13 November, 2010

KEJOHANAN OLAHRAGA SEKOLAH MENENGAH SAINS REMBAU KALI 1

Pada 13 November 2010, satu kejohanan olahraga bagi peringkat Sekolah Menengah Sains Rembau telah diadakan di Padang Astaka Sekolah Menengah Sains Rembau. Kejohanan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk mengembangkan lagi potensi pelajar khususnya pelajar sekolah menengah sains rembau dalam aspek kokurikulum khususnya dalam bidang sukan. Selaras dengan hasrat kementerian Pelajaran Malaysia bermula tahun hadapan, akan diwajibkan kepada semua pelajar, seorang pelajar satu sukan. Majlis pembukaan kejohanan telah dirasmikan oleh yang berbahagia Tuan Haji Mohd Kholil bin Muhammad, Ketua Unit Pengurusan Sektor Akademik Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa Sekolah Menengah Sains Rembau telah berjaya mencipta beberapa kejayaan walaupun baru dibuka. Beliau mengucapkan tahniah atas segala usaha yang telah dilakukan bagi menjadikan Sekolah Menengah Sains Rembau setanding dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain.

Dalam kejohanan yang telah berlangsung selama tiga hari berturut-turut sebanyak 8 acara telah dipertandingkan. Dalam acara yang telah dipertandingkan para peserta telah menunjukkan bakat yang terpendam. Banyak rekod yang telah dicipta setakat ini.Turut berlangsung acara olahraga jemputan antara atlit tuan rumah bersama atlit dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai. Saudara Mohamad Fairuz bin Zakaria dan Nur Izzati Zainal Abidin telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terbaik SEMESRA buat kali yang pertama manakala Juara keseluruhan kejohanan pada kali ini dimenangi oleh Rumah Johan Pahlawan. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh perasmi kejohanan pada kali ini iaitu Tuan Haji Mohd Kholil bin Muhammad, Ketua Unit Pengurusan Sektor Akademik Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia.Semoga Kejayaan lebih gemilang dapat dicapai pada masa-masa akan datang.