16 August, 2010

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH

Pada hari ini akan berlangsung Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Menengah Sains Rembau. Majlis yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk memberikan peringatan kepada semua warga sekolah mengenai tarikh kemerdekaan negara dan juga hari penubuhan Malaysia yang diadakan pada setiap tahun diseluruh negara. Program yang julung kali diadakan di Sekolah Menengah Sains Rembau ini juga bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan semangat cintakan tanahair selain mempertautkan semangat muhibbah dan silaturrahim dalam kalangan pelajar sekolah menengah sains rembau dan warga sekolah.Tema Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini ialah 1 Malaysia Menjana Transformasi .Majlis Pelancaran akan disempurnakan oleh Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains Rembau, Yang Berbahagia Dato' Haji Azam bin Haji Mad Atan.

Pelbagai Aktiviti telah disusun bersempena dengan program ini antaranya Kempen Kibar Jalur Gemilang,Ucapan Tokoh Pemimpin Masyarakat,Pertandingan Mendeklamasikan Sajak,Pertandingan Melukis Poster,Pertandingan Lagu Patriotik,Program Bicara Tokoh,Kelas Patriotik,Menulis Esei Kemerdekaan dan tidak ketinggalan Tayangan Filem " Sarjan Hassan". Majlis Ambang Merdeka turut diadakan pada malam 30 Ogos bermula selepas solat tarawih.Pertandingan-pertandingan yang diadakan adalah mengikut sistem rumah yang digunakan di Semesra. Diharapkan segala program yang dianjurkan dapat berjalan dengan lancar

13 August, 2010

SEMESRA HILANG TONGGAK

Assalamualaikum .. salam mesra

Hari ini adalah hari terakhir bagi salah seorang daripada guru yang telah berjasa membangunkan dan menjenamakan Sekolah Menengah Sains Rembau. Guru yang dimaksudkan ialah Puan Roslina binti Abdul Aziz. Selain bertugas sebagai guru penolong kanan KO Kurikulum, beliau yang lebih mesra dengan panggilan ibu dan bonda oleh para pelajar semesra, turut menyumbang tenaga dalam menaikkan imej Sekolah Menengah Sains Rembau di persada Sekolah-sekolah Berasrama Penuh. Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Miri dan Kolej Tunku Kurshiah telah banyak menyumbangkan idea malah cadangan dalam membantu guru-guru bagi membentuk generasi pada masa akan datang.

Mulai minggu hadapan beliau akan berpindah dan memulakan tugas di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, Pahang Darul Makmur. Perpindahan beliau adalah atas sebab kenaikan pangkat yang disandang sebelum ini iaitu Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum dan dinaikkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Pengalaman dan Tarbiah yang pernah diperolehi sebelum ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendidik dan membentuk generasi pewaris bangsa menjadi insan yang cemerlang. Terima kasih Puan Roslina atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.