19 February, 2013

Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan PMR

Isnin 18 Februari yang lalu, SEMESRA telah dikunjungi oleh Puan Hjh Kalsom binti Khalid, Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Kunjungan pertama beliau ke SEMESRA ini adalah bertujuan untuk menyampaikan sijil penghargaan  kepada sekolah atas keputusan PMR 2012 yang cemerlang.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengetua Kanan SEMESRA, Puan Hjh Norzila binti Idris serta warga SEMESRA yang lain.


Selepas nyanyian Negaraku dan bacaan doa, Pengetua Kanan SEMESRA telah dijemput untuk memberi ucapan.


Dalam ucapan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pelajaran yang sudi meluangkan masa  mengunjungi sekolah. Beliau berharap agar kunjungan ini akan dapat menyuntik semangat pelajar-pelajar SEMESRA untuk meneruskan kecemerlangan sekolah terutamanya para pelajar yang akan menghadapai peperiksaan pada tahun ini.


Seterusnya giliran Puan Hjh Kalsom, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan untuk memberi ucapan. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar PMR 2012 yang telah berjaya menempatkan SEMESRA pada tangga kedua di Negeri Sembilan. Beliau seterusnya memberi cabaran kepada para pelajar PMR 2013 untuk mengatasi pencapaian cemerlang PMR 2012.

Beliau juga telah mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para pelajar supaya menyediakan diri untuk bersaing secara global kerana mereka adalah pemimpin negara pada masa hadapan.

Seterusnya ialah sesi penyampaian Sijil Penghargaan PMR kepada sekolah.


Selepas majlis ringkas ini, Puan Hjh Kalsom telah mengambil peluang keemasan ini untuk bertemu dengan semua guru SEMESRA. Antara amanat yang telah ditinggalkan oleh beliau kepada para guru ialah agar guru-guru dapat membantu para pelajar dalam persediaan mereka menghadapi cabaran masa akan datang. Beliau juga berharap agar semua guru akan dapat bergerak dalam satu pasukan demi mencapai kecemerlangan sekolah.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Kalsom atas kunjungan  dan amanat yang telah diberi. In sya Allah, seluruh warga SEMESRA akan terus mengorak langkah demi kecemerlangan anak bangsa.