06 February, 2017

Majlis Watikah Pelantikan Lembaga Pemimpin Pelajar (LPP) dan Pelancaran Program Jom ke Sekolah

Hari ini telah diadakan Majlis Watikah Pelantikan Lembaga Pemimpin Pelajar bagi sesi 2017 serta Pelancaran Program Jom ke Sekolah di Dewan Dato' Haji Azam.

Majlis telah dirasmikan oleh Inspektor Norazuan bin Said, Pegawai Perhubungan Sekolah IPD Rembau.


Selepas ucapan pengetua dan perasmi, watikah pelantikan telah diserahkan kepada semua pemimpin-pemimpin pelajar.

 

Seterusnya bacaan ikrar oleh LPP dengan diketuai oleh Muhammad Afif Zain bin Md Isa, Ketua Pelajar SEMESRA. Ikrar tersebut kemudiannya diserahkan kepada Puan Pengetua Hjh Norzila binti Idris.


Tahniah diucapkan kepada semua pemimpin pelajar yang telah dilantik. Semoga semua pemimpin pelajar sesi 2017 akan dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang.

04 February, 2017

Majlis Penutupan Minggu Silaturahim Tingkatan 1

Hari ini telah diadakan Majlis Penutupan Minggu Silaturahim (MSR) bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1 2017. Selepas sebulan mengharungi pelbagai aktiviti dan cabaran sepanjang MSR, para pelajar telah diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka.

Selain daripada warga SEMESRA, ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 1 juga turut hadir untuk memberi sokongan kepada anak-anak mereka.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan ucapan daripada wakil pelajar Tingkatan 1 dan Pengetua Pn Hjh Norzila bt Idris. Majlis ini telah dirasmikan oleh tetamu kehormat iaitu Puan Jasmah bt Hussain, Pegawai Perhubungan SMS Rembau di PPD Rembau.


Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan acara yang ditunggu-tunggu iaitu persembahan para pelajar. Terdapat 8 persembahan pelajar yang telah dibahagikan mengikut rumah.


Seterusnya, senarai persembahan terbaik telah diumumkan dan hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Puan Jasmah.


Persembahan terbaik telah dimenangi oleh rumah Akhirul Zaman (Dikir Barat) diikuti oleh nyanyian persembahan rumah Johan Pahlawan. Tempat ketiga dimenangi oleh rumah Akhirul Zaman melalui persembahan tarian mereka.

Majlis diteruskan lagi dengan simbolik penyerahan pelajar kepada pihak sekolah oleh wakil ibu bapa pelajar Tingkatan 1 iaitu En Jasmi bin Bahrim.



Ikrar kemudiannya telah dilafazkan oleh kesemua pelajar-pelajar Tingkatan 1 dengan diketuai oleh Muhammad Harith Syafi bin Jasmi.


Tahniah diucapkan kepada semua pelajar-pelajar Tingkatan 1 yang berjaya mengharungi MSR dengan jayanya. Diharapkan anda semua telah dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan berasrama. Semoga kecemerlangan anda akan dapat diteruskan di sekolah ini pula.

02 February, 2017

Kejohanan Bola Tampar MSSD Rembau

Pada 1 dan 2 Februari telah diadakan Kejohanan Bola Tampar Peringkat Daerah Rembau di SMK Datuk Undang Haji Taha. SEMESRA telah menghantar pasukan Lelaki Bawah 18 serta Perempuan Bawah 18 ke kejohanan ini.

 
 
  
 
 

Dalam kejohanan ini, pasukan SEMESRA tidak berjaya mendapat apa-apa tempat. Walaubagaimanapun, tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah mewakili sekolah dalam kejohanan ini dan diharapkan agar latihan berterusan dapat dibuat agar SEMESRA dapat memperbaiki pencapaian keputusan pada tahun hadapan.

01 February, 2017

Perjumpaan Kedua Unit Beruniform

Hari ini telah diadakan perjumpaan unit badan beruniform buat kali kedua. Pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh setiap unit seperti latihan asas kawad kaki (KRS dan KPA), pertandingan nyanyian (Puteri Islam), ujian Pandu Puteri dan tayangan (Pengakap).





Perjumpaan ditangguhkan pada pukul 4.30 petang. Diharapkan agar semua ahli telah pun mendapat manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. 

Jemputan ke Majlis Penutupan Minggu Silaturahim Tingkatan 1

Sukacita dimaklumkan bahawa pada Sabtu ini akan diadakan Majlis Penutup bagi Minggu Silaturrahim Pelajar-pelajar Tingkatan 1.Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 1 dijemput hadir untuk memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar serta memeriahkan lagi majlis. Majlis penutup akan diadakan mengikut ketetapan berikut:

Tarikh: 4 Februari 2017 (Sabtu)
Masa: 8.30 pagi
Tempat: Dewan Dato' Hj Azam

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga Tingkatan 1, selepas majlis tamat, anda dibenarkan untuk membawa anak masing-masing untuk Outing Harian (OH). Diminta tuan/puan untuk menghantar semula anak jagaan ke sekolah sebelum pukul 5 petang.

Mohon juga kerjasama ibu bapa dan penjaga untuk memastikan anak jagaan sudah mempunyai uniform unit kokurikulum kerana pemakaian uniform adalah WAJIB pada setiap hari Rabu. Jika anak tuan/puan belum mempunyai uniform, mohon untuk membuat urusan pembelian uniform semasa Outing Harian Sabtu ini.

Terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua.