14 November, 2010

SALAM AIDIL ADHA BUAT SEMUA


KAMI MEWAKILI SELURUH WARGA SEMESRA MENGUCAPKAN 
SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
KEPADA SELURUH MUSLIMIN DAN MUSLIMAT 

13 November, 2010

KEJOHANAN OLAHRAGA SEKOLAH MENENGAH SAINS REMBAU KALI 1

Pada 13 November 2010, satu kejohanan olahraga bagi peringkat Sekolah Menengah Sains Rembau telah diadakan di Padang Astaka Sekolah Menengah Sains Rembau. Kejohanan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk mengembangkan lagi potensi pelajar khususnya pelajar sekolah menengah sains rembau dalam aspek kokurikulum khususnya dalam bidang sukan. Selaras dengan hasrat kementerian Pelajaran Malaysia bermula tahun hadapan, akan diwajibkan kepada semua pelajar, seorang pelajar satu sukan. Majlis pembukaan kejohanan telah dirasmikan oleh yang berbahagia Tuan Haji Mohd Kholil bin Muhammad, Ketua Unit Pengurusan Sektor Akademik Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa Sekolah Menengah Sains Rembau telah berjaya mencipta beberapa kejayaan walaupun baru dibuka. Beliau mengucapkan tahniah atas segala usaha yang telah dilakukan bagi menjadikan Sekolah Menengah Sains Rembau setanding dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain.

Dalam kejohanan yang telah berlangsung selama tiga hari berturut-turut sebanyak 8 acara telah dipertandingkan. Dalam acara yang telah dipertandingkan para peserta telah menunjukkan bakat yang terpendam. Banyak rekod yang telah dicipta setakat ini.Turut berlangsung acara olahraga jemputan antara atlit tuan rumah bersama atlit dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai. Saudara Mohamad Fairuz bin Zakaria dan Nur Izzati Zainal Abidin telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terbaik SEMESRA buat kali yang pertama manakala Juara keseluruhan kejohanan pada kali ini dimenangi oleh Rumah Johan Pahlawan. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh perasmi kejohanan pada kali ini iaitu Tuan Haji Mohd Kholil bin Muhammad, Ketua Unit Pengurusan Sektor Akademik Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia.Semoga Kejayaan lebih gemilang dapat dicapai pada masa-masa akan datang.

12 November, 2010

KOPERASI SEKOLAH MENENGAH SAINS REMBAU KELIMA TERBAIK DI MALAYSIA

Pada 24 Oktober 2010 yang lalu telah berlangsung satu majlis pengiktirafan koperasi 5 bintang dan 6 bintang bersempena sambutan Hari Koperasi Peringkat Kebangsaan bertempat di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam Selangor Darul Ehsan.Majlis ini dianjurkan bertujuan untuk meraikan serta memberikan pengiktirafan terhadap koperasi sekolah yang telah berjaya mencapai standart yang telah ditetapkan. Dalam majlis yang diadakan, Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad telah mendapat tempat kelima dan menerima anugerah 5 bintang. Ini menunjukkan bahawa Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau mampu untuk menempatkan diri dalam kalangan koperasi sekolah yang terbaik di Malaysia

11 November, 2010

Bulan Integriti peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)

Bersempena dengan sambutan Bulan Integriti peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada bulan November ini, Unit Pelan Integriti Nasional (PIN), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia(BPSM), KPM telah melancarkan ’Kempen Senyum dan Sapa’ pada 28 Oktober hingga 25 November 2010. Sehubungan itu, Unit ini akan menganjurkan ceramah di atas seperti butiran berikut:

Tarikh : 22 November 2010 (Isnin)
Masa : 9.00 – 11.30 pagi
Tempat : Dewan Serbaguna, Aras 9, Blok E12, Kompleks E, KPM
Tajuk : “Disebalik Senyuman Lebar”
Penceramah: Pps. Mohd Nazri bin Ismail

Selain itu juga, Unit PIN dengan kerjasama Jawatankuasa Ekonomi KESKEP dan GIATMARA, Putrajaya akan mengadakan “Cupcakes & Homemade Chocolate Day” iaitu jualan dan penghantaran cupcakes dan handmade chocolate kepada pegawai/kakitangan di Parcel E, Putrajaya (sahaja). Tujuan program ini adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim yang terjalin di antara pegawai/kakitangan di sekitar Parcel E, selaras dengan penganjuran ’Kempen Senyum dan Sapa’ yang telah dilancarkan.

30 October, 2010

MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG KALI PERTAMA

Pada 30 Oktober 2010, Sekolah Menengah Sains Rembau telah menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang buat kali yang pertama tahun ini. Majlis yang julung kali ini diadakan ini bertujuan untuk meraikan kejayaan yang cemerlang yang telah diperoleh oleh para pelajar sekolah menengah sains rembau selain meraikan guru-guru yang telah berjasa kepada sekolah sejak ditubuhkan pada tahun 2009. Majlis yang telah dihadiri oleh beberapa orang pengetua sekolah berasrama penuh, pengetua-pengetua sekolah menengah kebangsaan, agensi kerajaan dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari kementerian pelajaran malaysia khususnya bahagian pengurusan sekolah berasrama penuh dan sekolah kecemerlangan (BPSBPSK), pejabat pelajaran daerah rembau dan ibu bapa pelajar yang menerima anugerah. Majlis telah dirasmikan oleh YB Tuan ZaifulBahri bin Idris, ADUN kawasan Chembong mewakili YAB Dato' Seri Haji Muhammad bin Haji Hassan,Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Zaiful mengingatkan para pelajar supaya senantiasa mempunyai keazaman untuk mengejar kecemerlangan dalam pelajaran disamping tidak mengabaikan aspek-aspek pembinaan sahsiah dan keperibadian yang terpuji dan luhur. Dalam majlis berkenaan beliau yang juga wakil rasmi menteri besar telah sudi untuk menyampaikan anugerah kepada para pelajar dan guru sekolah menengah sains rembau. Semoga Sekolah Menengah Sains Rembau terus maju dan berjaya dengan cemerlang dalam membentuk generasi yang gemilang dan terbilang di Malaysia

23 October, 2010

HARI KEBUDAYAAN BAHASA ARAB SBP KALI KE5 PERINGKAT KEBANGSAAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Hari Kebudayaan Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan  telah diadakan di pada 22 hingga 24 Oktober 2010 bertempat di Sekolah Menengah Sains Selangor, Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Program yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Sains Selangor ini dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan dan dilangsungkan selama 3 hari bermula hari ini. Sebanyak 53 buah sekolah berasrama penuh telah menyertai majlis ini. 

Majlis yang diadakan adalah bertujuan untuk memupuk minat cintakan bahasa Alquran disamping merapatkan ukhuwah diantara pelajar-pelajar SBP yang mempelajari bahasa ahli syurga ini. Selain bertujuan menimbulkan minat untuk mempelajari Bahasa Arab dengan lebih mendalam, majlis ini juga dapat bemberi peluang kepada para pelajar SBP khususnya bagaimana cara untuk menghayati Islam yang sebenarnya menerusi penguasaan Bahasa Arab secara meluas. 

Dalam program yang dijalankan ini, Sekolah Menengah Sains Rembau yang diwakili 4 orang pelajar putera dan puteri bersama guru pengiring telah sama-sama memulakan langkah merealisasikan hasrat semua warga semesra untuk memartabatkan Bahasa Arab ke tahap yang lebih tinggi.Pelbagai acara telah disusun sepanjang tiga hari ini antaranya pertandingan khat antara SBP, Taqdim Taqrir (Kajian Lapangan) dan Tahajji Sahihan atau Spell It Right.Turut diadakan ialah lawatan ilmiah ke Taman Islam Yayasan Restu Shah Alam. Untuk Perkembangan Program Selanjutnya ikuti laporan kami esok. Insya Allah 

18 October, 2010

KEM JATIDIRI TINGKATAN DUA

Pada 15 hingga 17 Oktober yang lepas, telah diadakan satu program motivasi jatidiri bagi pelajar-pelajar tingkatan 2. Program 3 hari 2 malam yang diadakan di Star Fresh Resort, Bukit Putus Negeri Sembilan ini telah dihadiri seramai 128 orang pelajar tingkatan 2. Program yang dianjurkan oleh unit bimbingan dan kaunseling Sekolah Menengah Sains Rembau ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar tingkatan dua berkaitan dengan peranan seorang pelajar disekolah dan didalam masyarakat. Selain itu program ini juga bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan ilmu dan kewajipan menuntut ilmu disamping melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk kerja berkumpulan atau team building.

Pelbagai slot dan aktiviti telah diatur dan dilaksanakan dengan kerjasama guru-guru pengiring yang berperanan sebagai fasilitator dalam program tersebut. Dalam program tersebut pelajar turut didedahkan dengan cara-cara kehidupan semasa berada didalam hutan dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam gerak kerja berkumpulan. Diharapkan dengan aktiviti yang dijalankan, para pelajar tingkatan dua akan lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih getir dan sengit memandangkan para pelajar tingkatan dua adalah calon sulung yang bakal menghadapi peperiksaan PMR pada tahun hadapan.

HARI KOPERASI SEKOLAH : KOPERASI SEMESRA TERBAIK

Pada 27 Jun hingga 3 Julai yang lalu, telah diadakan majlis sambutan Hari Koperasi Sekolah peringkat sekolah diseluruh negara dan sebanyak 1566 buah koperasi sekolah telah mengesahkan perlaksanaan hari koperasi sekolah peringkat sekolah di sekolah masing-masing bagi tahun 2010.Daripada jumlah tersebut sebanyak 59 buah koperasi sekolah diseluruh malaysia telah dipilih oleh Jawatankuasa Penilai sebagai koperasi sekolah yang terbaik dalam penganjuran Hari Koperasi Sekolah diperingkat negeri masing-masing.

Bagi peringkat Negeri Sembilan, sebanyak 4 buah koperasi sekolah telah terpilih untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan iaitu Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad,Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Warisan Puteri, Seremban, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya Berhad dan Koperasi Sekolah Menengah Teknik Juasseh,Kuala Pilah.Manakala bagi peringkat Sekolah Berasrama Penuh pula, hanya tiga buah koperasi sekolah yang layak ke peringkat kebangsaan iaitu Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad, Koperasi Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub Pahang dan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Selangor.

Sehubungan dengan itu satu majlis penyampaian anugerah Hari Koperasi Sekolah 2010 kepada koperasi sekolah 5 dan 6 bintang akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini bertempat di Hotel Grand BlueWave Shah Alam Selangor Darul Ehsan dan 4 orang pelajar dan seorang guru pengiring akan sama-sama dihantar untuk mewakili Sekolah Menengah Sains Rembau ke majlis tersebut. Didoakan moga-moga kejayaan yang bakal dikecap nanti akan menjadi Sekolah Menengah Sains Rembau.

15 October, 2010

GSTT BAKAL DISERAP KE JAWATAN TETAP

Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.

"Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad."Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap."Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap."Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.

10 Buah Sekolah Amanah Bermula Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah, tahun depan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sekolah itu akan dikendalikan secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti."Selain mendapat peruntukan lazim kerajaan, sekolah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia. Beliau berkata, penubuhan dana berkenaan dicadangkan pada sesi “TownHall” Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini. Dalam bidang kesihatan pula, Najib berkata, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan menyediakan empat bas klinik bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan. Bagi membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi cemerlang di sekolah, IMDB akan menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah. Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah", kata Najib.

Sumber : BERNAMA

14 October, 2010

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA ( WORLD CLASS EDUCATIONS)

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".

Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :


  • Pembangunan tenaga manusia
  • Kepesatan pertumbuhan ekonomi
  • Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
  • Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
  • Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
  • Pembangunan teknologi dan sains
  • Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.

10 October, 2010

TUN DR. M : MALAYSIA PERLU RAMAI CENDEKIAWAN ISLAM

Malaysia perlu menghasilkan lebih ramai pemikir Islam yang berkemampuan dan berkeyakinan tinggi untuk memberi solusi kepada masalah dan krisis dunia.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masyarakat Muslim harus meninggalkan dunia dan budaya retorik serta beralih ke pendekatan yang lebih bermakna dan praktikal."Sejak awal lagi, Al-Quran menggalakkan umat Islam untuk berfikir, belajar dan melakukan kajian. Banyak yang dikatakan di dalam Al-Quran tentang ini yang telah menyebabkan lahirnya ramai para cendekiawan dan pemikir Muslim semasa zaman ketamadunan Islam.

"Namun, kebebasan untuk berfikir dalam Islam berbeza dari Barat yang tidak mempunyai batas," katanya.Mahathir mengatakan hal ini dalam pidatonya setelah mendapat anugerah Doktor Falsafah (Kepujian) dalam bidang Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.Dia mengatakan bahawa umat Islam harus berdikari dan mampu menghasilkan pengetahuan dan teknologi serta penyelesaian bagi masalah sosial, ekonomi dan antarabangsa.

Mereka tidak boleh diperhamba atau didominasi oleh idea dan pemikiran Barat."Muslim harus berubah dari hanya menjadi pengguna kepada menjadi pembekal pengetahuan atau penyumbang idea yang boleh menjadi penyelesaian alternatif berlandaskan Islam."Pemikiran berdasarkan agama harus menjadi fokus dan usaha yang berterusan di kalangan sarjana Muslim supaya mampu menghasilkan kaedah dan penyelesaian yang boleh bersaing dengan idea-idea dan teori-teori konvensional," katanya.

Mahathir berkata walaupun teori Barat dan konvensional kadang-kadang gagal untuk memberikan penyelesaian yang terbaik, mereka masih boleh menakluk dan pengaruh berfikir global dalam segi sosial, ekonomi, politik dan kewangan.Tanpa disedari, dunia sedang menghadapi krisis moral, sosial, politik dan ekonomi kerana terlalu terikat dengan objektif dan falsafah Barat."Kini kita merasakan bahawa apa yang kita warisi dari Islam dan ajarannya tidak sesuai dan ketinggalan zaman. Kita merasa rendah diri ketika berhadapan dengan teori-teori yang dibawa oleh para pemikir Barat yang tidak berlandaskan agama."Disebabkan oleh falsafah barat yang menekankan kebebasan berfikir dan kebebasan individu, manusia kehilangan arah dan tujuan yang sebenarnya dalam hidup."

-The Sun

UPSR KEKAL, PMR MANSUH MULAI 2016

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru mulai 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun 6 akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza.Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian perlu mengambil masa untuk melaksanakan sistem penilaian yang baru itu kerana pelajar yang ada dalam sistem sekarang tidak boleh dibebani dengan format baru.

"Kalau kita nak mulakan penambahbaikan UPSR dan PMR itu, ia mungkin akan bermula seawal-awalnya pada tahun 2016."Pelajar yang telah ada dalam sistem sekarang ini tidak perlu kita hadapkan dengan ujian baru kerana mereka telah berada dalam sistem ini...tapi kohort yang baru masuk mungkin pada 2011, maka ujian yang pertama ialah pada 2016," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari Sabtu.Beliau berkata rundingan ketiga dan terakhir meja bulat mengenai penambahbaikan sistem peperiksaan itu telah selesai dan mereka menerima baik pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kementerian.

"Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah."Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai," katanya.

Muhyiddin berkata antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dan maklumat terperinci mengenai penambahbaikan itu akan diumum apabila ia diputuskan secara muktamad.Mengenai penilaian berasaskan sekolah bagi PMR pula, Muhyiddin berkata Lembaga Peperiksaan akan memainkan peranan penting untuk menyelaras bentuk ujian yang akan dilakukan di peringkat sekolah itu.

"Mungkin dalam masa seminggu lagi kita akan maklumkan secara muktamad," katanya.Muhyiddin berkata penambahbaikan itu akan memperkukuhkan lagi sistem dan kualiti pendidikan negara, dan tidak dilihat sebagai berasaskan peperiksaan semata-mata.Beliau berkata program perintis penilaian berasaskan sekolah itu telah dilaksanakan sejak 2008 dan sehingga kini ia melibatkan 550 sekolah.Penambahbaikan sistem peperiksaan UPSR dan PMR itu akan melibatkan perubahan dari segi kurikulum, buku dan latihan untuk guru, katanya.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN

27 September, 2010

PELANCARAN MINGGU BAHASA 2010

Jabatan Bahasa Sekolah Menengah Sains Rembau telah menganjurkan minggu bahasa peringkat sekolah untuk tahun 2010. Program yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar serta seluruh warga sekolah menengah sains rembau. Selain menarik minat pelajar untuk memperluars dan memperkayakan ilmu, melalui program ini guru-guru dapat mencungkil bakat-bakat baru yang terpendam dalam diri pelajar sekaligus meningkatkan kerativiti pelajar terutama dalam bidang bahasa.Program ini juga menggalakkan pembelajaran secara berkelompok dan akses kendiri serta mempertingkatkan ilmu bahasa selain membina keyakinan diri para pelajar.

Majlis yang telah dirasmikan oleh yang berbahagia Dato' Haji Azam bin Haji Mad Atan, Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau. Dalam ucapan perasmian yang disampaikan pada pagi tadi, yang berbahagia Dato' mengingatkan kepada semua warga semesra supaya mengambil peluang yang ada untuk menimba ilmu pengetahuan dalam apa juga bidang bahasa yang diadakan di sekolah. Beliau turut mengaitkan contohnya personaliti TV yang versetil, En Mahadzir Lokman yang mempunyai keistimewaaan untuk menguasai pelbagai bahasa dan turut mencadangkan sekiranya diizinkan oleh pihak kementerian pelajaran khususnya bahagian kurikulum untuk memasukkan matapelajaran bahasa perancis setanding dengan matapelajaran bahasa asing yang lain yang terdapat di Sekolah Menengah Sains Rembau. Dalam majlis ini turut menyaksikan penampilan baru Guru Penolong Kanan Kokurikulum yang telah melaporkan diri bagi menggantikan Guru Penolong Kanan Kokurikulum sebelum ini, Puan Roslina Aziz yang telah dinaikkan pangkat menjadi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang Darul Makmur, Encik Zaili Azmi bin Mustafa AlFendi.

Program minggu bahasa yang diadakan seminggu ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik khususnya untuk pelajar sekolah menengah sains rembau. Antaranya pertandingan bahas bahasa melayu dan bahasa inggeris, pidato menengah rendah bahasa melayu dan bahasa inggeris, kuiz bahasa,mengarang puisi,menulis cerpen,pertandingan membina kata-kata hikmah, teka silangkata dan lain-lain.

Tidak ketinggalan program yang melibatkan pelajar bahasa antarabangsa seperti Bahasa Arab,Bahasa Jepun dan Bahasa German seperti explorace bahasa dan choral speaking dalam bahasa antarabangsa. Diharapkan dengan program yang dirancangkan dan bakal dilaksanakan akan dapat memberikan manfaat dan kelebihan kepada semua warga Sekolah Menengah Sains Rembau.

14 September, 2010

KHATAM ALQURAN TUTUP IHYA RAMADHAN

pada 3 September 2010 yang lalu, satu majlis penutupan program Ihya' Ramadhan telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Rembau. Majlis yang melibatkan seluruh warga Sekolah Menengah Sains Rembau ini telah diadakan di Dewan Besar Semesra dan dirasmikan oleh yang berbahagia Pengetua Cemerlang Semesra, Dato' Haji Azam bin Mad Atan. Program yang julung kali diadakan ini bertemakan "Ramadhan Dekat Di Hati ini telah dimulakan seawal jam 10.00 pagi bermula dengan Slot Khatam AlQuran yang telah dipimpin oleh Ustaz Nadzdzarul Amir bin Mohyeddin. Pada Slot perasmian pula yang berbahagia Dato' telah menyampaikan beberapa pesanan yang cukup bermakna buat semua warga semesra dan majlis diserikan lagi dengan tayangan multimedia yang berkisar dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan ramadhan.

Dalam majlis itu juga, anak-anak yatim dan fakir miskin turut diraikan dengan slot penyampaian sumbangan saham akhirat oleh yang berbahagia Dato' Pengetua. Majlis diakhiri dengan slot bermaaf maafan antara guru dan pelajar. Semoga dengan majlis yang diadakan akan dapat merapatkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin sebelum ini. Warga Kerja Blog Semesra dengan ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf zahir dan Batin.

11 September, 2010

SISTEM PENDIDIKAN HOLISTIK

Sistem pendidikan di negara ini perlu melalui proses penilaian semula dengan memastikan kaedah pentaksiran terhadap pencapaian para pelajar dibuat secara holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, langkah tersebut bagi membolehkan para guru mengenal pasti potensi sebenar setiap pelajar mereka dan seterusnya mengasah sepenuhnya keupayaan golongan tersebut.

"Dengan berpandukan kepada falsafah pendidikan kebangsaan, kita mesti menilai semula kurikulum dan cara kita membuat penilaian terhadap perkembangan dan pencapaian para pelajar.

"Jika kita gagal mengenal pasti dan mengasah potensi sebenar golongan muda kita, maka negara berhadapan dengan risiko mengalami kegagalan pada masa depan. Kita tidak boleh mengambil risiko itu, jadi kita kena bertindak daripada sekarang," katanya.

Beliau berucap pada program siri wacana perdana bertajuk 'Peranan Pendidikan dalam Pembangunan Kepimpinan' di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKP, Tan Sri Azman Hashim dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YKP dan UiTM iaitu penerusan kepada kerjasama yang terjalin antara kedua-dua institusi itu sejak 2005.

Pada 23 Jun lalu, Muhyiddin berkata, sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin digunakan bagi menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini.

Menerusi sistem itu, katanya, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian akan diukur pencapaiannya.

Bagaimanapun, kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan sesuatu dasar seperti cadangan kemungkinan supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

Cadangan memansuhkan peperiksaan awam tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak dan pertubuhan yang berharap kerajaan melakukan kajian terperinci berhubung kedudukan peperiksaan awam itu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pendidikan merupakan satu proses yang holistik bagi membangunkan potensi sebenar setiap individu.

Ini, kata beliau, melibatkan proses pembelajaran melalui pengalaman seseorang sehingga menjangkau proses normal penyampaian ilmu dan kemahiran selain pembelajaran di bilik-bilik darjah.

"Ini meliputi pembelajaran berasaskan pengalaman dan penjelajahan yang mengayakan pengetahuan pelajar sekali gus membentuk minda yang kreatif dan bukan sekadar apa yang termaktub dalam buku-buku teks," katanya
Justeru, kata beliau, pembelajaran yang berasaskan kreativiti dan inovatif perlu menjadi komponen utama dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, ini bagi mengukuhkan sasaran kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kedua-dua unsur tersebut dalam usaha mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.

"Memandangkan negara perlu segera melahirkan modal insan yang sebenar bagi memacu ekonomi ke satu peringkat yang lebih tinggi, maka kita tidak boleh lagi berpuas hati dengan cara lama.

"Kita perlu bergerak ke hadapan dan mengambil langkah berani bagi melaksanakan reformasi pendidikan demi memastikan ia dapat memenuhi matlamat transformasi ekonomi Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

1 Murid 1 Sukan Bermula Tahun Hadapan

Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar 1Murid 1Sukan mulai 2011 sebagai usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Hasrat kerajaan ialah menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana telah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum yang menjadi harapan negara dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia.



Menceburi bidang sukan memerlukan semangat setiakawan dan berpasukan di samping melahirkan lebih ramai atlet yang berkelibar dan mampu bertanding di peringkat antarabangsa. Usaha mencungkil bakat dan melatih atlet perlu dilaksanakan di peringkat awal dan kerana itu sekolah menjadi asas yang terbaik.

Dasar 1Murid 1Sukan juga bertujuan melahirkan generasi yang lebih sihat dan cergas kerana budaya bersenam di kalangan masyarakat sudah menjadi sesuatu yang sukar dilaksanakan atas pelbagai alasan.

Masyarakat Malaysia semakin ramai mengalami masalah kegemukan, dan tentunya obesiti itu boleh mengakibatkan seseorang mudah dijangkiti penyakit yang dikenalpasti sebagai pembunuh utama rakyat, iaitu kencing manis, darah tinggi dan penyakit yang berkitan dengan kardiovaskular.

Dengan menyemaikan budaya bersenam atau bersukan di peringkat sekolah, seseorang pelajar boleh memilih bentuk dan jenis sukan berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing.

Minat itu kemudiannya diharapkan dapat dikembangkan menjadi budaya, dan ini dapat membantu negara mengurangkan bilangan pengidap penyakit yang berkaitan dengan obesity.

Menurut Menteri Pelajaran, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan beliau sudah mengadakan mesyuarat dan memutus akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar itu.

Ketika merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 di Stadium Larkin minggu lalu (18 Mei 2010), Tan Sri Muhyiddin berkata:

"Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan…Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008."

Perubahan ini adalah selaras dengan transformasi pendidikan, dan menurut Menteri Pelajar lagi, sudah sampai masanya kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan.

“Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan. Dengan ini, pandangan mengatakan kementerian terlalu menumpu bidang akademik saja dapat disangkal dan ditangani,” katanya.

16 August, 2010

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH

Pada hari ini akan berlangsung Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Menengah Sains Rembau. Majlis yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk memberikan peringatan kepada semua warga sekolah mengenai tarikh kemerdekaan negara dan juga hari penubuhan Malaysia yang diadakan pada setiap tahun diseluruh negara. Program yang julung kali diadakan di Sekolah Menengah Sains Rembau ini juga bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan semangat cintakan tanahair selain mempertautkan semangat muhibbah dan silaturrahim dalam kalangan pelajar sekolah menengah sains rembau dan warga sekolah.Tema Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini ialah 1 Malaysia Menjana Transformasi .Majlis Pelancaran akan disempurnakan oleh Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau, Yang Berbahagia Dato' Haji Azam bin Haji Mad Atan.

Pelbagai Aktiviti telah disusun bersempena dengan program ini antaranya Kempen Kibar Jalur Gemilang,Ucapan Tokoh Pemimpin Masyarakat,Pertandingan Mendeklamasikan Sajak,Pertandingan Melukis Poster,Pertandingan Lagu Patriotik,Program Bicara Tokoh,Kelas Patriotik,Menulis Esei Kemerdekaan dan tidak ketinggalan Tayangan Filem " Sarjan Hassan". Majlis Ambang Merdeka turut diadakan pada malam 30 Ogos bermula selepas solat tarawih.Pertandingan-pertandingan yang diadakan adalah mengikut sistem rumah yang digunakan di Semesra. Diharapkan segala program yang dianjurkan dapat berjalan dengan lancar

13 August, 2010

SEMESRA HILANG TONGGAK

Assalamualaikum .. salam mesra

Hari ini adalah hari terakhir bagi salah seorang daripada guru yang telah berjasa membangunkan dan menjenamakan Sekolah Menengah Sains Rembau. Guru yang dimaksudkan ialah Puan Roslina binti Abdul Aziz. Selain bertugas sebagai guru penolong kanan KO Kurikulum, beliau yang lebih mesra dengan panggilan ibu dan bonda oleh para pelajar semesra, turut menyumbang tenaga dalam menaikkan imej Sekolah Menengah Sains Rembau di persada Sekolah-sekolah Berasrama Penuh. Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Miri dan Kolej Tunku Kurshiah telah banyak menyumbangkan idea malah cadangan dalam membantu guru-guru bagi membentuk generasi pada masa akan datang.

Mulai minggu hadapan beliau akan berpindah dan memulakan tugas di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, Pahang Darul Makmur. Perpindahan beliau adalah atas sebab kenaikan pangkat yang disandang sebelum ini iaitu Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum dan dinaikkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Pengalaman dan Tarbiah yang pernah diperolehi sebelum ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendidik dan membentuk generasi pewaris bangsa menjadi insan yang cemerlang. Terima kasih Puan Roslina atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.

16 July, 2010

LDP : Bagaimana Menjadi Pemimpin 360⁰


Pada 15 Julai telah dianjurkan satu program latihan dalam perkhidmatan di Sekolah Menengah Sains Rembau atas tajuk Guru Pemimpin 360⁰ yang telah disampaikan dengan panjang lebar oleh yang berbahagia Puan Hajah Khuzaimah binti Sulaiman ,Mantan Pengetua Cemerlang Jusa C. Beliau yang telah tamat perkhidmatan sebagai guru pada tahun 2007 telah membentangkan kepada semua guru di Sekolah Menengah Sains Rembau bagaimana cara untuk menjadikan diri seseorang guru itu pemimpin 360⁰.


Menurut beliau, sebagai pemimpin, guru seharusnya mempunyai sikap pemimpin yang mampu menguasai semua bidang dalam kehidupan. Beliau turut memberikan beberapa tips bagaimana cara untuk menambat hati Lead Up ( Pemimpin Atasan), Lead Accross (Rakan sejawat) dan Lead Down (pelajar/ murid). Semoga dengan segala tips yang telah diberikan dapat digunakan sebaiknya oleh guru-guru Sekolah Menengah Sains Rembau.

15 July, 2010

Warna Warni Hari Koperasi SEMESRA



Kuiz Koperasi dan Ejaan Jawi 


Adegan Kejar Mengejar Menjawab Soalan kuiz


Deklamasi Gurindam Jawi


Perlawanan Hoki Antara Rumah 


Johan Hoki Antara Rumah Piala Dato' Azam ( Rumah Akhirul Zaman)

Aktiviti Senam Tari

Walaupun Hujan tetapi masih bersemangat 

Tasik (Veneu Pertandingan Memancing )

Pemenang Kategori Ikan Terpantas (Ust Mohd Rozeli)

Majlis Pernyerahan Watikah Perlantikan Badan Pengawas SEMESRA

Pada 12 Julai 2010 yang lepas satu istiadat pengurniaan watikah perlantikan Badan Pengawas Sekolah Menengah Sains Rembau telah diadakan. Majlis yang bertujuan untuk mengiktiraf kewujudan salah satu badan yang menjadi tulang belakang kepada kekuatan sesebuah sekolah ini telah diadakan di Dewan Besar Sekolah Menengah Sains Rembau dan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan bin Mohd Dom. Majlis yang disaksikan oleh semua warga SEMESRA ini merupakan istiadat yang julung kali diadakan di SEMESRA.Turut hadir meraikan istiadat ini ialah Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau, Dato' Haji Azam bin Mad Atan.

Seramai 83 orang pengawas yang telah melepasi tempoh percubaan bermula lantikan percubaan pada bulan april yang lepas. Dalam ucapannya,Dato'Pengetua telah mengingatkan para pengawas agar dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya dengan tidak mengabaikan pembangunan aspek akademik dan sahsiah yang merupakan perkara teras dalam pembangunan diri setiap individu.Selain itu pihak sekolah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang melanggar disiplin dan peraturan sekolah. Dengan kata lain, pengawas yang melanggar peraturan dan disiplin sekolah tidak akan dipertimbangkan untuk dikekalkan didalam jawatan yang disandang dan juga sebarang aktiviti yang diceburi disekolah . Ini bertujuan untuk mendidik semua warga semesra untuk senantiasa mematuhi peraturan serta mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan.

Sebelum penyerahan watikah perlantikan dilaksanakan satu simbolik penerimaan tanggungjawab telah diadakan dihadapan Ketua Polis Daerah Rembau iaitu menandatangani surat aku janji dan melafazkan ikrar pengawas.Surat Akujanji tersebut telah diserahkan kepada Tuan Pengetua Cemerlang Semesra, Dato' Haji Azam bin Mad Atan.

27 June, 2010

HARI KOPERASI SEKOLAH SELAMAT DILANCAR

Pada pagi tadi tepat jam 9.00 pagi, satu acara yang julung kali telah diadakan bersempena dengan majlis sambutan hari koperasi peringkat sekolah menengah sains rembau. Majlis yang dihadiri oleh semua warga semesra telah dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan acara senam tari yang dipimpin oleh para pelajar sekolah menengah sains rembau. pelbagai gelagat dan aksi dapat disaksikan semasa acara senamtari berlangsung. 

Pada jam 9.00 pagi,Acara Perasmian Hari Koperasi Sekolah telah dilancarkan oleh yang berbahagia Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau, Dato' Haji Azam bin Haji Mad Atan. Dalam ucapan ringkas yang disampaikan, beliau memuji usaha yang telah dilakukan dan perancangan yang telah dibuat oleh semua warga pendidik dan pelajar sekolah menengah sains rembau dalam melaksanakan majlis sambutan hari Koperasi Sekolah. Beliau turut menyatakan perasaan syukur dan bangga diatas segala kerjasama yang telah ditunjukkan oleh semua guru dan warga sekolah bagi menjayakan program tersebut. 

Dalam ucapan beliau pagi tadi, beliau turut memuji guru-guru Sekolah Menengah Sains Rembau yang telah menunjukkan contoh dan akhlak yang terbaik semasa majlis perhimpunan hari guru yang telah diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban, malam semalam. Ini kerana terdapat pujian dan sanjungan yang disampaikan kepada beliau oleh Pegawai Pelajaran Daerah Rembau. Majlis yang diadakan semalam dianggarkan  dihadiri oleh seramai 20 ribu warga pendidik dari seluruh daerah di Negeri Sembilan.Menurut beliau disiplin diri yang sebeginilah yang sewajarnya dicontohi oleh semua pelajar dimana sewajarnya setiap majlis perlu ada adab dan protokol yang perlu dilaksanakan. 

Sebagai simbolik perasmian Hari koperasi sekolah, satu majlis perlepasan anak ikan patin dan talapia telah dilakukan di Tasik Semesra dan selepas itu diadakan Pertandingan Memancing. Pada petang ini akan diadakan pertandingan sukaneka yang melibatkan semua pelajar sekolah menengah sains rembau dan pada malamnya akan diadakan Tayangan Gambar Wayang Pacak "Children Of Heaven" bertempat di  Dewan Besar Semesra dan Makmal Komputer Semesra. 

17 June, 2010

22 tanda hari kiamat semakin hampir

Terdapat 22 Tanda hari Qiamat hampir tiba apabila : 

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.
7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

11. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

12. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

13. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

14. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

15. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

16. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

17. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

18. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

19. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

20. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

21. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

22. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

14 May, 2010

PROGRAM SEINDAH SEMESRA 2010


PROGRAM SEINDAH SEMESRA 2010 (GOTONG ROYONG PERDANA )

TARIKH = 15 MEI 2010
HARI = SABTU
MASA = 8:00 PAGI – 1:00 PTG
TEMPAT = SEMESRA
PENGLIBATAN =
1. SEMUA GURU SEMESRA
2. SEMUA PELAJAR
3. IBU BAPA / PENJAGA PELAJAR


OBJEKTIF PROGRAM :
PROGRAM INI BERTUJUAN UNTUK MEMUPUK SEMANGAT MUAFAKAT DAN KERJASAMA ANTARA GURU, PELAJAR DAN IBU BAPA / PENJAGA SELAIN BEKERJASAMA MENCERIAKAN KAWASAN SEKITAR SEKOLAH DENGAN PELBAGAI JENIS TUMBUHAN DAN LANDSKAP DAN MENANAM SIKAP SAYANGKAN SEKOLAH DI KALANGAN PELAJAR


28 April, 2010

PIBG PERLU BANTU SEKOLAH

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus memainkan peranan lebih agresif dalam membantu sekolah meningkatkan tahap kecemerlangan untuk mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan 100 SBT menjelang 2012 berbanding 20 SBT kini.Katanya, SBT menjadi penanda aras bagi kecemerlangan sesebuah sekolah itu yang setanding dengan sekolah di negara maju.“Masih banyak yang perlu dilakukan bagi menambah baik pencapaian sekolah yang ada di negara ini, " katanya ketika berucap sempena Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2, di sini, semalam.

Seramai 103 pelajar cemerlang yang mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Muhyiddin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Fuziah Hassan.

Katanya, SBT seperti SK Bandar Baru Uda 2 yang mencapai kecemerlangan di dalam UPSR sejak 2003 boleh berkongsi pengalaman mereka dengan sekolah lain supaya budaya pencapaian kecemerlangan yang diamalkan di SBT dapat disebarkan.
Sebelum itu, ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini, Muhyiddin berkata, penubuhan alumni berkesan membantu pengurusan sekolah meningkatkan kecemerlangan sekali gus merangsang murid dan pelajar untuk lebih gigih menimba ilmu.

Katanya, alumni yang disertai bekas pelajar yang mempunyai personaliti tinggi serta sudah menempa kejayaan, mampu memberikan idea kepada sekolah dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan kegiatan bagi membantu murid mencapai kecemerlangan.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak mengetahui cadangan daripada mana-mana pihak untuk membina Mini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) khusus untuk pejalan kaki di Tambak Johor kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang untuk meningkatkan kecekapan pengurusan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang menempatkan KIK baru bagi memberikan keselesaan optimum kepada penggunanya.

25 April, 2010

sepintas sempena sambutan Hari lahir Ayahanda

pada 17 April 2010 genap 57 tahun usia ayahanda pengetua cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau, Dato' Tuan Haji Azam bin Haji Mad Atan. Majlis sambutan yang diadakan khas oleh warga Semesra ini adalah julung kali diadakan dan merupakan sambutan yang pertama dan terakhir diadakan di Semesra. Selamat Ulang Tahun Hari Lahir Ayahanda dari kami Warga Semesra

27 March, 2010

Kursus Ketua Rumah SBP

26hb Mac -Seramai 8 orang pelajar dari Sekolah Menengah Sains Rembau telah dihantar untuk menyertai kursus ketua rumah dan penolong ketua rumah atau KESUMA yang bertempat di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah,Bukit Katil Melaka. Pelajar-pelajar tersebut yang mewakili 4 Rumah iaitu rumah Akhirul Zaman (Merah), Rumah Johan Pahlawan ( Hijau), Rumah Kelana Petra (biru) dan Rumah Lela Maharaja( Kuning).

Didalam kursus tersebut, mereka akan didedahkan dengan maklumat berkaitan sistem rumah yang dilaksanakan di sekolah berasrama penuh (SBP) dan bidang tugas yang perlu dilaksanakan oleh Ketua Rumah dan Penolong Ketua Rumah. Kursus yang diadakan selama 4 hari ini dijangka berakhir selasa depan.

26 March, 2010

Sains Rembau gugat kedudukan SMAKP

25 Mac 2010, Astana Raja, - Sekolah Menengah Sains Rembau sekali lagi menggugat kedudukan dan penguasaan SMAK Pedas dalam Majlis Tadarus AlQuran peringkat daerah Rembau setelah mengungguli acara tilawah alquran bahagian perempuan. Akhsya Athirah binti Mohd Amran, pelajar tingkatan 4 sekolah menengah sains rembau muncul johan Tilawah Alquran bahagian perempuan.Berkat usaha yang bersungguh-sungguh dan niat yang ikhlas untuk mengharumkan nama sekolah, beliau telah berjaya menempatkan diri dikalangan yang terbaik di daerah rembau dan bakal mewakili rembau di peringkat negeri.

Kejayaan ini tidak melunturkan semangat 5 orang rakan yang lain yang turut sama menyertai pertandingan. Dalam majlis tadarus AlQuran peringkat daerah Rembau, Sains Rembau telah menghantar 6 orang peserta mewakili sekolah dalam acara Tilawah Alquran lelaki dan perempuan, Hafazan Lelaki dan perempuan dan Syarahan Agama lelaki dan perempuan. untuk acara hafazan wakil semesra hanya berjaya menempatkan diri di tempat ke tiga dan begitu juga acara tilawah alquran lelaki dan hafazan lelaki. Moga selepas ini kejayaan demi kejayaan akan dapat dicipta

18 March, 2010

REHAT SEBENTAR KUMPUL TENAGA UNTUK MASA DEPAN

Mesyuarat Penubuhan Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Menengah Sains Rembau

Assalamualaikum .. Salam Sejahtera 

Mesyuarat Agung Penubuhan Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Menengah Sains Rembau 2010 
Tarikh : 21 Mac 2010 
Masa  : 2.30 petang 
Tempat : Dewan Besar Sekolah Menengah Sains Rembau

Kehadiran Tuan/ Puan ibubapa dan pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau adalah diwajibkan 
Slip keputusan Ujian Setara 1 pelajar akan diserahkan pada majlis tersebut. Diharapkan tiada keuzuran dalam kehadiran tuan/ puan ke majlis kami ini.