23 February, 2010

Semesra Kehilangan Guru Berkaliber

Assalamualaikum .. salam ukhuwah
Sekolah Menengah Sains Rembau (Semesra) kehilangan seorang guru yang berkaliber apabila guru berkenaan dinaikkan pangkat untuk menjadi salah seorang pensyarah di IPGM di Kuala Lipis Pahang. Guru yang dimaksudkan ialah En. Jalaludin bin Ibrahim. En Jalal atau lebih mesra dipanggil Cikgu jalal telah mula bertugas di sekolah menengah sains rembau bermula bulan oktober 2009. Cikgu Jalal sebelum ini pernah bertugas di beberapa buah sekolah menengah dan yang terakhir di Sekolah Datuk Razak di seremban.

Di Sekolah Menengah Sains Rembau, beliau bertugas sebagai guru kanan matapelajaran bahasa. bermula hari ini beliau akan bertugas sebagai pensyarah dijabatan bahasa di Institut Pendidikan Guru Malaysia Tuanku Ampuan Afzan Kuala Lipis Pahang. Warga sekolah dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan jasa bakti yang telah cikgu berikan. Moga kita berjumpa lagi.

20 February, 2010

Nasa Lancar Satelit Pantau Matahari

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melancarkan sebuah satelit peninjau suria semalam dengan harapan untuk meningkatkan kefahaman saintis mengenai matahari dan fungsinya yang rumit.

Roket dua peringkat Atlas ,berlepas dari tapak pelancaran Pusat Angkasa Lepas Kennedy di sini pada 10.23 pagi semalam (11.23 malam tadi waktu Malaysia) dengan membawa satelit Peninjau Dinamik Suria (SDO) ke angkasa lepas.

NASA berkata, SDO berpisah daripada roketnya kira-kira sejam dan 48 minit selepas pelancaran.

Satelit seberat 3.2 tan itu dijadual memasuki orbit kira-kira 35,880 kilometer dari Bumi, mengelilingi planet ini sekali dalam setiap 24 jam sepanjang misinya selama lima tahun.

"Misi ini akan membawa kejayaan hebat. SDO akan melonjakkan kefahaman kita mengenai matahari serta kesannya terhadap kehidupan dan masyarakat," kata Pengarah Bahagian Heliofizik, Richard Fisher di ibu pejabat NASA di Washington.

Menurut NASA, satelit tersebut akan membantu mendedahkan bagaimana perubahan pada matahari mengubah paras radiasi dan tenaga dalam sistem suria kita sendiri.

Saintis berkata, cuaca angkasa lepas yang berpunca daripada matahari boleh mempengaruhi isyarat komunikasi dan satelit, talian tenaga elektrik dan objek lain di samping penghantaran tenaga dalam atmosfera kita dan di luarnya.

Pelajar MRSM Hasil Batu Bata dari Tandan Kelapa ??

Tandan kelapa sawit yang biasanya dibuang, didapati mampu dijadikan bahan penting dalam sektor pembinaan.

Itulah yang dibuktikan oleh dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan di sini, Nur Azimah Najihah Mohamad Afandi dan Fatimah Zahrah Mohd. Sobri, yang berjaya menghasilkan batu bata daripada tandan kelapa sawit yang banyak terdapat di negara ini.

Kedua-dua pelajar berusia 18 tahun itu mengambil masa setahun bagi membangunkan projek dikenali high silica brick yang pada mulanya hanya merupakan sebahagian daripada satu program pengajian bagi mendapatkan sijil Graduasi MRSM.

Melihat potensi kajian berkenaan, mereka bersama guru penasihat, Siti Faridah Jusoh, berulang-alik ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi untuk menjalankan kajian lebih terperinci kerana peralatan makmal di sekolah mereka terhad.

Hasilnya, penemuan mereka itu telah memenangi pingat emas bagi kategori fizik pada pertandingan Tunas Saintis MRSM Ogos tahun lepas serta pingat gangsa di Ekspo Teknologi Malaysia baru-baru ini yang turut disertai mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Kajian berkenaan juga akan menyertai International Sustainable World (Energy, Engineering & Environment) Project Olympiad (I-SWEEEP) di Houston, Amerika Syarikat, dari 14 hingga 19 April ini.

Jika menerima penghargaan pada acara berprestij itu, batu bata berkenaan dijangka dipaten dan dikomersialkan.

Nur Azimah Najihah, yang berasal dari Klang berkata, batu bata dengan ukuran 10cmx10cmx10cm ciptaan mereka itu mempunyai daya tahan yang lebih kerana terdapat kandungan silika yang tinggi pada tandan kelapa sawit berbanding batu bata biasa berasaskan pasir.

Malah, pelajar yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berkata, batu bata terbabit juga lebih ringan, keras dan yang paling penting, mesra alam sekitar.

"Sumber semula jadi seperti pasir semakin berkurangan, jadi penggunaan tandan kelapa sawit yang biasanya dibuang ini lebih mesra alam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nur Azimah Najihah berkata, sudah ada kajian menggunakan tandan kelapa sawit sebagai bahan binaan sebelum ini, namun penyelidikan yang dilakukan oleh MRSM Kuantan berbeza sedikit kerana ia 100 peratus bebas penggunaan pasir.

Pengetua MRSM Kuantan, Khalil Abdul Rahman berkata, beliau yakin projek dua pelajar terbabit mampu mencipta kejayaan di Texas nanti.

Beliau berkata, penemuan tersebut merupakan satu inovasi yang penting disebabkan kekurangan sumber semula jadi dunia pada masa ini.

Khalil juga berkata, MRSM Kuantan mengharapkan tajaan daripada Mara sendiri atau pihak-pihak lain bagi membantu mengurangkan kos ketika pelajar-pelajar berada di Texas.

Dua lagi pelajar sekolah itu yang turut mencipta kejayaan merangkul pingat gangsa di Pertandingan International Robotic Olympiad di Daejeon, Korea, bagi kategori 'Robot Dancing' pada 17 hingga 20 Disember tahun lepas turut menghadapi masalah serupa.

Bagaimanapun, menurut Khalil, atas keprihatinan ibu bapa melalui Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) sekolah itu, yang diketuai Yang Dipertuanya, Zamhuri Talib, sebanyak RM5,000 berjaya disalurkan bagi pembelian peralatan dalam menghasilkan robot berkenaan.

Katanya, penyertaan pelajar tingkatan lima sekolah itu, Azri Irsyad Juhari dan Ahmad Azra'i Jamal, merupakan pemenang tunggal dari Malaysia yang turut diwakili sembilan lagi pelajar dari sekolah lain.

sumber : BERNAMA

Futur ? Makanan Ke ??

Futur adalah perkataan dari bahasa Arab asalnya ia bermakna terputus, berhenti, malas dan lambat, setelah sebelumnya konsisten dan rajin. Dalam konteks amal dakwah, ia adalah satu penyakit yang menimpa aktivis dakwah dalam bentuk rasa malas, menunda-nunda, berlambat-lambat dan yang paling buruk ialah berhenti dari melakukan amal dakwah. Sedangkan sebelumnya ia adalah seorang yang aktif dan beriltizam.
Fenomena ini adalah satu perkara yang biasa berlaku dan dihadapi oleh ramai mereka yang bertangungjawab dalam mentarbiyah para aktivis dakwah. Hakikat ini adalah kerana futur merupakan sifat semula jadi manusia. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadits yang bermaksud;

“Sesungguhnya bagi setiap amalan adalah masa-masa rajin dan tiap-tiap masa rajin ada futur. Namun barangsiapa yang futurnya menjurus kepada sunnahku, maka sesungguhnya ia telah memperoleh petunjuk. Barangsiapa pula yang futurnya menjurus kepada selain sunnahku, maka ia telah tersesat.” (Riwayat Al-Bazzar)

Bahaya Futur
Walau pun futur adalah sesuutu yang lumrah berlaku dalam diri manusia tetapi ia mestilah diurus, sebagaimana yang diajarkan oleh hadits di atas dengan memalingkan perasaan itu kepada sesuatu yang sejajar dengan sunnah. Jika tidak ia akan mengkibatkan kesan buruk.

Antara kesan buruk itu ialah;

1. Pengabaian kepada amanah.
Futur menyebabkan seorang aktivis dakwah bermalas dalam menunaikan tugas dakwahnya. Ini kadangkala sehingga menyebabkan tugas berkenaan lewat disempurnakan atau terbengkalai sehingga mengganggu keseluruhan projek yang hendak dilaksanakan. Apa jua pengabaian kepada kewajiban adalah pelanggaran amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.

2. Gugur dari jalan dakwah.
Sekiranya futur tidak ditangani atau dibiarkan tanpa dirawat, ia akan menjadi satu tabiat. Lama-lama, perasaan ini menjadi sebati dan aktivis berkenaan menjadi semakin jauh dari amal dakwah. Akhirnya, ia terus tidak lagi terbabit dalam amal dakwah. Apabila seorang itu gugur dari jalan dakwah, maka ia telah hilang banyak kebaikan dari usaha dakwah. Lebih buruk lagi, ia telah mengabaikan kewajiban dakwah yang ditaklifkan ke atasnya sebagai seorang Muslim.

3. Mengakhiri kehidupan dalam keadaan yang futur.
Apabila seseorang itu berlama-lama dalam keadaan futur sehingga menjadi kebiasaannya, maka ia menanggung risiko besar untuk mati dalam keadaan sedemikian kerana dia tidak tahu akan masa kematiannya. Adalah ditakuti, jika Allah taala mengambil nyawanya sedangkan dia dalam keadaan futur, sedangkan Allah taala menghisab amal manusia berdasarkan akhir hayatnya. Maka sebab itulah, Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepadaMu dari penyakit lemah dan malas...” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya seorang hamba itu ada yang melakukan amalan ahli neraka padahal ia termasuk ahli syurga, dan ada pula yang mengamalkan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Sesungguhnya amal itu tergantung pada kesudahannya.” (Riwayat Al-Bukhari)