04 August, 2011

Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan Dekat di Hati

Pada Isnin yang lalu, telah selamat disempurnakan Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan Dekat di Hati. Majlis ini telah dianjurkan oleh Badan Dakwah, Akhlak dan Rohani (BADAR) SEMESRA dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam SM Sains Rembau.



Majlis telah bermula seawal 7.15 pagi dengan ketibaan Puan Pengetua, Penolong-penolong Kanan serta Guru-guru Kanan Mata Pelajaran ke Dewan Dato' Haji Azam. Selepas ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis, sidang yang dirahmati Allah telah diperdengarkan dengan bacaan suci Al-Quran oleh Saudara Danial Hidayat.


bacaan ayat-ayat suci Al-Quran

Selepas itu, slot 'Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan' telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Shahizam b. Harun. Dalam slot ini, Ustaz Shahizam telah memberi penerangan mengenai hukum berpuasa serta kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi oleh seseorang yang berpuasa.


slot 'Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan'

Seterusnya, Pengetua Kanan Hjh Norzila bt. Hj Idris telah dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis pelancaran Ihya' Ramadhan Dekat di Hati ini.



upacara simbolik Majlis Pelancaran



Sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini, pelbagai aktiviti keagamaan akan dijalankan. Antaranya adalah Tadarus Al-Quran, Kuiz Ramadhan, Sehari Satu Tip, Tayangan Ramadhan serta Qiamullail. Sebelum bersurai, satu tayangan multimedia oleh BADAR telah dipersembahkan kepada para hadirin.

Selamat datang diucapkan kepada bulan yang penuh barakah, bulan Ramadhan. Kepada semua warga SEMESRA serta ibubapa dan penjaga, diucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan semoga amal ibadah kita akan diterima olehNya.