10 April, 2012

Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik

Pada 7 April yang lalu telah diadakan satu Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi meraikan dan menghargai potensi dan kesungguhan para pelajar dan guru SEMESRA. Penerima-penerima anugerah ini adalah berdasarkan keputusan peperiksaan tahun lepas, PMR 2011 juga SPM 2011.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah SBP, Tn. Hj Mohd Kassim bin Mohd Noah. Beliau di dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada SEMESRA kerana berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.

Beliau berharap agar kecemerlangan ini akan dapat diteruskan oleh para pelajar yang lain. Beliau menegaskan betapa pentingnya sesebuah sekolah berasrama penuh itu untuk memberi impak kepada kawasan sekitarnya. Justeru itu, SEMESRA bukan sahaja perlu memastikan kecemerlangan sekolah sendiri tetapi perlu juga membantu sekolah-sekolah di kawasan Rembau.

Majlis Anugerah dimulakan dengan penyampaian Hadiah kepada para pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 yang cemerlang di dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2011. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PIBG, En. Luqman bin Ramli.


Kemudian, tibalah pula giliran para pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR 2011 untuk menerima hadiah. Hadiah-hadiah ini telah disampaikan oleh Datin Hjh Naemah binti Ahmad Dahalan, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau.


Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para guru yang telah berjaya melonjakkan prestasi mata pelajaran mereka. Anugerah ini adalah berdasarkan kepada keputusan peperiksaan umum PMR dan SPM 2011 baru-baru ini.


Kemudian, tibalah masanya untuk para pelajar SPM 2011 yang mendapat keputusan 9 Straight As untuk menerima anugerah mereka.


Pada majlis ini juga, calon PMR 2011 iaitu Muhammad Amrul Basyar bin Fazil telah diberikan Anugerah Pelajar Terbaik PMR 2011 atas kecemerlangan beliau bukan sahaja di dalam bidang akademik malahan ko-kurikulum.


Manakala Nurul Hafizah binti Mat Kamil telah dianugerahkan Anugerah Lonjakan Saujana kerana berjaya menunjukkan peningkatan keputusan yang sangat cemerlang.


Mohamad Borhan bin Mohammad Sultan pula telah diberikan Anugerah Pelajar Terbaik SPM atas kecemerlangan beliau di dalam peperiksaan SPM 2011.



Anugerah terakhir bagi Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik pada tahun ini adalah Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan. Anugerah ini telah diberikan kepada Othman Affan bin Zuhir atas kecemerlangan beliau di dalam pelbagai bidang termasuklah akademik, ko-kurikulum, kepimpinan juga sahsiah.



Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah. Semoga anugerah ini akan menjadi pendorong untuk anda semua mencapai kejayaan yang lebih gemilang selepas ini.