Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melancarkan sebuah satelit peninjau suria semalam dengan harapan untuk meningkatkan kefahaman saintis mengenai matahari dan fungsinya yang rumit.
Roket dua peringkat Atlas ,berlepas dari tapak pelancaran Pusat Angkasa Lepas Kennedy di sini pada 10.23 pagi semalam (11.23 malam tadi waktu Malaysia) dengan membawa satelit Peninjau Dinamik Suria (SDO) ke angkasa lepas.
NASA berkata, SDO berpisah daripada roketnya kira-kira sejam dan 48 minit selepas pelancaran.
Satelit seberat 3.2 tan itu dijadual memasuki orbit kira-kira 35,880 kilometer dari Bumi, mengelilingi planet ini sekali dalam setiap 24 jam sepanjang misinya selama lima tahun.
"Misi ini akan membawa kejayaan hebat. SDO akan melonjakkan kefahaman kita mengenai matahari serta kesannya terhadap kehidupan dan masyarakat," kata Pengarah Bahagian Heliofizik, Richard Fisher di ibu pejabat NASA di Washington.
Menurut NASA, satelit tersebut akan membantu mendedahkan bagaimana perubahan pada matahari mengubah paras radiasi dan tenaga dalam sistem suria kita sendiri.
Saintis berkata, cuaca angkasa lepas yang berpunca daripada matahari boleh mempengaruhi isyarat komunikasi dan satelit, talian tenaga elektrik dan objek lain di samping penghantaran tenaga dalam atmosfera kita dan di luarnya.