17 April, 2011

Majlis Persaraan Pengetua Cemerlang SEMESRA

Pada 16 April yang lalu, seluruh warga SEMESRA diselubungi rasa hiba apabila ayahanda tercinta iaitu Pengetua Cemerlang Dato Hj Azam b. Md Atan mengakhiri tempoh perkhidmatan beliau sebagai seorang penjawat awam kerajaan.

Dua majlis khas telah diadakan untuk meraikan persaraan Pengetua Cemerlang ini. Majlis yang pertama telah dibuat pada waktu pagi dimana seluruh warga SEMESRA telah hadir untuk sama-sama meraikan persaraan Dato'.

Selain daripada warga SEMESRA, Timbalan Pengarah Unit SBPSK Hjh Norlia bt. Mohd Shuhaili, Pegawai Pendidikan Daerah Rembau Datin Hjh Naemah bt Ahmad Dahalan dan juga Yang Dipertua PIBG Hj Dahalan b. Abdullah telah turut sama hadir ke majlis ini.

Majlis diserikan dengan persembahan nasyid, multimedia, choral speaking serta bacaan biodata tetamu yang diraikan.


persembahan koir

Para pelajar SEMESRA juga telah mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan sedikit tanda kenangan untuk Dato' sempena persaraan beliau.

penyampaian hadiah

Dato' di dalam ucapan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan kepada beliau sepanjang perkhidmatan beliau di SEMESRA. Beliau mengharapkan agar SEMESRA akan terus maju di masa hadapan.

Beliau juga telah merasmikan penggunaan nama baru bagi dewan SEMESRA kepada Dewan Dato' Hj Azam.



Seterusnya Dato' telah dibawa menaiki sebuah kereta antik diiringi oleh motor-motor berkuasa besar mengelilingi kawasan sekolah buat kali terakhir sebagai gimik 'sending off' majlis ini.



Untuk majlis kedua, ia telah dimulakan dengan bacaaan tahlil dan yassin berserta solat hajat di surau SEMESRA. Kemudian, para tetamu yang terdiri daripada pengetua-pengetua SBP, pegawai-pegawai pendidikan peringkat daerah dan negeri, bekas guru-guru Dato' Hj Azam telah dijemput ke dewan untuk majlis makan malam.

Tetamu-tetamu kehormat yang lain adalah terdiri daripada YB Samsulkahar b. Mohd Deli dan YB Zhaifulbahar b. Idris serta Pengarah SBPSK Pn Ashah b. Samad.


pertunjukan bunga api

Di dalam majlis ini juga, penyampaian cenderamata telah disampaikan oleh Dato' kepada sekolah-sekolah dimana beliau pernah berkhidmat.




Kemudiannya, para tetamu pula telah dihidangkan dengan persembahan caklempong, tarian zapin, persembahan multimedia serta bacaan biodata Dato' Azam b. Md Atan semasa jamuan makan malam berlangsung.


persembahan caklempong


persembahan tarian zapin

Majlis gilang gemilang ini tamat lebih kurang pukul 12 malam. Terima kasih diucapkan kepada semua tetamu yang hadir yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama meraikan Pengetua Cemerlang SEMESRA.

Selamat bersara diucapkan kepada Dato' Hj Azam b. Md Atan. Sesungguhnya segala jasa baik Dato' dalam usaha menaikkan nama sekolah ini hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Kami warga SEMESRA berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk meneruskan budaya cemerlang yang telah diturunkan oleh Dato'.