Sejarah

Proses pembinaan tapak kampus Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) telah bermula pada 12 September 2006, di mana upacara pecah tanah tapak telah disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu, Dato' Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein Onn. Tapak projek terletak di Kampung Pilin, Mukim Kundur, Rembau, Negeri Sembilan.

Setelah hampir 3 tahun pembinaan, kampus SEMESRA telah siap dibina pada 15 Mei 2009 yang menelan kos perbelanjaan RM 51 juta.

SEMESRA telah mula beroperasi di kampus baru seluas 15 ekar pada 1 Oktober 2009. Di awal penubuhannya, sekolah ini diterajui oleh seramai 13 orang guru yang menjadi tenaga penggerak utama SEMESRA. Kini, sekolah ini mempunyai seramai 51 orang guru lelaki dan perempuan yang berkebolehan dan dedikasi.


Pada 1 November 2009, SEMESRA telah menerima kemasukan seramai 130 orang pelajar Tingkatan Satu yang mendaftar selaku pelajar sulung SEMESRA. Namun begitu, pengajaran dan pembelajaran (P&P) hanya bermula pada tahun berikutnya, 2010 dek fasiliti yang masih belum serba lengkap.

Pelajar-pelajar tersebut kemudiannya kembali mendaftar selaku pelajar Tingkatan Dua di SEMESRA pada 3 Januari 2010. 

Hampir seminggu selepas itu, pada 10 Januari 2010, SEMESRA menerima kemasukan ambilan pertama pelajar Tingkatan Satu. 

Pada 2 Februari 2010, pelajar baru Tingkatan Empat pula mendaftar masuk sebagai pelajar SEMESRA, menjadikan jumlah tingkatan yang menuntut di sekolah ini pada 2010 sebanyak 3 tingkatan keseluruhannya.

Dato' Haji Azam Md Atan, yang sebelumnya berkhidmat di Sekolah Dato' Abdul Razak, mengetuai pentadbiran sekolah selaku Pengetua Cemerlang SEMESRA yang pertama. Ketika itu, beliau dibantu oleh 3 orang Penolong Kanan; Tuan Haji Baharudin Husin (Akademik), Tuan Haji Azman Awang (Hal Ehwal Pelajar), dan Puan Roslina Aziz (Kokurikulum).

Kini, lengkap dengan keseluruhan lima tingkatan yang menuntut, institusi ini menampung seramai lebih 800 orang pelajar. Sebagai salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh yang terulung di Malaysia, antara misi utama SEMESRA adalah untuk melahirkan pemimpin berkaliber  yang bertaraf dunia dan berminda kelas pertama.

Setelah persaraan Dato' Haji Azam pada bulan April 2011, tampuk pemerintahan telah diambil alih oleh Puan Norzila Idris sebagai Pengetua Kanan SEMESRA.