30 September, 2016

Majlis Anugerah Cemerlang Kokurikulum dan HEM


Majlis Anugerah Cemerlang Kokurikulum dan HEM telah diadakan dengan jayanya pada hari ini bersamaan Jumaat, 30 September. Majlis ini diadakan untuk mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan para pelajar dan guru dalam bidang kokurikulum dan HEM.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato; Zaifulbahari bin Idris, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan Belia dan Sukan yang juga EXCO,  ADUN Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong.


Majlis dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang HEM. Hadiah telah disampaikan oleh Puan Jamsah binti Hussin, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Rembau.


Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang telah mengukir kejayaan dalam bidang kokurikulum. Hadiah telah disampaikan oleh YB Dato' Zaifulbahari bin Idris.
  


Pada tahun ini, rumah Akhirul Zaman telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sistem Rumah serta Johan Kategori Kokurikulum dan Akademik. Tahniah diucapkan kepada Ketua Guru Rumah dan Ketua Rumah Akhirul Zaman serta ahli-ahli rumah yang lain.





Anugerah Tokoh HEM telah diberikan kepada Mohd Fikri bin Norhasan sementara Anugerah Khas Kepimpinan pula telah diberikan kepada Nuraina Zahirah binti Azali  atas komitmen dan kepimpinan yang baik mereka sebagai Ketua Pelajar dan Penolong Ketua Pelajar SEMESRA.


Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan semoga kemenangan ini akan menjadi pendorong kepada yang lain untuk sama-sama cemerlang dalam bidang kokurikulum dan HEM pada masa akan datang.

21 September, 2016

Jadual Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 4

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 4,

Berikut dipaparkan Jadual Peperiksaan Akhir Tahun bagi pelajar-pelajar Tingkatan 4.

 

Jadual Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 2

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 2,

Berikut dipaparkan Jadual Peperiksaan Akhir Tahun bagi pelajar-pelajar Tingkatan 2

Jadual Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 1

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 1,

Berikut dipaparkan Jadual Peperiksaan Akhir Tahun bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1

20 September, 2016

Takwim September 2016

Untuk makluman dan tindakan tuan/puan, dipaparkan takwim bagi bulan September 2016.


11 September, 2016

Jalinan SEMESRA Tingkatan Tiga dan Empat 2016

Pada 9 September yang lalu telah diadakan Jalinan SEMESRA bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 4. Bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3, perbincangan akademik yang dilakukan adalah berdasarkan keputusan Peperiksaan Percubaan SBP PT3 manakala bagi pelajar-pelajar Tingkatan 4, ia adalah berdasarkan keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun yang lalu.




Diharapkan perbincangan yang telah diadakan antara pelajar, guru dan ibu bapa akan dapat membantu para pelajar untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan yang akan datang. Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa dan penjaga yang telah hadir. Terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan dan diharapkan agar usaha bersama ini akan membuahkan hasil demi kecemerlangan anak-anak kita.

08 September, 2016

Pertandingan Memasak Peringkat Negeri Sembilan 2016

Tahniah diucapkan kepada SEMESRA yang telah muncul Johan Pertandingan Memasak Peringkat Negeri yang telah diadakan di SMK Pasir Panjang, Port Dickson hari ini bersamaan 8 September 2016.

 

Tahniah sekali lagi dan terima kasih diucapkan kepada guru-guru pembimbing yang telah membantu pasukan SEMESRA dalam membuat persediaan untuk ke pertandingan ini. Semoga SEMESRA akan terus gemilang dalam semua pertandingan yang disertai.

Majlis Penyerahan Tugas Lembaga Pemimpin Pelajar Sesi 2015/2016

Majlis Penyerahan Tugas Lembaga Pemimpin Pelajar Sesi 2015/2016 telah diadakan pada 8 September  di Dewan Dato' Haji Azam dan disempurnakan oleh Pengetua SEMESRA, Pn Hjh Norzila binti Idris.

Ketua Pelajar SEMESRA bagi sesi 2015/2016, Muhammad Fikri bin Norsan, dalam ucapan, telah menyampaikan rasa penghargaan dan terima  kasih beliau kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama kepada kepimpinan beliau. Beliau juga berharap agar kepimpinan baru akan dapat berkhidmat dengan baik bagi memastikan kecemerlangan SEMESRA dapat diteruskan.


Pengetua SEMESRA dalam ucapan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pemimpin pelajar Tingkatan 5 yang telah banyak membantu pihak sekolah dalam memastikan sekolah berada dalam keadaan baik. Seterusnya beliau berharap agar kepimpinan baru akan dapat menggalas tanggungjawab yang diberikan ini dengan penuh amanah dan dedikasi.


 Seterusnya Encik Saljie Saluien telah mengumumkan organisasi LPP bagi sesi 2016/2017.


Majlis diteruskan dengan simbolik penyerahan tugas  daripada Ketua Pelajar Sesi 2015/2016 Muhammad Fikri kepada Ketua Pelajar Sesi 2016/2017 Muhammad Afif Zaim.


Terima kasih diucapkan kepada barisan kepimpinan LPP Sesi 2015/2016 atas khidmat yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Selamat bertugas diucapkan kepada barisan kepimpinan LPP Sesi 2016/2017. Semoga dapat menjalankan amanah yang telah diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Semoga segala usaha kita akan diberkati olehNya.

07 September, 2016

Ceramah Kemerdekaan 2016

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, satu ceramah kemerdekaan telah diadakan pada 7 September yang lalu bertempat di Surau An-Nur, SEMESRA. Penceramah jemputan ialah En Mohd Suhaimi bin Mohd Din dari Jabatan Perdana Menteri. Beliau telah menyampaikan ceramah yang bertajuk 'Negaraku Malaysia'.

 
  

Terima kasih  kepada BTN dan Parlimen Rembau atas kerjasama yang diberikan bagi merealisasikan program ini. Semoga semua warga SEMESRA telah mendapat manfaat daripada ceramah yang diberikan.

Singapore International Math Olympiad Challenge 2016

Seorang pelajar SEMESRA, Ahmad Hariz bin Ahmad Azam telah berjaya mengharumkan nama SEMESRA apabila terpilih mewakili Malaysia dalam Pertandingan Singapore International Math Olympiad Challenge 2016 yang diadakan pada 13 dan 14 Ogos yang lalu di St Joseph Institution, Singapore. Sebanyak 15 negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. 


Dalam pertandingan ini, Ahmad Hariz telah berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan apabila berjaya meraih anugerah Honourable Mention. Pasukan Malaysia pula telah berjaya mendapat tempat pertama keseluruhan dalam pertandingan berprestij ini.


Tahniah diucapkan kepada Ahmad Hariz. Semoga kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar-pelajar SEMESRA yang lain untuk menempa nama di peringkat antarabangsa. Terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru Matematik yang telah sama-sama membantu membuat persediaan bagi pertandingan ini.

05 September, 2016

Jalinan SEMESRA Tingkatan 3 dan 4

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 4,

Majlis Jalinan SEMESRA bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 4 akan diadakan mengikut ketetapan yang berikut:

Tarikh: 9 September 2016
Masa: 8.30 pagi - 12.30 tgh
Tempat: Dewan Dato' Hj Azam

Surat edaran telah pun diposkan kepada semua ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 4. Diharapkan agar semua ibu bapa dan penjaga yang terlibat akan dapat hadir demi kemajuan anak-anak kita.

Sekian, harap maklum.

Karnival Pendidikan Kerjaya SBP Zon 2

Pada 2 dan 3 September yang lepas telah diadakan Karnival Pendidikan Kerjaya SBP Zon 2 di SM Sains Muar, Johor. SEMESRA telah menghantar wakil bagi menyertai pertandingan-pertandingan yang dijalankan.


Alhamdulillah, SEMESRA telah menjadi Johan dalam Pertandingan E-Pendidikan Kerjaya, Naib Johan dalam Folio Kerjaya dan Tempat ke-6 dalam Eksplorasi Alam Kerjaya.

 

Tahniah diucapkan kepada para pelajar yang telah mewakili SEMESRA dalam Karnival ini. Untuk pengetahuan semua, Johan dan Naib Johan akan mewakili Zon 2 ke Karnival Kerjaya Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi. Terima kasih juga diucapkan kepada kaunselor-kaunselor SEMESRA yang telah memberi bimbingan kepada para pelajar ini.

04 September, 2016

Program Fit Malaysia 2016

Pada 4 September yang lalu, pelajar-pelajar dan guru-guru SEMESRA telah menyertai Program Fit Malaysia yang telah diadakan di Dataran Rembau. Program yang diadakan bagi menarik perhatian orang ramai untuk menjalani cara hidup sihat telah berjaya mengumpulkan seramai 15, 000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Antara acara menarik yang telah diadakan sempena program ini ialah larian 5km dan 10km, kayuhan basikal 10km dan 30km, zumba dan lain-lain lagi.


 Tahniah kepada semua yang telah mengambil bahagian.