15 June, 2015

Makluman HEM 5/2015

Untuk pengetahuan ibu bapa dan penjaga SEMESRA,

Berikut adalah makluman outing bermalam (OB) bagi bulan Jun 2015.

1. OB pada minggu 19 - 21 Jun 2015 - semua pelajar
2. OB pada minggu 26 - 28 Jun 2015 - pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 sahaja
 
* Pelajar-pelajar Tingkatan 3 telah dibenarkan balik bermalam pada 26 - 28 Jun bagi menyiapkan kerja kursus yang perlu mereka hantar pada 2 Julai 2015 (Khamis). Mohon agar ibu bapa dan penjaga dapat memantau agar mereka dapat menghabiskan tugasan semasa 2 kali outing bermalam yang telah diberikan kepada mereka.

Sekian, terima kasih atas perhatian dan tindakan semua.

06 June, 2015

Program Pengantarabangsaan ke Padang, Indonesia

SEMESRA telah berjaya mengadakan satu program pengantarabangsaan ke Padang, Indonesia baru-baru ini. Seramai 24 pelajar dan 12 guru telah turut serta dalam program ini yang bermula dari tarikh 31 Mei hingga 3 Jun 2015.

Agenda utama program ini adalah untuk membuat kunjungan ke SMP Negeri 1, Padang untuk bertukar-tukar fikiran dan idea untuk kebaikan sekolah dan warga sekolah. Kedatangan rombongan SEMESRA disambut meriah oleh warga SMP Negeri 1 Padang.


Kedua-dua sekolah juga berpeluang untuk menonjolkan seni kebudayaan negara masing-masing dalam lawatan ini.


Selain daripada pertukaran pintar, turut diadakan pertandingan pidato serta bahas Bahasa Inggeris di antara kedua-dua sekolah bagi mengembangkan kemahiran berdebat dan berpidato pelajar-pelajar.


Sesungguhnya lawatan ini telah memberi manfaat kepada kedua-dua sekolah dalam usaha untuk menempatkan sekolah masing-masing di persada antarabangsa. Kedua-dua sekolah secara keseluruhannya telah bersetuju untuk saling bantu-membantu bagi memperbaiki dan meningkatkan prestasi sekolah mengikut kelebihan masing-masing.



Semoga ikatan persahabatan antara kedua-dua sekolah akan terus terjalin di masa akan datang. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak sekolah SMP Negeri 1, Padang atas kesudian untuk menerima kunjungan SEMESRA walaupun hari lawatan SEMESRA jatuh pada hari cuti umum bagi Indonesia. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh warga sekolah tersebut yang hadir ke sekolah untuk menyambut kedatangan rombongan SEMESRA.

30 May, 2015

Kejohanan Olahraga Tahunan SEMESRA Kali ke-6

Kejohanan Olahraga Tahunan SEMESRA kali ke-6 telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Mei yang lalu. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh YDP PIBG SEMESRA Encik Azhar bin Mohamed.



Untuk kali keenam, Johan Pahlawan muncul sebagai Johan Keseluruhan bagi kejohanan ini. Tahniah diucapkan kepada semua ahli rumah JP atas rekod yang sangat membanggakan ini. Rumah Akhirul Zaman pula berjaya menggondol kedua-dua pertandingan perbarisan dan hiasan rumah. Tahniah diucapkan kepada semua ahli rumah  AZ yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan ini.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan kejohanan olahraga sekolah pada tahun ini.

28 May, 2015

Waktu Balik Cuti Pertengahan Tahun 2015

Untuk makluman ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar SEMESRA,

Berikut adalah waktu menjemput anak-anak tuan/puan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sekolah dan asrama:
1. Pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dibenarkan pulang selepas pukul 11 pagi.
2. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 hingga 5 dibenarkan pulang selepas pukul 11.30 pagi. 

Harap maklum. Terima kasih atas kerjasama dan perhatian semua. 

24 May, 2015

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2015

Pada 22 Mei yang lalu, SEMESRA telah mengadakan sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Aturcara dimulakan dengan acara senamrobik dan sukaneka di padang sekolah. Kemudian, majlis diteruskan dengan acara di dewan.







Pada tahun ini tema sambutan ialah Red Carpet. Dewan telah dihias dengan cantik selaras dengan tema begitu juga guru-guru yang berpakaian tepat dengan tema yang diberi.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah sama-sama menjayakan sambutan ini. Terima kasih juga kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya menganjurkan sambutan ini dengan jayanya walaupun sibuk dengan persiapan peperiksaan.