22 February, 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

Sempena dengan tarikh kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w, Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan satu sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. 

Satu ceramah untuk seluruh warga sekolah telah pun diadakan pada 10 haribulan yang lalu bersamaan hari Jumaat. Acara kemuncak bagi sambutan ini ialah pertandingan perarakan antara rumah yang telah diadakan pada 19 Februari bersamaan hari Ahad yang lalu.

Setiap rumah dikehendaki untuk menghasilkan sepanduk yang bertemakan sambutan ini. Selain daripada itu, ahli-ahli rumah juga diminta untuk berselawat ke atas nabi sepanjang perarakan.


Johan Pahlawan telah diisytiharkan sebagai pemenang bagi perarakan ini manakala Lela Maharaja pula telah memenangi hadiah sepanduk terbaik.

Terima kasih diucapkan kepada semua ahli rumah yang telah bertungkus-lumus dalam membuat persediaan  untuk sambutan Maulidur Rasul ini. Walaupun menghadapi kekangan masa, para pelajar telah berjaya memberikan yang terbaik demi memperingati Rasulullah s.a.w. dan perjuangan serta pengorbanan baginda.

Semoga usaha kita yang tidak seberapa ini akan dapat mendekatkan kita lagi dengan nabi junjungan kita dan seterusnya menjadikan baginda sebagai contoh yang terbaik untuk diikuti, insyaAllah.