28 March, 2014

Program Pengantarabangsaan ke Vietnam 2014

SEMESRA telah mengadakan Program Pengantarabangsaan ke Vietnam dari 22 Mac hingga 25 Mac yang lalu. Seramai 16 pelajar dan 10 orang guru telah menyertai program ini.

SEMESRA telah mengadakan lawatan serta sesi bertukar-tukar fikiran dengan guru-guru dan pelajar-pelajar Le Quy Don High School, Ho Chi Minh City. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang terawal dibina di Vietnam dan pelajar-pelajarnya adalah yang terpilih sahaja.



Selain itu, para peserta rombongan juga telah berpeluang untuk melawat ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Ho Chi Minh City seperti War Museum dan Sungai Mekong.

SEMESRA juga telah berpeluang untuk melawat madrasah dan menyampaikan sedikit bantuan kepada pelajar-pelajar di sana.

Semoga lawatan ini telah memberi manafaat bukan sahaja kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengikuti lawatan ini tetapi juga kepada seluruh warga sekolah.

23 March, 2014

Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 4

Pada 21 Mac yang lalu telah diadakan Mesyuarat Agung kali ke-3 bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SEMESRA di Dewan Dato' Haji Azam. Ia telah dirasmikan oleh Datin Hajah Naemah bt Ahmad Dahalan, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau.


Beliau juga telah sudi untuk menyampaikan cenderamata kepada AJK PIBG bagi sesi 2013/2014 sebagai tanda penghargaan  sekolah atas sumbangan mereka.



Seterusnya, mesyuarat diteruskan dengan perbincangan mengenai hal-hal yang boleh dilaksanakan oleh PIBG  dalam usaha membantu pihak sekolah untuk melahirkan insan-insan cemerlang SEMESRA.


Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah hari.

Terima kasih diucapkan kepada barisan AJK PIBG sesi 2013/2014


Tahniah kepada barisan AJK PIBG sesi 2014/2015. Semoga PIBG akan terus dapat memberi sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah demi kebaikan anak-anak SEMESRA.

22 March, 2014

Semak Semula SPM 2013

Makluman kepada pelajar-pelajar yang ingin menyemak semula keputusan SPM 2013 yang baru sahaja diumumkan, berikut adalah dokumen-dokumen yang diperlukan.

Klik untuk muat turun



Permohonan ini perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas sahaja keputusan diumumkan. Oleh itu, para pelajar dikehendaki untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan sebelum 18 April 2014. Segala pertanyaan dan urusan mengenai semak semula ini perlu diajukan kepada Puan Siti Normizah bt Ngatenah, Setiausaha Peperiksaan SEMESRA.

21 March, 2014

Tahniah Extrovert!

Tahniah diucapkan kepada batch Extrovert yang telah berjaya melakar kejayaan gemilang dalam SPM 2013. Daripada 192 calon, seramai 3 orang telah berjaya mendapat 9A+ manakala 46 orang lagi telah  berjaya mendapat 9A.

Slip keputusan SPM ini telah disampaikan oleh YDP Tn. Hj Dahalan di Dewan Dato' Haji Azam. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepda Zulhilmi Azim, Muhammad Amrul Basyar dan Syafiqah Rosmarina  yang telah berjaya mencapai 9A+ dalam keputusan mereka.


 Antara pelajar-pelajar yang mendapat 9A dalam keputusan SPM 2013 ini.


Tahniah sekali lagi kepada semua pelajar SPM 2013. Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada anda semua untuk terus berusaha untuk menempa kejayaan di masa akan datang.

17 March, 2014

Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM 2013

Seperti yang telah dimaklumkan menerusi akhbar baru-baru ini, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 akan diumumkan pada 20 Mac 2014 bersamaan hari Khamis.

Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM bagi pelajar-pelajar SEMESRA akan diadakan mengikut ketetapan berikut:

Tarikh   : 20 Mac 2014
Masa     : 11.30 pagi
Tempat  : Dewan Dato' Haji Azam
Pakaian : Kemas -  Lelaki        : Berkemeja, berseluar slack dan berkasut.
                            - Perempuan : Berbaju kurung dan berkasut.

Diharapkan agar semua pelajar Extrovert dapat  memberikan kerjasama dalam mematuhi etika berpakaian yang telah ditetapkan. 

Sekian, harap maklum.

10 March, 2014

Hari Kecemerlangan Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan 2014

Hari Kecemerlangan Sekolah-sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan 2014 telah diadakan di Sekolah Muzaffar Syah Melaka pada 5 - 9 Mac 2014. SEMESRA telah menghantar pasukan debat Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta pasukan lelaki dan perempuan bola keranjang.

Pertandingan ini diadakan untuk memilih sekolah-sekolah yang akan mewakili Zon Selatan di HKSBP Kebangsaan yang akan berlangsung di Terengganu tidak lama lagi.


Dalam kejohanan kali ini, pasukan keranjang bagi lelaki dan perempuan hanya mampu memberi saingan hebat kepada lawan masing-masing tetapi gagal untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan.

Pasukan debat Bahasa Inggeris telah memberikan yang terbaik dalam kejohanan ini namun begitu ia juga tidak layak untuk ke peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan kepada pasukan bahas Bahasa Melayu yang telah melayakkan diri ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Mei nanti.

 

Tahniah diucapkan kepada kontinjen SEMESRA atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan sepanjang HKSBP berlangsung. Semoga kontinjen sekolah akan berjaya meraih kejayaan yang lebih baik di tahun hadapan.

Kepada pasukan debat Bahasa Melayu, selamat berjaya di HKSBP Peringkat Kebangsaan. Seluruh warga SEMESRA mendoakan agar pasukan sekolah akan dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang nanti.

09 March, 2014

Kejohanan Memanah Peringkat Negeri 2014

Kejohanan Memanah MSS Negeri Sembilan telah diadakan pada 4 -7 Mac yang lalu bertempat di Padang SMKA Hj Abu Hassan bin Hj Sail. Seramai 17 pelajar SEMESRA telah mengambil bahagian. Mereka telah bersaing dengan peserta-peserta dari 48 buah sekolah yang lain.


Dalam kejohanan ini, dua peserta SEMESRA telah berjaya menempa kejayaan. Muhammad Syamim bin Yazid telah berjaya memenangi tempat kedua dalam acara individu Pusingan Olimpik, 70 Meter l18 dan tempat ketiga dalam acara individu 90 meter L18.

Athirah binti Mohd Anas pula telah berjaya memenangi tempat kedua bagi acara individu 60 meter P18, tempat ketiga bagi acara 70 Meter P18, 50 Meter P18 dan Pusingan Olimpik. Beliau juga telah memenangi tempat ketiga individu keseluruhan dan seterusnya akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tahniah kepada pasukan memanah SEMESRA. Diharapkan wakil SEMESRA ke peringkat kebangsaan akan terus dapat melakar kejayaan gemilang, insyaAllah.

05 March, 2014

Pertandingan Menembak M16 Kor Kadet Polis 2014

Pada 8 Mac yang lalu, kadet polis SEMESRA telah menyertai Pertandingan Menembak M16 Kor Kadet Polis Daerah Rembau yang telah diadakan di Padang Sasar Mantin. Seramai 30 pelajar telah mengambil bahagian.


 

Dalam pertandingan ini , seorang pelajar SEMESRA telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam acara individu iaitu Ahmad Daniel bin Ibrahim. Tahniah diucapkan.

04 March, 2014

Minggu Sains, Inovasi & Rekacipta 2014

Buat julung kalinya SEMESRA telah menganjurkan Minggu Sains, Inovasi dan Rekacipta bermula 24 Februari sehingga 3 Mac 2014. Antara objektif Minggu ini dianjurkan adalah untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains. Ia juga diharapkan dapat menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.

Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuklah Pertandingan Roket Air, Egg Parachute, Straw Bridge dan Pameran Sains.



Majlis Penutupan Minggu Sains, Inovasi dan Rekacipta ini telah berlangsung pada 3 Mac 2014. Keputusan bagi semua pertandingan telah diumumkan.


Tahniah kepada semua peserta juga pemenang. Diharapkan agar minggu ini telah dapat memupuk minat para pelajar terhadap subjek Sains.