17 March, 2014

Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM 2013

Seperti yang telah dimaklumkan menerusi akhbar baru-baru ini, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 akan diumumkan pada 20 Mac 2014 bersamaan hari Khamis.

Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM bagi pelajar-pelajar SEMESRA akan diadakan mengikut ketetapan berikut:

Tarikh   : 20 Mac 2014
Masa     : 11.30 pagi
Tempat  : Dewan Dato' Haji Azam
Pakaian : Kemas -  Lelaki        : Berkemeja, berseluar slack dan berkasut.
                            - Perempuan : Berbaju kurung dan berkasut.

Diharapkan agar semua pelajar Extrovert dapat  memberikan kerjasama dalam mematuhi etika berpakaian yang telah ditetapkan. 

Sekian, harap maklum.

10 March, 2014

Hari Kecemerlangan Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan 2014

Hari Kecemerlangan Sekolah-sekolah Berasrama Penuh Zon Selatan 2014 telah diadakan di Sekolah Muzaffar Syah Melaka pada 5 - 9 Mac 2014. SEMESRA telah menghantar pasukan debat Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta pasukan lelaki dan perempuan bola keranjang.

Pertandingan ini diadakan untuk memilih sekolah-sekolah yang akan mewakili Zon Selatan di HKSBP Kebangsaan yang akan berlangsung di Terengganu tidak lama lagi.


Dalam kejohanan kali ini, pasukan keranjang bagi lelaki dan perempuan hanya mampu memberi saingan hebat kepada lawan masing-masing tetapi gagal untuk melayakkan diri ke peringkat kebangsaan.

Pasukan debat Bahasa Inggeris telah memberikan yang terbaik dalam kejohanan ini namun begitu ia juga tidak layak untuk ke peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan kepada pasukan bahas Bahasa Melayu yang telah melayakkan diri ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Mei nanti.

 

Tahniah diucapkan kepada kontinjen SEMESRA atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan sepanjang HKSBP berlangsung. Semoga kontinjen sekolah akan berjaya meraih kejayaan yang lebih baik di tahun hadapan.

Kepada pasukan debat Bahasa Melayu, selamat berjaya di HKSBP Peringkat Kebangsaan. Seluruh warga SEMESRA mendoakan agar pasukan sekolah akan dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang nanti.

09 March, 2014

Kejohanan Memanah Peringkat Negeri 2014

Kejohanan Memanah MSS Negeri Sembilan telah diadakan pada 4 -7 Mac yang lalu bertempat di Padang SMKA Hj Abu Hassan bin Hj Sail. Seramai 17 pelajar SEMESRA telah mengambil bahagian. Mereka telah bersaing dengan peserta-peserta dari 48 buah sekolah yang lain.


Dalam kejohanan ini, dua peserta SEMESRA telah berjaya menempa kejayaan. Muhammad Syamim bin Yazid telah berjaya memenangi tempat kedua dalam acara individu Pusingan Olimpik, 70 Meter l18 dan tempat ketiga dalam acara individu 90 meter L18.

Athirah binti Mohd Anas pula telah berjaya memenangi tempat kedua bagi acara individu 60 meter P18, tempat ketiga bagi acara 70 Meter P18, 50 Meter P18 dan Pusingan Olimpik. Beliau juga telah memenangi tempat ketiga individu keseluruhan dan seterusnya akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tahniah kepada pasukan memanah SEMESRA. Diharapkan wakil SEMESRA ke peringkat kebangsaan akan terus dapat melakar kejayaan gemilang, insyaAllah.

05 March, 2014

Pertandingan Menembak M16 Kor Kadet Polis 2014

Pada 8 Mac yang lalu, kadet polis SEMESRA telah menyertai Pertandingan Menembak M16 Kor Kadet Polis Daerah Rembau yang telah diadakan di Padang Sasar Mantin. Seramai 30 pelajar telah mengambil bahagian.


 

Dalam pertandingan ini , seorang pelajar SEMESRA telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam acara individu iaitu Ahmad Daniel bin Ibrahim. Tahniah diucapkan.

04 March, 2014

Minggu Sains, Inovasi & Rekacipta 2014

Buat julung kalinya SEMESRA telah menganjurkan Minggu Sains, Inovasi dan Rekacipta bermula 24 Februari sehingga 3 Mac 2014. Antara objektif Minggu ini dianjurkan adalah untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains. Ia juga diharapkan dapat menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.

Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuklah Pertandingan Roket Air, Egg Parachute, Straw Bridge dan Pameran Sains.



Majlis Penutupan Minggu Sains, Inovasi dan Rekacipta ini telah berlangsung pada 3 Mac 2014. Keputusan bagi semua pertandingan telah diumumkan.


Tahniah kepada semua peserta juga pemenang. Diharapkan agar minggu ini telah dapat memupuk minat para pelajar terhadap subjek Sains.