28 April, 2010

PIBG PERLU BANTU SEKOLAH

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus memainkan peranan lebih agresif dalam membantu sekolah meningkatkan tahap kecemerlangan untuk mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan 100 SBT menjelang 2012 berbanding 20 SBT kini.Katanya, SBT menjadi penanda aras bagi kecemerlangan sesebuah sekolah itu yang setanding dengan sekolah di negara maju.“Masih banyak yang perlu dilakukan bagi menambah baik pencapaian sekolah yang ada di negara ini, " katanya ketika berucap sempena Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2, di sini, semalam.

Seramai 103 pelajar cemerlang yang mendapat 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Muhyiddin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Fuziah Hassan.

Katanya, SBT seperti SK Bandar Baru Uda 2 yang mencapai kecemerlangan di dalam UPSR sejak 2003 boleh berkongsi pengalaman mereka dengan sekolah lain supaya budaya pencapaian kecemerlangan yang diamalkan di SBT dapat disebarkan.
Sebelum itu, ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini, Muhyiddin berkata, penubuhan alumni berkesan membantu pengurusan sekolah meningkatkan kecemerlangan sekali gus merangsang murid dan pelajar untuk lebih gigih menimba ilmu.

Katanya, alumni yang disertai bekas pelajar yang mempunyai personaliti tinggi serta sudah menempa kejayaan, mampu memberikan idea kepada sekolah dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan kegiatan bagi membantu murid mencapai kecemerlangan.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak mengetahui cadangan daripada mana-mana pihak untuk membina Mini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) khusus untuk pejalan kaki di Tambak Johor kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kabinet.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang untuk meningkatkan kecekapan pengurusan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang menempatkan KIK baru bagi memberikan keselesaan optimum kepada penggunanya.