31 August, 2012

Jalinan SEMESRA Tingkatan 3


Semalam telah diadakan Jalinan SEMESRA untuk para pelajar Tingkatan 3. Majlis ini diadakan bertujuan untuk membincangkan prestasi para pelajar Tingkatan 3 berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SBP dan Negeri yang baru sahaja berlalu.



Majlis ini bermula pada pukul 8.30 pagi dan selepas pendaftaran dan pemberian slip keputusan peperiksaan, ibubapa beserta anak-anak mereka bergerak ke kaunter-kaunter mata pelajaran yang telah disediakan.

Diharapkan perbincangan 3 penjuru yang telah diadakan ini dapat membantu para pelajar Tingkatan 3 dalam membuat persediaan yang terbaik bagi menghadapi peperiksaan PMR mereka yang akan bermula pada 9 Oktober depan.

27 August, 2012

Makluman Terkini

Untuk makluman semua ibu bapa dan penjaga,

Pada hari Khamis ini (30 Ogos 2012) akan diadakan Jalinan Semesra antara ibu bapa/penjaga, guru-guru dan para pelajar Tingkatan 3. Majlis ini akan bermula pada pukul 8.30 pagi - 12.30 tengahari di Dewan Dato' Hj Azam, SEMESRA. Perjumpaan ini diadakan untuk membincangkan prestasi para pelajar bagi meningkatkan prestasi akademik mereka dalam usaha mencapai kejayaan dalam PMR.

Pada minggu ini, para pelajar Tingkatan 1, 2, 3 dan 4 akan dibenarkan pulang untuk outing bermalam (OB).

Ibu bapa dan penjaga bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 dibenarkan untuk menjemput anak masing-masing selepas pukul 2.30 petang.

Bagi ibu bapa dan penjaga Tingkatan 3, tuan/puan dibenarkan untuk membawa pulang anak masing-masing selepas jam 12.30 tengahari.

Sekian, harap maklum.

15 August, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Bercuti diucapkan kepada semua warga SEMESRA. Semoga lebaran kali ini membawa lebih makna kepada semua. Maaf Zahir Batin.

Makluman Jamuan Hari Raya Aidilfitri

Untuk makluman semua ibu bapa dan penjaga,

Memandangkan sambutan yang tidak menggalakkan daripada ibu bapa dan penjaga, pihak PIBG memutuskan untuk membatalkan Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang telah dirancang untuk diadakan pada 26 Ogos depan. Bagi keluarga yang sudah membayar duit sumbangan jamuan tersebut, wang akan dipulangkan kepada anak masing-masing selepas cuti hari raya.

Sekian, harap maklum.

14 August, 2012

Majlis Khatam Al-Quran dan Penutupan Ihya Ramadhan Dekat Dihati 2012M/1433H

Hari ini telah selamat diadakan Majlis Khatam Al-Quran serta Penutupan Program Ihya Ramadhan Dekat Dihati bagi tahun 2012. Majlis ini telah bermula pada pukul 8 pagi di Dewan Dato' Hj Azam, SEMESRA.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Haikal bin Ash'ari. Slot seterusnya adalah 'Ramadhan, pemergianmu ditangisi...Aidilfitri, kedatanganmu disyukuri' yang telah diisi oleh Ustaz Wan Aminuddin bin Wan Abdullah dari Pusat Kaunseling MAINS Cawangan Rembau.


Seterusnya, majlis telah diteruskan lagi dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Nadzarul Amir. 


Majlis diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian Penutupan Program Ihya Ramadhan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Kanan SEMESRA. Selepas itu, En. Khairulniza bin Mohd Salleh, Pegawai Pusat Kaunseling MAINS cawangan Rembau telah dijemput ke pentas untuk memberi ucapan seterusnya merasmikan Majlis Penutupan Program Ihya Ramadhan bagi tahun 2012.


Para hadirin kemudiannya telah dipersembahkan dengan persembahan Multimedia mengenai aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sepanjang bulan yang mulia ini. Selepas itu, hadiah-hadiah telah disampaikan kepada para pemenang bagi kesemua pertandingan sepanjang bulan Ramadhan.


Seterusnya merupakan penyampaian saham akhirat kepada para pelajar yang telah dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.


Terima kasih diucapkan kepada  semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua ibu bapa dan penjaga yang telah memberi sumbangan saham akhirat kepada para pelajar yang terlibat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

10 August, 2012

Makluman Mengenai Cuti Hari Raya Aidilfitri

Berdasarkan pekeliling yang baru diterima dari Kementerian Pelajaran Malaysia, sekolah telah diberi cuti berganti pada 16 (Khamis) dan 17 (Jumaat) Ogos 2012.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan/atau penjaga kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2, 3 dan 4 adalah dibenarkan untuk menjemput anak masing-masing pada hari Rabu 15 Ogos 2012 mulai pukul 2.30 petang .

Bagi ibu bapa dan/atau penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 5 pula, tuan-tuan dan puan-puan dibenarkan untuk menjemput anak masing-masing pada hari Rabu 15 Ogos 2012 mulai pukul 3.30 petang

Sekian, harap maklum.

06 August, 2012

Program 'Jom Masak Bubur Lambuk!'

Pada Sabtu yang lepas telah diadakan satu program 'Jom Masak Bubur Lambuk!' sempena kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini. Program ini bermula pada pukul 11 pagi dimana para guru dan pelajar serta ibu bapa yang hadir telah sama-sama bekerjasama untuk menyiapkan barang yang diperlukan untuk bubur lambuk ini.


Berlainan dengan tahun-tahun sebelum ini, pada tahun ini kawah-kawah bubur telah dibahagikan mengikut rumah. Ahli-ahli rumah yang terdiri daripada guru-guru, staf sokongan serta pelajar-pelajar adalah bertanggungjawab atas kawah bubur lambuk masing-masing. Selain daripada rumah, satu kawah juga telah disediakan untuk PIBG.


Selepas proses memasak yang bermula pada pukul 12 tengahari selesai, tibalah masanya untuk membahagikan bubur tersebut kepada ahli-ahli rumah.


Setelah semua bubur selamat dibahagikan kepada semua ahli rumah, ahli-ahli rumah dikehendaki untuk mengemaskan khemah masing-masing serta peralatan-peralatan yang telah digunakan sepanjang program berlangsung. Program ini berakhir pada pukul 3 petang.

Terima kasih kepada semua guru dan pelajar yang telah sama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa serta penjaga yang berkesempatan untuk hadir menyertai program masak bubur lambuk ini. Diharapkan agar kerjasama yang lebih baik akan dapat terjalin antara semua pihak demi kegemilangan SEMESRA.

02 August, 2012

Sumbangan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1433H

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Menengah Sains Rembau akan mengadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri pada 26 Ogos bersamaan hari Ahad. Ia diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan ukhuwah di kalangan ibu bapa, penjaga, guru-guru serta kakitangan SEMESRA.

Bagi menampung perbelanjaan majlis sambutan ini, pihak sekolah ingin memohon sumbangan ikhlas sebanyak RM20 satu keluarga. Sumbangan ini boleh disampaikan samada dalam bentuk tunai atau dimasukkan ke dalam akaun PIBG (CIMB: 05010000225104) atau berhubung terus dengan Bendahari Kehormat PIBG, Cik Huszaifah binti Mohd Husnan di talian 012-395 8295.

Semoga dengan sumbangan ikhlas dari pihak tuan dan puan akan melancarkan lagi program ini. Warga SEMESRA amat menghargai segala kerjasama tuan dan puan dan kami dahului dengan ucapan terima kasih.