25 February, 2011

Kedatangan Pn Ashah, Pengarah Bahagian Pengurusan SBPSK

Pada 23 Februari yang lepas, Pn. Ashah bt. Samah telah hadir di SEMESRA untuk menghadiri satu Mesyuarat Pengetua-pengetua SBP Zon Selatan. Beliau telah mengambil kesempatan ini untuk bertemu dengan semua para pelajar Tingkatan 3 dan 5 SEMESRA.



Tahun ini merupakan tahun pertama sekolah ini akan menghadapi peperiksaan awam. Oleh itu, beliau telah menyampaikan hasrat dan sasaran beliau untuk sekolah ini.

Para pelajar juga diberi kata-kata semangat dan perangsang agar mereka akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang didalam peperiksaan yang bakal dihadapi tidak lama lagi.


cenderamata dari pihak sekolah kepada beliau

Diharapkan agar kata-kata semangat yang telah diberikan oleh Puan Pengarah SBPSK akan terus menyuntik semangat para pelajar SEMESRA dalam mencipta kejayaan yang gemilang dibidang akademik.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada Puan Pengarah diatas keprihatinan yang diberikan terhadap sekolah ini.

22 February, 2011

Program Cabaran Angkasawan

Seorang pelajar SEMESRA iaitu Bah Azakirana Krisna a/l Atan telah berjaya mengharumkan nama sekolah apabila berjaya menempatkan diri ke Fasa Kedua Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia baru-baru ini.

Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia ini telah diadakan untuk menguji keberkesanan Program Angkasawan Pertama Negara terhadap rakyat Malaysia.

Fasa Pertama Program ini telah diadakan pada tahun lepas iaitu pada 10 November 2010 di MITC, Melaka. Fasa ini telah menguji ketahanan peserta-peserta dari segi mental dan fizikal. Antara ujian yang dijalankan adalah larian 3.5 km, kuiz pengetahuan dan sebagainya.

Bah telah berjaya menempatkan diri ke Fasa 2 apabila muncul sebagai wakil zon. Beliau telah mempamerkan prestasi yang baik dengan mengalahkan peserta-peserta lain yang bukan sahaja terdiri dikalangan para pelajar bahkan lepasan graduan dan juga penjawat awam.

Fasa 2 pula telah diadakan di Pulau Langkawai dari 23-28 Jan 2011. Kali ini ujian-ujian adalah lebih mancabar seperti ikhtiar hidup di darat, ikhtiar hidup di laut, emparan (simulasi angkasawan) dan sebagainya.

antara aktiviti-aktiviti yang dilalui oleh para peserta

Walaubagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Bah apabila beliau tidak berjaya untuk mendapatkan hadiah utama iaitu peluang melawat Star City, Russia. Namun, sekalung tahniah diucapkan kepada semangat kental yang telah ditunjukkan oleh beliau sepanjang program ini.

Sijil dan trofi penyertaan telah disampaikan oleh Pengetua Cemerlang Dato' Hj Azam b. Md Atan semasa perhimpunan rasmi yang lepas.


Bah bersama Pengetua Cemerlang SEMESRA dan GPK Kokurikulum

Perlawanan Hoki Antara Rumah

Minggu lepas telah diadakan perlawanan hoki antara rumah. Setiap rumah dikehendaki menghantar satu pasukan lelaki dan perempuan untuk pertandingan ini. Sistem liga telah digunakan bagi pertandingan ini.

Salah satu objektif perlawanan adalah untuk mencari pemain-pemain yang berkebolehan untuk mewakili sekolah ke Kejohanan Hoki Peringkat SBP di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka.

Laporan pertandingan telah disampaikan oleh Sdr Muhammad Al-Afnan Abu Bakar.



Keputusan pertandingan adalah seperti berikut:

Hoki (L)
Johan: Lela Maharaja
Naib Johan: Kelana Petra
Ke-3: Johan Pahlawan
Ke-4: Akhirul Zaman

Hoki (P)
Johan: Johan Pahlawan
N. Johan: Kelana Petra
Ke-3: Lela Maharaja
Ke-4: Akhirul Zaman




Hadiah telah disampaikan oleh Pengetua Cemerlang SEMESRA, Dato' Hj Azam b. Md Atan. Tahniah diucapkan kepada pemenang. Semoga kejayaan akan berulang di bumi Mozac.

19 February, 2011

Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat di Surau SEMESRA

Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang barakah semalam telah berjaya diadakan satu majlis Perisytiharan Solat Jumaat di surau SEMESRA. Setelah diperkenankan oleh Mufti Negeri Sembilan, pelajar-pelajar lelaki sekolah ini akan dapat menunaikan solat Jumaat di surau SEMESRA.



Majlis yang penuh sejarah ini telah dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Sdr Mohammad Najmuddin b. Najib.




Seterusnya adalah ucapan daripada Pengetua Cemerlang SEMESRA, Dato' Hj Azam b. Md Atan. Beliau melahirkan rasa terima kasih pihak sekolah kepada pihak Mufti Negeri Sembilan yang telah pun membenarkan solat Jumaat diadakan di surau sekolah. Beliau berjanji akan memastikan kebenaran bersolat ini tidak akan dipersia-siakan.


Pengetua Cemerlang SEMESRA

Kemudian giliran Mufti Negeri Sembilan Yg Berhormat Dato' Hj Mohd Yusof b. Hj Ahmad untuk memberikan sepatah dua kata dan seterusnya mengisytiharkan bahawa surau sekolah diberikan kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat.


Dato' Mufti Negeri Sembilan

Sekalung terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah membantu dalam memastikan surau sekolah dapat digunakan untuk Solat Jumaat. Semoga usaha anda akan diberkati Allah jua.

18 February, 2011

Bas SEMESRA sudah tiba!

Bas sekolah yang ditunggu-tunggu selama satu tahun kini akhirnya sampai jua di perkarangan sekolah semalam.

Semasa mempengerusikan mesyuarat guru mingguan semalam, Dato' Haji Azam b. Md Atan sempat memberitahu akan perkembangan terkini mengenai bas SEMESRA. Beliau memberitahu para guru bahawa bas yang selama ini dinanti-nantikan oleh seluruh warga SEMESRA adalah dalam perjalanan ke perkarangan sekolah buat kali pertamanya.

Lewat petang, akhirnya bas yang dinanti-nantikan tiba di perkarangan sekolah.


bas memasuki perkarangan sekolah buat pertama kalinya


pemandangan dalam bas

bas SEMESRA


antara pelajar yang teruja dengan ketibaan bas ini

Terima kasih diucapkan kepada pihak BPSBPSK diatas keprihatinan yang diberikan terhadap keperluan sekolah ini. Semoga dengan kehadiran bas ini, segala aktiviti luar yang telah dan akan dirancang oleh pihak sekolah akan menjadi lebih mudah.

16 February, 2011

Majlis Penutupan Minggu Silaturrahim Tingkatan Empat

Hari ini telah diadakan Majlis Penutupan bagi Minggu Silaturrahim Tingkatan Empat yang telah bermula sejak 8 haribulan yang lalu.

Sepanjang minggu tersebut, pelbagai program dan aktiviti telah dijalankan bagi membantu para pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama.

Hari ini pula adalah merupakan hari kemuncak dimana para pelajar Tingkatan Empat berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka kepada warga SEMESRA. Selain daripada warga sekolah, ibubapa juga dijemput sama untuk hadir bagi memeriahkan lagi majlis.

Majlis dimulakan dengan ucapan wakil Tingkatan Empat diikuti oleh ucapan dari Pengetua Cemerlang SEMESRA, Dato' Hj Azam b. Md Atan.



Seterusnya pertandingan bakat muda pun bermula. Setiap rumah menghantar 2 kumpulan yang mempamerkan pelbagai kebolehan ahli-ahli rumah.


antara yang dipersembahkan

Selepas semua kumpulan memberikan persembahan yang terbaik, tibalah masanya untuk keputusan pertandingan. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengetua Cemerlang SEMESRA.

Berikut adalah senarai penuh keputusan semua pertandingan-pertandingan yang telah dijalankan sepanjang Minggu Silaturrahim:

Futsal
Johan : KP 2
Naib Johan: AZ 2
Ke-3 : LM 1

Bola Keranjang

Johan : LM 1
Naib Johan: KP 1
Ke-3 : KP 2

Explorace
Johan : AZ 2
Naib Johan: LM 2
Ke-3 : KP 1

Bakat Muda
Johan : KP 2
Naib Johan: AZ 2
Ke- 3 : JP 1
Ke- 4 : AZ 1
Ke- 5 : JP 2
Saguhati : KP 1, LM 1, LM 2

Tahniah kepada semua pemenang. Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Masih ada banyak lagi peluang untuk mengetengahkan bakat-bakat anda.

15 February, 2011

Makluman

Dimaklumkan bahawa tiada lawatan dibenarkan untuk hari ini kerana ada program yang telah disusun oleh pihak BADAR sempena Sambutan Maulidur Rasul.

Juga dimaklumkan bahawa Sabtu ini adalah merupakan hari persekolahan ganti bagi SEMESRA. Oleh itu tidak dibenarkan ibubapa untuk datang melawat pada waktu pagi.

Untuk ibubapa yang mempunyai anak di tingkatan 1,2 dan 4, lawatan hanya dibenarkan mulai pukul 2.45 petang sehingga 5.00 sahaja.

Sekian harap maklum.

13 February, 2011

Kursus Pengurusan Kepimpinan Ko-kurikulum Kali Pertama

Semalam telah diadakan satu kursus bagi 99 pelajar yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari bagi setiap unit kokurikulum. Kursus ini telah diadakan di Dewan Besar SEMESRA dari pukul 8 pagi hingga ke pukul 4 petang.

Antara objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pengurusan kokurikulum yang berkesan. Mereka telah didedahkan kepada pengurusan fail, teknik mengendalikan mesyuarat, cara-cara untuk membina kertas cadangan dan sebagainya.



kerja kumpulan


ujian keberkesanan kursus

Pengetua Cemerlang SEMESRA, Dato' Hj Azam b. Md Atan dalam ucapan perasmian penutup berharap agar kursus ini telah sedikit sebanyak membantu para pelajar untuk menjadi pemimpin yang lebih baik bagi organisasi masing-masing.

Beliau juga telah menyampaikan sijil kepada semua peserta kursus yang telah berjaya menamatkan kursus mereka dengan jayanya.


Tahniah diucapkan kepada semua peserta kursus. Semoga segala ilmu yang diperolehi akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi kebaikan bersama.

Perubahan Waktu Melawat

Adalah dimaklumkan bahawa waktu melawat telah dibuat pindaan.

Para ibubapa dan penjaga dibenarkan untuk melawat anak-anak sehingga pukul 5.00 petang sahaja.

Perubahan ini dibuat bagi membolehkan latihan pasukan-pasukan sekolah dapat dijalankan. Selain itu, ia juga adalah untuk membolehkan para pelajar membuat persediaan untuk makan malam, solat, kelas persediaan dan hari persekolahan.

Sekian, harap maklum.

11 February, 2011

Merentas Desa Peringkat Daerah Rembau

Pada 8 Februari, SEMESRA telah menghantar pemenang-pemenang acara merentas desa peringkat sekolah untuk bertanding di peringkat daerah.

Alhamdulillah berkat usaha para pelajar yang telah membuat persediaan sebelum hari pertandingan, peserta-peserta telah berjaya mendapat kedudukan yang agak baik di peringkat daerah Rembau.

Berikut adalah keputusan pertandingan:

Lelaki 18
Kedudukan ke 7: Amirul Haziq b Azhari

Perempuan 18
Kedudukan ke 10: Fathin Syuhada bt Abu Bakar

Lelaki 15
Kedudukan ke 4: Amirul Akmar b Abd. Razak
10: Valerie Alex Majjihil

Perempuan 15
Kedudukan ke 4: Nurain Asrin bt Saparudin
6: Nur Aqiesha bt Mohd Zaki
8: Nurul Atiqah bt Mat Kambali
10: Alia Nadhira bt Mohd Alias

Acara berpasukan
Perempuan 15: Naib Johan
Perempuan 18: Johan

Tahniah diucapkan kepada pasukan merentas desa SEMESRA. Semoga kejayaan ini akan dapat dipertingkatkan di masa hadapan.

10 February, 2011

Makluman

Perhatian kepada semua ibubapa/penjaga pelajar Tingkatan 4,

Adalah dimaklumkan bahawa para pelajar Tingkatan Empat masih lagi berada didalam Minggu Silaturrahim. Minggu ini menyediakan pelbagai aktiviti yang penting bagi membantu anak-anak ini menyesuaikan diri di sekolah berasrama penuh. Oleh kerana itu, mereka masih belum lagi boleh dilawati.

Minggu Silaturrahim ini hanya akan berakhir pada 16 Februari dan pada pukul 2.30 petang hari itu akan diadakan Majlis Penutupan Minggu Silaturrahim. Ibubapa adalah dijemput hadir pada hari tersebut untuk menyaksikan anak-anak mempamerkan bakat mereka.

Diharap agar makluman ini adalah jelas. Terima kasih atas kerjasama anda.

08 February, 2011

Pendaftaran Tingkatan Empat

Warga SEMESRA ingin mengucapkan selamat datang kepada semua para pelajar Tingkatan 4 yang telah pun datang mendaftar semalam.

Pendaftaran Tingkatan Empat bermula seawal pagi dimana para pelajar yang tiba telah dibahagikan mengikut kelas masing-masing. Sehingga kini, seramai 165 pelajar iaitu 98 pelajar perempuan dan 67 pelajar lelaki telah pun berjaya mendaftar sebagai warga baru SEMESRA.

pendaftaran kelas

Pada pukul 9.30 pula, para pelajar berserta ibubapa mereka beredar ke surau untuk Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat. Kemudiannya semua pelajar, ibubapa serta guru berhimpun semula di dewan untuk acara dewan.

Yang diPertua Persatuan Ibubapa dan Guru, Hj Dahalan b. Abdullah semasa berucap menyentuh mengenai pentingnya peranan ibubapa dalam mendokong semua aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah demi kecemerlangan anak-anak. Beliau berharap agar ibubapa dapat menyokong penuh segala aktiviti yang telah dirancang oleh pihak sekolah.


YDP PIBG

Seterusnya, giliran Pengetua Cemerlang Dato' Hj Azam b. Md Atan untuk memberi amanat beliau. Beliau menegaskan bahawa para pelajar perlu seimbang dalam semua bidang. Selain daripada cemerlang didalam akademik dan ko-kurikulum, para pelajar juga haruslah mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik.


Pengetua Cemerlang SEMESRA

Selepas itu, beliau telah memperkenalkan barisan pentadbir dan guru SEMESRA. Kemudian, satu sesi soal-jawab telah dibuka kepada ibubapa bagi menjawab kemusykilan yang mungkin ada dikalangan mereka.


ibubapa dan para pelajar sedang mendengar taklimat yang disampaikan

Selepas acara dewan tamat, para pelajar serta ibubapa bergerak pula ke kawasan blok akademik untuk urusan kelas dan koperasi.


urusan pembayaran yuran sekolah


urusan di koperasi

Dengan kemasukan para pelajar Tingkatan Empat ini, lengkaplah sudah ahli keluarga SEMESRA. Semoga kehadiran mereka ini akan dapat memperkuatkan lagi SEMESRA dalam misi ke arah pencapaian akademik dan ko-kurikulum bertaraf dunia.