18 October, 2010

KEM JATIDIRI TINGKATAN DUA

Pada 15 hingga 17 Oktober yang lepas, telah diadakan satu program motivasi jatidiri bagi pelajar-pelajar tingkatan 2. Program 3 hari 2 malam yang diadakan di Star Fresh Resort, Bukit Putus Negeri Sembilan ini telah dihadiri seramai 128 orang pelajar tingkatan 2. Program yang dianjurkan oleh unit bimbingan dan kaunseling Sekolah Menengah Sains Rembau ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar tingkatan dua berkaitan dengan peranan seorang pelajar disekolah dan didalam masyarakat. Selain itu program ini juga bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan ilmu dan kewajipan menuntut ilmu disamping melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk kerja berkumpulan atau team building.

Pelbagai slot dan aktiviti telah diatur dan dilaksanakan dengan kerjasama guru-guru pengiring yang berperanan sebagai fasilitator dalam program tersebut. Dalam program tersebut pelajar turut didedahkan dengan cara-cara kehidupan semasa berada didalam hutan dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam gerak kerja berkumpulan. Diharapkan dengan aktiviti yang dijalankan, para pelajar tingkatan dua akan lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih getir dan sengit memandangkan para pelajar tingkatan dua adalah calon sulung yang bakal menghadapi peperiksaan PMR pada tahun hadapan.

HARI KOPERASI SEKOLAH : KOPERASI SEMESRA TERBAIK

Pada 27 Jun hingga 3 Julai yang lalu, telah diadakan majlis sambutan Hari Koperasi Sekolah peringkat sekolah diseluruh negara dan sebanyak 1566 buah koperasi sekolah telah mengesahkan perlaksanaan hari koperasi sekolah peringkat sekolah di sekolah masing-masing bagi tahun 2010.Daripada jumlah tersebut sebanyak 59 buah koperasi sekolah diseluruh malaysia telah dipilih oleh Jawatankuasa Penilai sebagai koperasi sekolah yang terbaik dalam penganjuran Hari Koperasi Sekolah diperingkat negeri masing-masing.

Bagi peringkat Negeri Sembilan, sebanyak 4 buah koperasi sekolah telah terpilih untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan iaitu Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad,Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Warisan Puteri, Seremban, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya Berhad dan Koperasi Sekolah Menengah Teknik Juasseh,Kuala Pilah.Manakala bagi peringkat Sekolah Berasrama Penuh pula, hanya tiga buah koperasi sekolah yang layak ke peringkat kebangsaan iaitu Koperasi Sekolah Menengah Sains Rembau Berhad, Koperasi Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub Pahang dan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Selangor.

Sehubungan dengan itu satu majlis penyampaian anugerah Hari Koperasi Sekolah 2010 kepada koperasi sekolah 5 dan 6 bintang akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini bertempat di Hotel Grand BlueWave Shah Alam Selangor Darul Ehsan dan 4 orang pelajar dan seorang guru pengiring akan sama-sama dihantar untuk mewakili Sekolah Menengah Sains Rembau ke majlis tersebut. Didoakan moga-moga kejayaan yang bakal dikecap nanti akan menjadi Sekolah Menengah Sains Rembau.

15 October, 2010

GSTT BAKAL DISERAP KE JAWATAN TETAP

Kementerian Pelajaran bakal memperkenalkan mekanisme bagi membolehkan lebih ramai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap pada masa hadapan.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian khusus mengenainya sedang dijalankan dan ia dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.Beliau berkata, kementerian sedar ketika ini terdapat ramai GSTT yang berkebolehan serta berkemampuan namun gagal menempatkan diri ke jawatan tetap kerana tempat yang disediakan adalah terhad.

"Bagi membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, kementerian menggalakkan GSTT memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Namun kami sedar, bukan semua 12,546 GSTT akan diterima kerana tempat yang terhad."Justeru, satu kajian khusus sedang dijalankan dan kita akan mengetahui hasilnya dalam masa terdekat. Kementerian prihatin dengan nasib guru berkenaan kerana ada antara mereka yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun," katanya.Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta kementerian menyatakan sama ada wujud dasar menyerap semua GSTT ke jawatan tetap setelah mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Mohd. Puad menjelaskan, kementeriannya masih meneruskan program KDC dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) bagi menyerap GSTT ke jawatan tetap."Seramai 1,400 guru GSTT akan menyertai kedua-dua program tersebut 22 November depan bagi melayakkan mereka diserap ke jawatan tetap."Bagi yang tidak terpilih KPLI, KDC dan KDPM, Kementerian Pelajaran prihatin dengan nasib mereka. Menyedari minat serta kelayakan yang ada pada GSTT, sebab itulah kementerian menjalankan kajian tersebut," ujarnya.

10 Buah Sekolah Amanah Bermula Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah, tahun depan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sekolah itu akan dikendalikan secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti."Selain mendapat peruntukan lazim kerajaan, sekolah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia. Beliau berkata, penubuhan dana berkenaan dicadangkan pada sesi “TownHall” Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini. Dalam bidang kesihatan pula, Najib berkata, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan menyediakan empat bas klinik bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan. Bagi membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi cemerlang di sekolah, IMDB akan menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah. Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah", kata Najib.

Sumber : BERNAMA

14 October, 2010

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA ( WORLD CLASS EDUCATIONS)

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class Education".

Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas, ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :


  • Pembangunan tenaga manusia
  • Kepesatan pertumbuhan ekonomi
  • Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
  • Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
  • Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
  • Pembangunan teknologi dan sains
  • Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.