30 June, 2012

Pertandingan Robotik Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Negeri 2012

Pada 27 Jun yang lalu telah diadakan satu Pertandingan Robotik Peringkat Negeri Sembilan di SMV Port Dickson. Sebanyak 32 sekolah di seluruh Negeri Sembilan telah mengambil bahagian. 

SEMESRA telah menghantar 2 pasukan untuk menyertai Acara Litar Kategori Sekolah Menengah Rendah. Pasukan SEMESRA terdiri daripada Muhammad Hazwan Haziq bin Zainidar, Aiman Azim bin Abdul Haris dan Muhammad Harith bin Shamsul yang mewakili Team A SEMESRA sementara Team B SEMESRA terdiri daripada Muhammad Khairul Azi Yusry bin Mohd Yusof, Muhammad Zharfan Nafiq dan Wan Muhammad Haziq.

suasana pertandingan

Alhamdulillah, kedua-dua pasukan SEMESRA telah berjaya memenangi Tempat Pertama (Gold Medal) dan Tempat Kedua (Silver Medal) pertandingan tersebut. Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh pasukan dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR).

Hadiah telah disampaikan oleh YB Dato' Seri Utama Tan Sri Haji Mohd Isa bin Dato' Abd Samad, Pengerusi FELDA dan ADUN Bagan Pinang, Port Dickson. Para pemenang telah menerima medal, piala kristal dan sijil kecemerlangan robotik.

 Gold Medal - Team B SEMESRA

 Silver Medal - Team A SEMESRA


 hadiah-hadiah yang telah dimenangi

Kedua-dua pasukan akan mewakili Negeri Sembilan ke Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2012 yang akan berlangsung di Johor Bahru pada 25 - 29 September 2012.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan SEMESRA. Didoakan agar pasukan sekolah akan terus meraih kejayaan gemilang di peringkat kebangsaan nanti.

24 June, 2012

Minggu Koperasi 2012

Pada tahun ini, Minggu Koperasi Sekolah telah berlangsung dari 11 - 23 Jun 2012. Pelbagai aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan oleh Koperasi SM Sains Rembau Bhd bagi memeriahkan sambutan pada tahun ini.

Antara aktiviti-aktiviti yng telah diadakan termasuklah Pertandingan Melukis Mural, Pertandingan Permainan Tradisional, Pertandingan Membuat Kain Rentang, Marathon, Pertandingan Landskap dan banyak lagi.


Kemuncak bagi Minggu Koperasi 2012 adalah Majlis Perasmian Penutupan yang telah diadakan di Dewan Dato' Hj Azam pada 23 Jun 2012. Tetamu-tetamu kehormat bagi majlis ini ialah Datin Hjh Naemah binti Ahmad Dahalan, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau dan Puan Noriam binti Mohd Sidek, AJK Perhubungan ANGKASA, N. Sembilan.

Pada majlis ini, hadiah-hadiah telah diberikan kepada pemenang-pemenang bagi semua pertandingan yang telah diadakan sepanjang Minggu Koperasi dijalankan.


Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Datin Naemah binti Ahmad Dahalan, Pegawai Pelajaran Daerah Rembau. Johan Pahlawan telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi Minggu Koperasi kali ini dengan mendahului 3 rumah yang lain dalam pungutan mata.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan terima kasih kepada semua atas sokongan padu dalam menjayakan Minggu Koperasi pada tahun ini. Semoga Koperasi SM Sains Rembau akan terus gemilang demi kepentingan semua ahli.

22 June, 2012

Kunjungan Pelawat Dari SMP Negeri 1 Padang, Indonesia

Semalam SEMESRA telah mengadakan satu majlis ringkas bagi menyambut kedatangan pelawat-pelawat dari SMP Negeri 1 Padang, Indonesia. Kedatangan mereka kali ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara dua sekolah.


Mereka telah tiba di SEMESRA pada pukul 2 petang dan disambut dengan pasukan kompang dan bunga manggar. Seterusnya, mereka telah dipersembahakan dengan slaid mengenai sekolah selepas sahaja ucapan alu-aluan daripada Pengetua Kanan SEMESRA.

Rombongan ini telah disertai oleh 98 pelajar bersama guru-guru pengiring dan akan berada di SEMESRA sehingga Sabtu pagi sebelum bertolak ke Singapura. 


Sepanjang tempoh lawatan ini, para pelawat akan didedahkan kepada pengajaran bahasa-bahasa asing serta mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, para pelawat juga akan berpeluang untuk sama-sama menyaksikan kemeriahan Minggu Koperasi sekolah yang sedang rancak berjalan. 

Kemuncak lawatan ini adalah Malam Kebudayaan yang akan dijalankan pada Jumaat malam. Pelajar-pelajar dari kedua-dua sekolah akan mempersembahkan persembahan menarik pada malam itu.

Selamat datang diucapkan kepada delegasi Padang. Semoga kehadiran ini akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kedua-dua negara.

24 May, 2012

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2012

Semalam telah diadakan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah di Dewan Besar Dato' Hj Azam. Sambutan dimulakan dengan acara dewan. Guru-guru telah diarak dari bangunan pentadbiran ke dewan dengan diiringi oleh pelajar-pelajar Tingkatan Satu.

Pada tahun ini, tema yang telah dipilih adalah Retro/Biru. SEMESRA telah bertukar wajah demi menepati tema ini. Para guru juga telah mengenakan pakaian yang berunsurkan retro ataupun biru..


Selepas ucapan rasmi daripada Menteri Pelajaran dibacakan, Pengetua Kanan SEMESRA telah dijemput untuk memberi ucapan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Sambutan yang telah bekerja kuat bagi mengadakan sambutan pada tahun ini. Beliau juga telah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru dan staf yang telah sama-sama bekerjasama dalam menaikkan prestasi sekolah.

Para guru kemudiannya telah dijemput ke atas pentas bagi menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia dan membacakan ikrar.


Sebaik sahaja acara dewan tamat, sambutan diteruskan dengan acara di padang. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah perlawanan bola sepak, perlawanan bola jaring, acara selipar gergasi dan acara baling belon air.

 

Pada pukul 12.30, sambutan diteruskan lagi dan semua guru dan pelajar telah berkumpul di Dewan Besar bagi menyaksikan persembahan guru-guru dan para pelajar.


Selepas semua persembahan selesai, para guru dan staf kemudiannya telah dijemput untuk menjamu selera. Terima kasih diucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola Sambutan atas sambutan yang meriah ini.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru SEMESRA. Semoga usaha cikgu akan diberkati olehNya dan diberikan ganjaran yang setimpal. Terima kasih, cikgu!

23 May, 2012

Pertandingan Kawad Kaki KRS Peringkat Negeri 2012

Pada 22 Mei yang lalu, pasukan KRS Putera dan Putera SEMESRA telah mewakili Rembau dalam Pertandingan Kawad Kaki KRS Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson.




Kedua-dua pasukan telah memberi persembahan yang mantap sepanjang pertandingan ini. Walaubagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka. 

Namun begitu, tahniah diucapkan kepada pasukan KRS sekolah yang telah memberi persaingan yang hebat kepada pasukan-pasukan lain. Walaupun masih setahun jagung tetapi pasukan KRS telah menampakkan potensi yang baik. Diharapkan kejayaan-kejayaan yang lebih gemilang akan dapat dilakar oleh pasukan ini di masa hadapan.