20 July, 2011

Program Khidmat Bakti SEMESRA - SK Lui

Pada 15- 17 Julai yang lalu, seramai 23 pelajar Tingkatan 4 SEMESRA berserta guru-guru pengiring telah sama-sama ke Felda Sungai Lui untuk satu Program Khidmat Bakti antara SEMESRA dan SK Sungai Lui.

Semasa majlis perasmian program, guru besar SK Sungai Lui merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan atas inisiatif yang telah dibuat oleh SEMESRA dalam membantu anak-anak Felda tersebut.

Menurut beliau, ini merupakan program khidmat bakti yang julung-julung kalinya diadakan di situ dan beliau berharap agar program ini akan menjadi titik tolak untuk program-program lain di antara dua sekolah ini.

Seterusnya, telah diadakan satu majlis penyerahan anak angkat di mana pelajar-pelajar SEMESRA telah diberikan keluarga angkat mereka masing-masing sepanjang program ini berlangsung. Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Azman b. Awang telah sudi menyempurnakan majlis penyerahan anak angkat ini.


majlis penyerahan anak angkat

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti yang telah dijalankan untuk memupuk kesedaran akan pentingnya ilmu kepada anak-anak Felda ini. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah SBP Matlamatku, Resepi Kejayaan, Slot Matematik dan Bahasa Inggeris serta Slot Azam dan Cita-citaku.


slot resepi kejayaan


sukaneka

Sepanjang 3 hari 2 malam, para pelajar SEMESRA telah berpeluang untuk memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada anak-anak FELDA Sg. Lui tentang peluang dan kebaikan berada di sekolah Berasrama Penuh.

Selain daripada itu, mereka juga telah berpeluang untuk menikmati kehidupan di luar bandar dan pastinya ia merupakan satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan oleh mereka.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada guru-guru yang telah sama-sama membantu dalam mencari sumbangan bagi menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada Puan Nuraini Salihin bekas guru SK Sg. Lui yang kini merupakan guru di SEMESRA kerana banyak membantu dalam melicinkan urusan program ini.

Diharapkan agar program ini akan dapat diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah luar bandar yang lain demi kemajuan anak bangsa.


bergambar kenangan di akhir program