23 September, 2012

Majlis Penyerahan Tugas Lembaga Pemimpin Pelajar sesi 2011/2012 dan Pengumuman Calon Pengawas Percubaan sesi 2012/2013


Pada 19 September yang lalu telah diadakan Majlis Penyerahan Tugas Lembaga Pemimpin Pelajar bagi Sesi 2011/2012. Majlis telah diadakan di Dataran Perhimpunan semasa perhimpunan pagi Rabu.

Majlis ini diadakan bagi memberi laluan kepada para pemimpin pelajar Tingkatan 5 yang sedang rancak membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan SPM mereka.

Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis diikuti dengan ucapan Ketua Pelajar Sesi 2011/2012 Sdr Muhammad Atif Haziq bin Roslan.

Sdr Atif mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru terutamanya pihak pentadbiran sekolah yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dan rakan-rakan untuk membantu pihak sekolah dalam melicinkan perjalanan sekolah. Beliau memohon maaf bagi pihak pemimpin pelajar sesi 2011/2012 di atas mana-mana kekurangan dalam menjalankan tugas. Sebelum mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan selamat bertugas kepada kepimpinan yang baru.


Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Pengetua Kanan SEMESRA, Hjh Norzila binti Idris. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin pelajar sesi 2011/2012 yang telah banyak menyumbang bakti kepada sekolah dan berharap agar mereka akan terus membantu sehingga tamat pengajian mereka di SEMESRA.

Pengetua Kanan juga melahirkan hasrat kepada pemimpin-pemimpin yang baru agar berusaha untuk terus memperbaiki dan memantapkan sumbangan mereka kepada sekolah. Bagi pengawas percubaan pula, diharapkan agar prestasi baik akan dapat dikekalkan apabila dilantik kelak.



Seterusnya giliran Penolong Kanan HEM, En. Hj Azman bin Awang untuk mengumumkan nama-nama calon pengawas percubaan bagi sesi 2012/2013.


Akhirnya sekali telah diadakan sesi penyerahan tugas daripada wakil Pemimpin Pelajar 2011/2012 kepada wakil pemimpin pelajar 2012/2013.


Terima kasih diucapkan kepada semua pemimpin pelajar sesi 2011/2012 atas jasa dan khidmat yang telah disumbangkan kepada sekolah. Tahniah diucapkan kepada kepimpinan sesi 2012/2013, semoga semua yang telah dilantik akan dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah. Kepada calon-calon pengawas percubaan, selamat maju jaya. Semoga anda akan berjaya untuk menjadi sebahagian daripada badan kepimpinan pelajar SEMESRA pada tahun hadapan.