06 August, 2012

Program 'Jom Masak Bubur Lambuk!'

Pada Sabtu yang lepas telah diadakan satu program 'Jom Masak Bubur Lambuk!' sempena kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini. Program ini bermula pada pukul 11 pagi dimana para guru dan pelajar serta ibu bapa yang hadir telah sama-sama bekerjasama untuk menyiapkan barang yang diperlukan untuk bubur lambuk ini.


Berlainan dengan tahun-tahun sebelum ini, pada tahun ini kawah-kawah bubur telah dibahagikan mengikut rumah. Ahli-ahli rumah yang terdiri daripada guru-guru, staf sokongan serta pelajar-pelajar adalah bertanggungjawab atas kawah bubur lambuk masing-masing. Selain daripada rumah, satu kawah juga telah disediakan untuk PIBG.


Selepas proses memasak yang bermula pada pukul 12 tengahari selesai, tibalah masanya untuk membahagikan bubur tersebut kepada ahli-ahli rumah.


Setelah semua bubur selamat dibahagikan kepada semua ahli rumah, ahli-ahli rumah dikehendaki untuk mengemaskan khemah masing-masing serta peralatan-peralatan yang telah digunakan sepanjang program berlangsung. Program ini berakhir pada pukul 3 petang.

Terima kasih kepada semua guru dan pelajar yang telah sama-sama menyumbang tenaga dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa serta penjaga yang berkesempatan untuk hadir menyertai program masak bubur lambuk ini. Diharapkan agar kerjasama yang lebih baik akan dapat terjalin antara semua pihak demi kegemilangan SEMESRA.