05 January, 2011

Selamat Datang Warga Baru SEMESRA



Warga sekolah hari ini mengalu-alukan kedatangan pelajar-pelajar baru Tingkatan Satu Ambilan Satu. Seawal pagi, para guru berserta pemimpin-pemimpin pelajar sudah pun bersedia untuk menerima kedatangan ahli-ahli baru ini.

kedatangan ibubapa dan pelajar disambut oleh guru dan para pemimpin pelajar

Pendaftaran pelajar bermula pada pukul 8 pagi mengikut kelas-kelas yang telah diberikan oleh Penyelaras Tingkatan 1, Pn. Siti Nurul Ain bt. Ash'ari.

Seramai 138 pelajar telah pun mendaftar menjadi warga SEMESRA yang baru. Dari bilangan ini, 64 orang adalah pelajar lelaki manakala 74 lagi adalah pelajar perempuan.


pendaftaran kelas

Kemudian pada pukul 9.30 pagi, para ibubapa, guru dan pelajar bergerak ke surau bagi Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat.

Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau, Dato' Hj Azam b. Md Atan.

Di dalam ucapan, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan para pelajar dalam mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang lepas dan seterusnya berjaya menempatkan diri di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Malaysia.


Majlis Taklimat oleh Pengetua

Beliau berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan peluang keemasan yang telah diberikan dengan berusaha untuk menjadi pelajar yang lebih berjaya bukan sahaja di dalam bidang akademik tetapi juga di dalam bidang ko-kurikulum.

Selepas ucapan daripada Pengetua SEMESRA, barisan pentadbiran dan guru telah diperkenalkan kepada semua ibubapa dan pelajar-pelajar Tingkatan Satu.

Seterusnya, para ibubapa dan pelajar diminta untuk ke koperasi sekolah dan kelas-kelas bagi urusan pembayaran yuran sekolah dan barang koperasi.

Selepas semua urusan-urusan tersebut selesai, para pelajar bergerak pula ke asrama untuk urusan pendaftaran di asrama.

Sekali lagi diucapkan selamat datang kepada warga baru SEMESRA. Semoga kehadiran anda akan sama-sama dapat menaikkan nama baik sekolah ini :)