13 February, 2017

Kursus Kepimpinan Kokurikulum 2017

Satu kursus kepimpinan kokurikulum telah diadakan pada Sabtu yang lalu bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga pukul 5 petang. Kursus yang telah dikendalikan oleh Unit Kokurikulum ini melibatkan seramai 102 pelajar yang terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha bagi setiap unit kokurikulum. 

   

Pelajar-pelajar telah diberi pendedahan berkaitan tatacara pengendalian unit kokurikulum. Bahagian teori telah diadakan di dewan manakala sesi praktikal telah diadakan di makmal-makmal komputer.

Diharapkan agar kursus yang telah dikendalikan oleh Puan Hasni Bakar, Penolong Kanan Kokurikulum SEMESRA dan Cik Haslinda akan dapat membantu para pelajar untuk menguruskan aktiviti unit kokurikulum masing-masing dengan lebih baik pada tahun ini. 

Perjumpaan Akademik Tingkatan 5

Pada Jumaat 10 Februari yang lalu telah diadakan satu perjumpaan akademik bersama pelajar-pelajar Tingkatan 5. Perjumpaan ini diadakan untuk membincangkan target yang telah disasarkan oleh sekolah bagi SPM 2017.

Perjumpaan ini telah dikendalikan oleh Puan Fauzah Mohamad yang merupakan Penyelaras Program Kecemerlangan SPM dengan bantuan Setiausaha Peperiksaan Pn Siti Normizah Ngatenah. Pelajar-pelajar juga telah diberi jadual sebagai rujukan dalam usaha mereka menyediakan diri mereka untuk peperiksaan ini. 

Diharapkan agar perjumpaan ini akan dapat membantu para pelajar Tingkatan 5 untuk fokus dan berusaha ke arah sasaran yang telah ditetapkan. 

12 February, 2017

Makluman Outing Harian Februari 2017

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar SEMESRA,

1. Tiada lawatan pada Khamis ini iaitu 9/2 (Cuti Thaipusam).

2. Hari Sabtu ini (11/2) tiada lawatan KECUALI  untuk ibu bapa dari Johor. Kelas Al- Falah akan diadakan pada Sabtu ini bermula pada 8 - 12.30 tengah hari, oleh itu lawatan adalah selepas kelas Al- Falah.

3. Pada Ahad ini (12/2), pelajar-pelajar dibenarkan untuk Outing Harian sehingga pukul 5 petang.

09 February, 2017

Ceramah Bulanan Februari 2017

Satu ceramah agama telah diadakan hari ini di Dewan Dato' Haji Azam anjuran Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama BADAR.

Penceramah jemputan pada kali ini ialah PU Raihan dengan tajuk 'Keabadian Cinta Ilahi'.


Terima kasih diucapkan kepada Panitia Pendidikan Islam dan BADAR atas penganjuran ini. Semoga semua telah mendapat manfaat daripada ceramah yang telah diberikan oleh PU Raihan.

Kejohanan Sepak Takraw MSSD Rembau

Pada 6 - 7 Februari yang lalu, SEMESRA telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Sepak Takraw MSSD Rembau yang berlangsung di Gelanggang Majlis Daerah Rembau. SEMESRA telah menghantar dua pasukan iaitu pasukan lelaki B15 dan B18.



Dalam kejohanan ini, pasukan B18 telah berjaya sehingga ke pusingan suku akhir kedua manakala pasukan B15 telah berjaya hingga ke peringkat suku akhir pertama. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat, sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan sepak takraw sekolah atas pencapaian ini. Diharapkan pasukan ini akan terus memperbaiki kemahiran agar dapat pencapaian dapat diperbaiki dalam kejohanan sepak takraw pada tahun hadapan.