31 May, 2011

Terima Kasih Canon Malaysia!

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Canon Malaysia yang telah bermurah hati untuk menyumbang sebuah kamera Canon EOS 450D untuk kegunaan Sidang Redaksi Majalah. Adalah diharapkan dengan adanya sebuah lagi kamera sekolah, kerja-kerja pengambaran untuk majalah sekolah akan menjadi lebih mudah selepas ini.




kamera yang disumbangkan oleh Canon Malaysia

Terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru Sidang Redaksi yang telah berusaha untuk mendapatkan sumbangan ini dalam usaha untuk mempertingkatkan kualiti majalah sekolah; Mutiara SEMESRA.

30 May, 2011

Perhimpunan Hari Guru Peringkat Negeri 2011

Pada 27 Mei yang lalu telah diadakan satu perhimpunan Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2011. Pada tahun ini, daerah Rembau telah terpilih untuk menjadi tuan rumah dan Dataran Rembau telah dijadikan tempat berhimpunnya guru-guru di seluruh Negeri Sembilan.


guru-guru yang hadir

Perhimpunan ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Utama Hj. Mohammad bin Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan. Di dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah kepada guru-guru di Negeri Sembilan kerana berjaya menempatkan diri di kalangan yang terbaik di Malaysia.

Ini dapat dilihat melalui pencapaian PMR dan SPM pada tahun lepas di mana Negeri Sembilan telah berjaya bukan sahaja mencapai sasaran yang telah ditetapkan malahan adalah lebih baik lagi. Beliau berharap agar prestasi cemerlang ini akan dapat dipertingkatkan lagi di masa akan datang.


semasa memberi ucapan

Pada malam itu, warga SEMESRA juga berasa sungguh bangga apabila salah seorang guru SEMESRA telah terpilih menerima anugerah sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini. Puan Norsuriya bt. Abu Hassan, Guru Cemerlang Matematik Tambahan telah berjaya mendapat Anugerah Tokoh Guru Inovatif bagi Kategori Sekolah Menengah.



penerima-penerima anugerah bergambar bersama Menteri Besar N.S

Hadiah trofi dan RM500 telah disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Tahniah diucapkan kepada Pn. Norsuriya. Semoga anugerah ini akan membakar lagi semangat Pn. Norsuriya untuk terus menabur bakti di bumi SEMESRA.

27 May, 2011

Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Kali Ke-38

Pada 22-26 Mei yang lalu telah diadakan Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan kali ke-38 di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Kali ini sebanyak 59 SBP berserta Maktab Tentera Diraja telah menghantar kontinjen mereka untuk mengambil bahagian.

Kontinjen SEMESRA terdiri daripada GPK Ko-Kurikulum En. Zaili Azmi b. Mustafa Al-Fendi, pasukan bahas Bahasa Melayu, pasukan bahasa Bahasa Inggeris, guru-guru pengiring serta hakim-hakim bahas.

Bagi Bahas Bahasa Melayu, SEMESRA berada di dalam Kumpulan B. SEMESRA telah berjaya memenangi 2 pusingan awal bahas iaitu semasa bertemu SMS Miri serta SBPI Kubang Pasu. Walau bagaimanapun, SEMESRA tewas semasa menentang SMS Tunku Muhammad Faris Petra. Dengan keputusan ini, SEMESRA hanya berjaya menduduki tempat kedua di dalam Kumpulan B.


pasukan bahasa Bahasa Melayu

Bagi Bahas Bahasa Inggeris pula, SEMESRA berada di dalam Kumpulan K. Pasukan ini telah berjaya menewaskan SBPI Pekan dan SBPI Kubang Pasu. Malangnya, SEMESRA gagal untuk menempah tempat ke pusingan seterusnya apabila tewas kepada SBPI Sabak Bernam.


pasukan bahasa Bahasa Inggeris

Tahniah diucapkan kepada semua ahli kontinjen SEMESRA. Semoga prestasi ini akan dapat diperbaiki di dalam pertandingan-pertandingan perbahasan yang akan datang.

24 May, 2011

Sambutan Hari Falak 2011

Tahniah diucapkan kepada Muhd Hazwan Haziq (1 Einstein) dan Suhaza Afifi (2 Al-Razi) yang telah berjaya memenangi satu pertandingan robotik sempena Sambutan Hari Falak yang telah diadakan pada 21 dan 22 Mei yang lalu.

Sambutan yang dianjurkan oleh Jabatan Mufri Negeri Melaka ini telah diadakan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka. Untuk pertandingan robotik ini, SEMESRA telah menghantar 2 pasukan untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.

Untuk pengetahuan semua, SEMESRA merupakan wakil tunggal Negeri Sembilan di dalam pertandingan ini yang dikuasai oleh sekolah-sekolah sekitar Melaka.

Robot yang digunakan oleh pasukan SEMESRA telah berjaya memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Syarat utama yang harus dipenuhi ialah robot yang digunakan haruslah berjaya mengutip 3 barang yang disediakan tanpa menyentuh uranium yang berhampiran.


robot yang digunakan

Alatan yang berharga RM6,800 ini telah berjaya digunakan dengan sempurna oleh pasukan yang terdiri daripada Hazwan dan Suhaza. Sebagai Johan pertandingan ini, mereka telah berjaya memenangi satu teleskop dan satu pakej penginapan 2 hari 1 malam di Kompleks Falak Al-Khawarizmi.


pemenang bersama teleskop yang dimenangi


ahli-ahli Kelab Astronomi SEMESRA

Tahniah diucapkan sekali lagi kepada Johan Pertandingan Robotik ini. Terima kasih juga diucapkan kepada PIBG yang telah menyumbang sebanyak RM 2, 000 bagi pembelian alatan robotik yang diperlukan untuk pertandingan ini.

17 May, 2011

Selamat Hari Guru, cikgu!

Pada hari Isnin yang lalu telah diadakan satu sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Sambutan dimulakan dengan bacaan Yassin dan solat hajat di Surau SEMESRA.



Para guru SEMESRA yang segak memakai uniform sekolah sempena tema tahun ini iaitu 'Back to School' kemudiannya berkumpul di hadapan bangunan utama untuk sesi fotografi ringkas.


guru berpakaian sekolah

Kemudiannya para guru berarak dari bangunan akademik ke Dewan Dato' Haji Azam.




Selepas guru-guru penolong kanan membacakan perutusan khas Hari Guru 2011, tibalah masanya untuk segmen 'Jasamu dikenang'.

Pada tahun ini, Haji Baharudin Husin dan En. Mozaidi Moktar telah menjemput bekas guru mereka bagi menjadi tetamu khas di dalam majlis ini.



Selepas itu, majlis berhenti berehat seketika sebelum acara seterusnya iaitu acara sukaneka. Acara ini telah diadakan di padang sekolah. Malangnya, acara tidak dapat diteruskan kerana hujan lebat.



Oleh kerana cuaca yang tidak mengizinkan, acara dewan dimulakan. Acara persembahan ini bukan sahaja mempamerkan bakat para pelajar tetapi guru-guru juga mengambil peluang ini untuk mempamerkan bakat terpendam mereka.


para pelajar membuat persembahan


persembahan guru

Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua guru di SEMESRA. Semoga kita akan berusaha untuk menjadi lebih cemerlang lagi demi kekebaikan para pelajar SEMESRA. Sesungguhnya 'Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara'.

08 May, 2011

LDP Bersama Pengarah SBPSK

Semalam, staf akademik SEMESRA telah berpeluang untuk mengikuti satu ceramah dan taklimat LDP dari Pn. Ashah bt Samah, Pengarah Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster (SBPSK).

Beliau telah dijemput khas untuk menyampaikan taklimat bagaimana untuk mencapai kecemerlangan sekolah.


Pn. Ashah sedang menyampaikan taklimat


staf akademik yang hadir untuk sesi LDP

Beliau telah memberi penerangan panjang lebar bagaimana SEMESRA boleh mencapai taraf sekolah berprestasi tinggi (SBT) dan beliau percaya bahawa SEMESRA akan dapat mencapai matlamat ini jika sekolah mempunyai satu 'working team' yang mantap.




Selain daripada itu, beliau telah menyarankan kepada pihak sekolah untuk menetapkan 'niche area' sekolah agar sekolah mempunyai identitinya yang tersendiri.

Beliau mengharapkan agar dalam masa terdekat ini, SEMESRA akan berjaya menyahut cabaran untuk duduk sebaris dengan SBT yang lain.

Di akhir kursus, Tn Hj Baharudin Husin bagi pihak sekolah telah menyampaikan tanda terima kasih pihak sekolah atas ilmu yang telah dicurahkan kepada semua warga akademik SEMESRA.



Semoga apa yang telah disampaikan semasa kursus ini akan dapat membantu SEMESRA dalam mencapai matlamat untuk menjadi sekolah yang cemerlang bertaraf antarabangsa.

05 May, 2011

Pertandingan Saintis Muda 2011

Pada 4 Mei yang lalu, bertempat di SMK Panchor Seremban telah diadakan Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Sembilan 2011. Pelbagai pertandingan telah diadakan di peringkat sekolah rendah dan juga menengah seperti pertandingan Saintis Muda, Teknologi Pelancaran Roket dan sebagainya.

Di dalam Pertandingan Saintis Muda, SEMESRA telah diwakili oleh Nur Syafiqa Balqis bt Md Din dan Nur Aishah bt Mokhtar dari tingkatan 3 Bandura. Terdapat 51 sekolah yang bertanding dan kesemua para peserta pertandingan ini telah dikuarantinkan sebelum pertandingan bermula.

Untuk pertandingan ini, para peserta dikehendaki menjalankan eksperimen dan menjawab soalan yang dikemukakan dalam masa 10-15 minit. Para pelajar terpaksa melalui 3 stesen di dalam makmal dan 2 stesen di luar makmal.

Alhamdulillah, pelajar-pelajar SEMESRA telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini. Berikut adalah keputusan pertandingan:

Johan: SMK Bandar Baru Serting
N. Johan: SEMESRA
Ketiga: Kolej Tunku Kurshiah



peserta SEMESRA dengan pingat kemenangan mereka

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua peserta. Diharapkan agar kejayaan ini akan dapat diperbaiki pada tahun hadapan.

01 May, 2011

Kejohanan Bola Jaring Peringkat Daerah Rembau

Pada 20 April yang lalu, SEMESRA telah menghantar 2 pasukan bola jaring untuk menyertai Kejohanan Bola jaring Peringkat Daerah Rembau. Kejohanan ini telah diadakan di SM Teknik Maharaja Lela dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang.



pasukan SEMESRA di tengah padang


Keputusan penuh bagi Pasukan Bola Jaring Bawah 18 adalah seperti berikut:

1. SEMESRA vs SMK Agama Haji Mohd Yatim
Tewas 8-11

2. SEMESRA vs SMV Dato' Undang Haji Muhamad Sharip
Tewas 5-11

3. SEMESRA vs SMK Dato Abdullah
Menang 7-5

Pasukan ini hanya berjaya menduduki tempat ketiga bagi kumpulan mereka.


Berikut pula adalah rekod pencapaian Pasukan Bola Jaring Bawah 15:

1. SEMESRA vs SMK Datuk Abdullah
Menang 6-3

2. SEMESRA vs Sekolah Tinggi Yayasan Sofa
Menang 13-6

3. SEMESRA vs SMK Dato' Sedia Raja
Tewas 1-11

Pasukan Bawah 15 telah berjaya melayakkan diri ke separauh akhir di mana mereka telah bertemu dengan SMK Undang Rembau. SEMESRA tewas dengan jaringan 2-8. Dengan keputusan ini, SEMESRA berjaya menggondol tempat ke 3 dalam kejohanan ini.

Tahniah diucapkan kepada pasukan VALIANTS atas kejayaan pasukan mengharungi kejohanan ini. Semoga pasukan ini akan mengecapi kejayaan yang lebih baik dalam Kejohanan Bola Jaring Peringkat Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan yang akan diadakan pada bulan Jun kelak.