29 January, 2014

Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia 2014

Hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia bagi tahun persekolahan 2014. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Zaifulbahri bin Idris, ADUN Chembong.

Majlis bermula pada pukul 2.30 petang dan selepas ucapan ringkas daripada YB Zailfulbahri, bantuan persekolahan tersebut telah disampaikan kepada setiap pelajar SEMESRA.



Terima kasih diucapkan kepada YB Zaifulbahri yang sudi meluangkan masa bagi menyampaikan bantuan persekolahan ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa yang sempat bersama anak-anak mereka dalam majlis ini.

Diharapkan agar bantuan ini akan dapat membantu ibu bapa dan pelajar dalam memastikan kelengkapan persekolahan adalah lengkap dan mencukupi.

27 January, 2014

Jemputan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) 2014

Sukacita dimaklumkan bahawa Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) 2014 untuk pelajar-pelajar SEMESRA akan diadakan sebagaimana butiran berikut:

Tarikh & Hari: 28 Januari 2014 (Selasa)
Tempat: Dewan Dato' Hj Azam
Masa: 2.30 petang
Kadar Bantuan: RM100/setiap orang murid
Perasmi: YB Zaifulbahri b. Idris, YB ADUN Chembong

Sehubungan dengan itu, tuan/puan dijemput untuk menerima bantuan tersebut bagi pihak anak/jagaan tuan/puan. Pihak sekolah juga berharap tuan/puan akan memantau penggunaaan bantuan tersebut supaya dapat digunakan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh tuan/puan.

Sekian, harap maklum.

26 January, 2014

Majlis Penutup Minggu Silaturrahim Pelajar Tingkatan 1 2014

Pada 25 Januari yang lalu telah diadakan Majlis Penutup Minggu Silaturrahim bagi Pelajar Tingkatan 1. Majlis ini merupakan kemuncak bagi Minggu Silaturrahim yang telah berlangsung selama 2 minggu. Selain daripada guru-guru dan para pelajar, majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa.

Selepas ucapan daripada Pengetua Kanan SEMESRA Pn Hjh Norzila bt Idris serta YDP PIBG SEMESRA Tn Hj Dahalan bin Abdullah, seorang wakil pelajar Tingkatan 1 iaitu Saudara Ahmad Naufal bin Ahmad Rithaudin (1 Einstein) telah diberi peluang untuk memberi ucapan.


Seterusnya para pelajar Tingkatan 1 telah mempersembahkan persembahan mereka kepada hadirin yang hadir.


Selepas persembahan, hadiah telah disampaikan oleh YDP PIBG SEMESRA kepada semua pemenang bagi semua pertandingan yang telah diadakan sepanjang minggu silaturrahim tersebut.


Majlis diakhiri dengan lafaz ikrar oleh semua pelajar Tingkatan 1 tahun 2014.


Selamat datang sekali lagi diucapkan kepada semua pelajar baru Tingkatan 1. Diharapkan agar kecemerlangan anda semua di sekolah rendah akan dapat dipertingkatkan di sekolah baru ini. Semoga kehadiran pelajar-pelajar baru Tingkatan 1 ini akan menjadikan SEMESRA terus gemilang.

24 January, 2014

Perjumpaan Pelajar-pelajar Tingkatan 5 bersama Pengetua Kanan SEMESRA 2014

Satu perjumpaan pelajar-pelajar Tingkatan 5 bersama Pengetua telah diadakan pada 21 Januari yang lalu bertempat di Dewan Dato' Haji Azam. Ia adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat serta menetapkan matlamat bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini.

Perjumpaan ini telah dikendalikan oleh Puan Sabariah binti Samad, Guru Cemerlang Matematik Tambahan yang merupakan Penyelaras bagi Program Kecemerlangan Tingkatan 5. Beliau mengingatkan para pelajar agar mempunyai matlamat yang jelas dan terperinci bagi memastikan hala tuju yang tepat.



Dalam taklimat, Pengetua Kanan SEMESRA mengingatkan para pelajar agar belajar bersunguh-sunguh mengikut teknik pembelajaran  dan strategi yang sesuai bagi mempertingkatkan kecemerlangan diri. Keputusan yang cemerlang sesungguhnya akan memberi kelebihan kepada para pelajar dalam menempatkan diri di kalangan yang terbaik kelak.


Pertemuan ini juga telah dihadiri oleh guru-guru Tingkatan 5 dan diharapkan agar pertemuan ini dapat dijadikan titik tolak dalam usaha semua pihak mencapai kecemerlangan.

23 January, 2014

Mesyuarat Agung Badan Uniform 2014

Pada hari Rabu yang lepas telah diadakan Mesyuarat Agung Badan Uniform bagi tahun 2014. Mesyuarat telah bermula pada pukul 3.30 petang selepas perhimpunan kokurikulum yang ringkas di dataran perhimpunan.


Tahniah kepada semua AJK yang telah dilantik. Semoga pelantikan anda ini akan dapat terus memacu SEMESRA ke arah kecemerlangan.