29 November, 2013

Prosedur Pembelian Nombor Unik ID Aplikasi Dalam Talian Bagi Permohonan ke IPTA Sesi Akademik 2014/2015

Perhatian kepada batch Extrovert,

Dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menggunakan kaedah Aplikasi Dalam Talian bagi permohonan kemasukan ke IPTA Program Pengajian Ijazah Pertama. Semua lepasan SPM/Setaraf perlu mengemukakan permohonan kemasukan melalui Aplikasi Dalam Talian sahaja.

Aplikasi Dalam Talian hanya boleh diakses dengan nombor Unik ID yang boleh didapati dengan berurusan terus dengan kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) terdekat mulai 20 Januari 2014. Tiada lagi pembelian pukal nombor Unik ID yang selalunya dibuat oleh pihak sekolah. Para pelajar dikehendaki untuk membuat urusan pembelian nombor Unik ID sendiri.

Terdapat dua kategori bagi pembelian nombor Unik ID. Bagi batch Extrovert, anda hendaklah membeli nombor Kategori A (bernilai RM 10.60) yang dikhaskan untuk lepasan SPM sahaja.

Selepas pembelian nombor ini, anda dinasihati untuk menyimpan nombor Unik ID anda dengan cara berhemah berdasarkan tatacara yang mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk mengelakkan sebarang kebocoran maklumat akibat salah guna nombor untuk tujuan menjejaskan permohonan anda oleh individu yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Harap maklum.

22 November, 2013

Buku Teks Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Tahun 2014

Dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar Tingkatan 2, 3 dan 4 bagi tahun 2014 telah dibekalkan dengan buku teks Skim Pinjaman Buku teks (SPBT) manakala pelajar-pelajar Tingkatan 5 akan dibekalkan dengan buku teks pada ketetapan berikut:

Tarikh: 14 Disember 2013 (Sabtu)
Masa: 8 pagi - 4 petang
Tempat: Bilik SPBT

Penyerahan buku teks selepas tarikh yang tertera di atas akan dilakukan di pejabat sekolah pada hari Isnin hingga Khamis antara jam 9 pagi - 4 petang.

Sehubungan dengan itu, diharapkan agar ibu bapa atau penjaga dapat memantau dan memastikan anak/jagaan tuan dapat menjaga buku teks mereka dengan baik.

Terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua.

06 November, 2013

Semoga Berjaya Extroverts!

Hari ini bermulalah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysian (SPM) bagi semua pelajar Tingkatan 5 seluruh Malaysia. Seramai 191 calon SEMESRA akan menduduki peperiksaan ini bermula hari ini sehingga 27 November.


Seluruh warga SEMESRA mendoakan agar batch Extrovert akan dapat menjawab soalan dengan cemerlang dan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang minggu peperiksaan. Semoga semua calon SPM pada tahun ini akan mencapai kejayaan yang gemilang, insyaAllah.

Jadual dan Aktiviti Harian Pelajar-pelajar SPM 2013

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga para pelajar Tingkatan 5, berikut dipaparkan jadual dan aktiviti harian para pelajar untuk semakan dan pengetahuan semua.

1 - 2 Nov

3 - 4 Nov

 5 - 6 Nov

 
 7 - 8 Nov

9 - 10 Nov
10 - 12 Nov 
13 - 14 Nov 
 15 - 17 Nov
 18 - 19 Nov
 20 - 21 Nov
 22 - 24 Nov
25 - 26 Nov
 27 - 28 Nov
 Sekian, harap maklum.

05 November, 2013

Kejohanan Olahraga 1 Murid 1 Sukan dan Kejohanan Olahraga Mini Balapan & Padang 2013

SEMESRA telah menghantar atlet-atlet sekolah ke Kejohanan Olahraga 1 Murid 1Sukan dan Kejohanan Mini Balapan yang telah diadakan di Sekolah Sukan Zaaba, Kuala Pilah Oktober lalu.

Bagi Kejohanan Olahraga 1 Murid 1Sukan Peringkat Negeri, SEMESRA telah menghantar atlet-atlet Tingkatan 3 untuk bertanding. Dalam kejohanan ini, atlet-atlet SEMESRA telah berjaya mengungguli Johan Keseluruhan Lelaki dan lebih membanggakan apabila atlet SEMESRA iaitu Muhd Danial b. Dol telah dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik. Seramai 4 orang pelajar SEMESRA iaitu Izmeer, Fikri, Naim dan Danial telah terpilih mewakil Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan di Pulau Pinang.


Kejohanan Olahraga 1 Murid 1 Sukan Peringkat  Kebangsaan pula telah berlangsung dari 6 - 10 November 2013 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Walaupun gagal meraih sebarang pingat, diharapkan kejohanan ini telah berjaya memberi pengalaman berharga kepada atlet-atlet SEMESRA untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

SEMESRA juga telah menyertai Kejohanan Olahraga Mini Balapan Peringkat Negeri dengan menghantar atlet-atlet Tingkatan 1. Dalam kejohanan ini, seorang atlet SEMESRA iaitu Syahirul Aidil telah berjaya meraih pingat emas.

Tahniah diucapkan kepada semua pasukan olahraga SEMESRA yang telah berjaya mempamerkan prestasi yang gemilang sepanjang tahun 2013. Semoga anda akan terus gemilang pada tahun 2014.

02 November, 2013

Kejohanan Olahraga SBP Kebangsaan 2013

Pada 30 Oktober hingga 1 November 2013 yang lalu telah berlangsung Kejohanan Olahraga, Balapan dan Padang SBP Peringkat Kebangsaan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. Tiga atlet SEMESRA iaitu Muhammmad Zharfan Nafiq b. Mohd Ghafarudin, Ahmad Zulfikar b. Mohd Ariffin dan Ramaneish A/L Sivaraj telah terpilih untuk mewakil SBP Zon Selatan ke kejohanan ini.



Kesemua atlet SEMESRA telah beraksi cemerlang apabila berjaya meraih pingat dalam acara masing-masing. Muhd Zharfan telah berjaya meraih pingat emas dalam acara lontar peluru. Beliau juga telah berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan lontaran sejauh 12.33m. Ramaneish juga telah meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi dengan rekod lompatan setinggi 1.85 sekaligus memecahkan rekod kejohanan. Ahmad Zulfikar pula meraih pingat perak dalam acara lempar cakera dengan lemparan sejauh 28.34 m.


Tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga atlet ini kerana berjaya mengharumkan nama sekolah. Semoga kecemerlangan ini akan dapat diteruskan lagi di tahun hadapan.