26 June, 2011

Lawatan Balas SMP Negeri 1 dan SMP Negeri 6 Mataram, Lombok Indonesia

Pada hari Jumaat yang lepas, SEMESRA telah menerima satu kunjungan balas dari Lombok, Indonesia. Delegasi-delagasi ini terdiri daripada guru-guru dan para pelajar dari dua buah sekolah yang telah dilawati oleh pihak sekolah pada bulan Mac yang lalu.

Kedatangan mereka ini telah disambut meriah oleh pihak sekolah. Dato' Haji Azam b. Md Atan juga telah berkesempatan untuk sama-sama menyambut kedatangan delegasi-delegasi dari Lombok ini.


Rombongan ini telah diarak ke Dewan Besar dimana seluruh warga SEMESRA sudah siap menanti kedatangan mereka.

Pengetua SEMESRA, Puan Hajah Norzila bt. Hj Idris, di dalam ucapannya, melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kesudian para tetamu membuat kunjungan balas ke SEMESRA. Beliau berharap agar kerjasama erat akan dapat terus dijalin demi peningkatan dan kebaikan sekolah masing-masing.


Wakil- wakil delegasi dari Lombok ini juga telah berkesempatan untuk memberi ucapan kepada warga SEMESRA. Mereka melahirkan rasa syukur kerana berkesempatan untuk melawat SEMESRA yang pada anggapan mereka adalah sekolah yang cemerlang. Mereka berharap agar lebih banyak aktiviti-aktiviti yang akan dapat dijalankan demi kepentingan bersama.


Di dalam majlis yang ringkas ini juga, ketiga-tiga sekolah ini telah bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda kenangan. Kemudian, kesemua tetamu ini telah dijemput untuk dewan makan bagi menikmati hidangan makan tengahari.


majlis penyampaian cenderamata
delegasi menjamu selera

Delegasi-delegasi dari Lombok ini juga telah berkesempatan untuk melawat sekitar sekolah dan antara tempat yang dilawati termasuklah Pusat Sumber Sekolah.


bertanya sesuatu kepada Penyelaras PSS SEMESRA
Rombongan dari Lombok ini kemudiannya beransur pulang pada pukul 12 tengahari. Walaupun kedatangan mereka hanya seketika, diharapkan agar mereka pulang dengan membawa kenangan manis semasa di SEMESRA.

Selamat berangkat pulang dan semoga kita berjumpa lagi di masa hadapan.