16 August, 2011

Majlis Perpisahan En. Jasmi bin Md Tegol

Hari ini SEMESRA kehilangan seorang lagi guru yang berwibawa iaitu Encik Jasmi bin Md Tegol. Hari ini merupakan hari terakhir beliau di SEMESRA kerana beliau akan berpindah ke SMK Lubok China atas urusan kenaikan pangkat.

Satu majlis ringkas telah diadakan semasa perhimpunan pagi ini bagi menyampaikan rasa terima kasih sekolah kepada beliau. Pengetua Kanan SEMESRA, Puan Norzila bt. Hj Idris merakamkan sekalung penghargaan kepada Encik Jasmi atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh beliau kepada sekolah. Puan Pengetua juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kenaikan pangkat yang diterima oleh Encik Jasmi.

Dalam ucapan balas, Encik Jasmi mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga SEMESRA atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang beliau di sekolah ini. Beliau juga memohon kemaafan jika ada terkasar bahasa sepanjang pergaulan beliau di sini.


ucapan terakhir Encik Jasmi

Bagi para pelajar Tingkatan 5, beliau berjanji akan meluangkan masa untuk membuat kelas tambahan selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi membantu para pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Seterusnya, pihak majlis telah menyampaikan sedikit cenderamata untuk kenang-kenangan serta ucapan terima kasih sekolah kepada Encik Jasmi.


Ustaz Haikal, wakil Kelab Guru dan Staf

Kehilangan ini akan dirasai oleh seluruh warga SEMESRA kerana sumbangan beliau kepada sekolah bukan sahaja di dalam bidang akademik bahkan bidang ko-kurikulum khususnya sukan badminton. Selain daripada itu, ahli-ahli rumah Johan Pahlawan juga akan kehilangan Ketua Guru Rumah mereka.

Perpindahan Encik Jasmi yang berpengalaman mengajar Bahasa Melayu selama 20 tahun sudah semestinya merupakan satu kehilangan yang besar kepada SEMESRA. Walaubagaimanapun, pihak sekolah redha akan perpisahan ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.