13 August, 2010

SEMESRA HILANG TONGGAK

Assalamualaikum .. salam mesra

Hari ini adalah hari terakhir bagi salah seorang daripada guru yang telah berjasa membangunkan dan menjenamakan Sekolah Menengah Sains Rembau. Guru yang dimaksudkan ialah Puan Roslina binti Abdul Aziz. Selain bertugas sebagai guru penolong kanan KO Kurikulum, beliau yang lebih mesra dengan panggilan ibu dan bonda oleh para pelajar semesra, turut menyumbang tenaga dalam menaikkan imej Sekolah Menengah Sains Rembau di persada Sekolah-sekolah Berasrama Penuh. Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Miri dan Kolej Tunku Kurshiah telah banyak menyumbangkan idea malah cadangan dalam membantu guru-guru bagi membentuk generasi pada masa akan datang.

Mulai minggu hadapan beliau akan berpindah dan memulakan tugas di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, Pahang Darul Makmur. Perpindahan beliau adalah atas sebab kenaikan pangkat yang disandang sebelum ini iaitu Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum dan dinaikkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Pengalaman dan Tarbiah yang pernah diperolehi sebelum ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendidik dan membentuk generasi pewaris bangsa menjadi insan yang cemerlang. Terima kasih Puan Roslina atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.