10 November, 2011

Majlis Restu Ilmu SPM

Pagi ini telah diadakan satu Majlis Restu Ilmu bagi para pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM pada minggu hadapan. Majlis ini telah diadakan di Surau SEMESRA dan dihadiri oleh semua guru dan pelajar SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohmed Rozeli b. Yahya. Seterusnya ia diteruskan dengan ucapan oleh wakil Tingkatan 5 Sdr Syafiq Shaharizal. Di dalam ucapannya, beliau mewakili rakan-rakan memohon maaf kepada semua guru jika ada terkasar bahasa sepanjang dua tahun ini. Beliau juga berharap agar semua pihak dapat mendoakan kejayaan mereka dalam peperiksaan ini.



Seterusnya giliran Pengetua Kanan SEMESRA Pn. Hjh Norzila bt. Idris untuk memberi ucapan. Beliau mewakili guru-guru SEMESRA mendoakan agar semua pelajar akan berjaya menjawab soalan dengan baik. Beliau berharap agar para pelajar dapat memberi tumpuan penuh kepada peperiksaan memandangkan keputusan peperiksaan ini amat penting untuk masa depan mereka.



Selepas ucapan, telah diadakan upacara bermaaf-maafan diantara guru dan pelajar. Para pelajar kemudiannya dibekalkan dengan alat tulis sumbangan PIBG.





Selamat menduduki peperiksaan SPM diucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 5. Semoga anda semua akan beroleh 9A+ di dalam peperiksaan ini. Amin.