27 September, 2011

Jalinan Semesra PMR dan SPM 2011 serta Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin

Pada tahun ini untuk kali pertamanya, SEMESRA akan menghadapi dua peperiksaan yang besar iaitu PMR dan SPM. Pelbagai persiapan telah dibuat bagi memastikan semua calon peperiksaan SEMESRA akan dapat menghadapi peperiksaan mereka dengan cemerlang. Antara program yang telah diadakan termasuklah Kelas Kecemerlangan, Jadual Anjal, Klinik dan sebagainya.

Pada hari Sabtu yang lepas, para ibubapa dan penjaga pelajar Tingkatan 3 dan 5 telah dijemput hadir ke sekolah bagi sama-sama membincangkan akan prestasi anak-anak mereka. Perbincangan ini adalah berdasarkan keputusan Peperiksaan Percubaan Negeri dan SBP yang baru sahaja berlalu.





Dikesempatan itu juga sekolah telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yaasin bagi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Di dalam ucapannya, Pengetua Kanan SEMESRA Puan Hajah Norzila binti Idris berharap agar seluruh warga sekolah dapat memainkan peranan masing-masing dalam membantu kecemerlangan para pelajar ini.

Beliau yakin jika ada kerjasama yang erat antara semua pihak, calon-calon peperiksaan sekolah ini akan berjaya menempa kejayaan yang cemerlang di dalam PMR dan juga SPM.



Selepas ucapan, bacaan Yaasin pun bermula. Bacaan ini telah diketuai oleh Ustaz Haikal bin Ash'ari. Solat Hajat kemudiannya dilaksanakan selepas solat Zuhur.



Semoga doa seluruh warga SEMESRA ini akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. agar kejayaan akan menjadi milik calon peperiksaan SEMESRA pada tahun ini, insyaAllah.