hari ini antaranya pertandingan khat antara SBP, Taqdim Taqrir (Kajian Lapangan) dan Tahajji Sahihan atau Spell It Right.Turut diadakan ialah lawatan ilmiah ke Taman Islam Yayasan Restu Shah Alam. Untuk Perkembangan Program Selanjutnya ikuti laporan kami esok. Insya Allah 

18 October, 2010

KEM JATIDIRI TINGKATAN DUA

Pada 15 hingga 17 Oktober yang lepas, telah diadakan satu program motivasi jatidiri bagi pelajar-pelajar tingkatan 2. Program 3 hari 2 malam yang diadakan di Star Fresh Resort, Bukit Putus Negeri Sembilan ini telah dihadiri seramai 128 orang pelajar tingkatan 2. Program yang dianjurkan oleh unit bimbingan dan kaunseling Sekolah Menengah Sains Rembau ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar tingkatan dua berkaitan dengan peranan seorang pelajar disekolah dan didalam masyarakat. Selain itu program ini juga bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan ilmu dan kewajipan menuntut ilmu disamping melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk kerja berkumpulan atau team building.

Pelbagai slot dan aktiviti telah diatur dan dilaksanakan dengan kerjasama guru-guru pengiring yang berperanan sebagai fasilitator dalam program tersebut. Dalam program tersebut pelajar turut didedahkan dengan cara-cara kehidupan semasa berada didalam hutan dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam gerak kerja berkumpulan. Diharapkan dengan aktiviti yang dijalankan, para pelajar tingkatan dua akan lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih getir dan sengit memandangkan para pelajar tingkatan dua adalah calon sulung yang bakal menghadapi peperiksaan PMR pada tahun hadapan.

HARI KOPERASI SEKOLAH : KOPERASI SEMESRA TERBAIK

Pada 27 Jun hingga 3 Julai yang lalu, telah diadakan majlis sambutan Hari Koperasi Sekolah peringkat sekolah diseluruh negara dan sebanyak 1566 buah koperasi sekolah telah mengesahkan perlaksanaan hari koperasi sekolah peringkat sekolah di sekolah masing-masing bagi tahun 2010.Daripada jumlah tersebut sebanyak 59 buah koperasi sekolah diseluruh malaysia telah dipilih oleh Jawatankuasa Penilai sebagai koperasi sekolah yang terbaik dalam penganjuran Hari Koperasi Sekolah diperingkat negeri masing-masing.

Bagi peringkat Negeri Sembilan, sebanyak 4 buah koperasi sekolah telah terpilih untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan iaitu Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad,Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Warisan Puteri, Seremban, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya Berhad dan Koperasi Sekolah Menengah Teknik Juasseh,Kuala Pilah.Manakala bagi peringkat Sekolah Berasrama Penuh pula, hanya tiga buah koperasi sekolah yang layak ke peringkat kebangsaan iaitu Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad, Koperasi Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub Pahang dan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Selangor.

Sehubungan dengan itu satu majlis penyampaian anugerah Hari Koperasi Sekolah 2010 kepada koperasi sekolah 5 dan 6 bintang akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini bertempat di Hotel Grand BlueWave Shah Alam Selangor Darul Ehsan dan 4 orang pelajar dan seorang guru pengiring akan sama-sama dihantar untuk mewakili Sekolah Menengah Sains Rembau ke majlis tersebut. Didoakan moga-moga kejayaan yang bakal dikecap nanti akan menjadi Sekolah Menengah Sains Rembau.

15 October, 2010

GSTT BAKAL DISERAP KE JAWATAN TETAP

Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.

"Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad."Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap."Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap."Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.

10 Buah Sekolah Amanah Bermula Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah, tahun depan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sekolah itu akan dikendalikan secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti."Selain mendapat peruntukan lazim kerajaan, sekolah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia. Beliau berkata, penubuhan dana berkenaan dicadangkan pada sesi “TownHall” Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini. Dalam bidang kesihatan pula, Najib berkata, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan menyediakan empat bas klinik bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan. Bagi membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi cemerlang di sekolah, IMDB akan menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah. Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah", kata Najib.

Sumber : BERNAMA

14 October, 2010

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA ( WORLD CLASS EDUCATIONS)

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".

Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :


  • Pembangunan tenaga manusia
  • Kepesatan pertumbuhan ekonomi
  • Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
  • Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
  • Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
  • Pembangunan teknologi dan sains
  • Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.

10 October, 2010

TUN DR. M : MALAYSIA PERLU RAMAI CENDEKIAWAN ISLAM

Malaysia perlu menghasilkan lebih ramai pemikir Islam yang berkemampuan dan berkeyakinan tinggi untuk memberi solusi kepada masalah dan krisis dunia.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masyarakat Muslim harus meninggalkan dunia dan budaya retorik serta beralih ke pendekatan yang lebih bermakna dan praktikal."Sejak awal lagi, Al-Quran menggalakkan umat Islam untuk berfikir, belajar dan melakukan kajian. Banyak yang dikatakan di dalam Al-Quran tentang ini yang telah menyebabkan lahirnya ramai para cendekiawan dan pemikir Muslim semasa zaman ketamadunan Islam.

"Namun, kebebasan untuk berfikir dalam Islam berbeza dari Barat yang tidak mempunyai batas," katanya.Mahathir mengatakan hal ini dalam pidatonya setelah mendapat anugerah Doktor Falsafah (Kepujian) dalam bidang Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.Dia mengatakan bahawa umat Islam harus berdikari dan mampu menghasilkan pengetahuan dan teknologi serta penyelesaian bagi masalah sosial, ekonomi dan antarabangsa.

Mereka tidak boleh diperhamba atau didominasi oleh idea dan pemikiran Barat."Muslim harus berubah dari hanya menjadi pengguna kepada menjadi pembekal pengetahuan atau penyumbang idea yang boleh menjadi penyelesaian alternatif berlandaskan Islam."Pemikiran berdasarkan agama harus menjadi fokus dan usaha yang berterusan di kalangan sarjana Muslim supaya mampu menghasilkan kaedah dan penyelesaian yang boleh bersaing dengan idea-idea dan teori-teori konvensional," katanya.

Mahathir berkata walaupun teori Barat dan konvensional kadang-kadang gagal untuk memberikan penyelesaian yang terbaik, mereka masih boleh menakluk dan pengaruh berfikir global dalam segi sosial, ekonomi, politik dan kewangan.Tanpa disedari, dunia sedang menghadapi krisis moral, sosial, politik dan ekonomi kerana terlalu terikat dengan objektif dan falsafah Barat."Kini kita merasakan bahawa apa yang kita warisi dari Islam dan ajarannya tidak sesuai dan ketinggalan zaman. Kita merasa rendah diri ketika berhadapan dengan teori-teori yang dibawa oleh para pemikir Barat yang tidak berlandaskan agama."Disebabkan oleh falsafah barat yang menekankan kebebasan berfikir dan kebebasan individu, manusia kehilangan arah dan tujuan yang sebenarnya dalam hidup."

-The Sun

UPSR KEKAL, PMR MANSUH MULAI 2016

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru mulai 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun 6 akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza.Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian perlu mengambil masa untuk melaksanakan sistem penilaian yang baru itu kerana pelajar yang ada dalam sistem sekarang tidak boleh dibebani dengan format baru.

"Kalau kita nak mulakan penambahbaikan UPSR dan PMR itu, ia mungkin akan bermula seawal-awalnya pada tahun 2016."Pelajar yang telah ada dalam sistem sekarang ini tidak perlu kita hadapkan dengan ujian baru kerana mereka telah berada dalam sistem ini...tapi kohort yang baru masuk mungkin pada 2011, maka ujian yang pertama ialah pada 2016," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari Sabtu.Beliau berkata rundingan ketiga dan terakhir meja bulat mengenai penambahbaikan sistem peperiksaan itu telah selesai dan mereka menerima baik pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kementerian.

"Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah."Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai," katanya.

Muhyiddin berkata antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dan maklumat terperinci mengenai penambahbaikan itu akan diumum apabila ia diputuskan secara muktamad.Mengenai penilaian berasaskan sekolah bagi PMR pula, Muhyiddin berkata Lembaga Peperiksaan akan memainkan peranan penting untuk menyelaras bentuk ujian yang akan dilakukan di peringkat sekolah itu.

"Mungkin dalam masa seminggu lagi kita akan maklumkan secara muktamad," katanya.Muhyiddin berkata penambahbaikan itu akan memperkukuhkan lagi sistem dan kualiti pendidikan negara, dan tidak dilihat sebagai berasaskan peperiksaan semata-mata.Beliau berkata program perintis penilaian berasaskan sekolah itu telah dilaksanakan sejak 2008 dan sehingga kini ia melibatkan 550 sekolah.Penambahbaikan sistem peperiksaan UPSR dan PMR itu akan melibatkan perubahan dari segi kurikulum, buku dan latihan untuk guru, katanya.