19 November, 2016

Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2016

Tahniah diucapkan kepada pasukan memasak SEMESRA kerana berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang berakhir hari ini di Putrajaya.


Sebanyak 16 pasukan telah bertanding dalam pertandingan ini dan alhamdulillah SEMESRA berjaya muncul pasukan ketiga terbaik. Tahniah diucapkan kepada pasukan memasak serta guru-guru penasihat atas kejayaan ini. Semoga pasukan memasak SEMESRA akan terus berjaya dalam pertandingan-pertandingan akan datang.

18 November, 2016

Majlis Perpisahan Ustazah Farihah dan Puan Farhana & Majlis Persaraan Encik Zulkifli

Hari ini  telah diadakan Majlis Perpisahan Ustazah Farihah dan Puan Farhana serta Majlis Persaraan Encik Zulkifli di Surau An-Nur.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Shahizam diikuti dengan ucapan dari guru-guru yang berpindah. Untuk makluman semua, Ustazah Farihah akan berpindah ke Kedah manakala Puan Farhana akan berpindah ke Selangor mulai tahun hadapan.


Seterusnya giliran Encik Zulkifli untuk memberi ucapan. Untuk pengetahuan semua, Encik Zulkifli akan bersara  pada 30 November ini selepas berkhidmat selama 37 tahun.

Seterusnya ialah majlis penyampaian hadiah dan cenderamata daripada warga SEMESRA untuk guru-guru yang akan berpindah.



 Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Sijil Persaraan kepada Encik Zulkifli.


Terima kasih diucapkan kepada Ustazah Farihah dan Puan Farhana atas segala khidmat dan bakti yang telah dicurahkan kepada sekolah. Didoakan agar kedua-dua guru akan terus cemerlang di tempat yang baharu. Kepada Encik Zulkifli, terima kasih yang tidak terhingga atas khidmat dan komitemen yang telah diberikan sepanjang bertugas di SEMESRA. Seluruh warga SEMESRA mengucapkan Selamat Bersara kepada Encik Zulkifli dan didoakan agar terus sihat dan bahagia disamping keluarga tersayang.

Program Perjumpaan Akademik Tingkatan 4 Siri 2 2016

Sebagai persediaan SPM 2017, hari ini telah diadakan Perjumpaan Akademik Tingkatan 2 Siri Kedua di Surau An-Nur, SEMESRA.

Keputusan dan analisis Peperiksaan Selaras SBP Akhir Tahun telah dipaparkan dan dirumuskan oleh Setiausaha Peperiksaan Pn Normizah bt Ngatenah. 


Penyelaras Program Kecemerlangan SPM, Puan Sabariah pula telah memberikan idea kepada para pelajar cara bagaimana untuk memperbaiki prestasi akademik mereka semasa cuti sekolah akhir tahun ini.


Perjumpaan Akademik ini diakhiri dengan ucapan Pengetua SEMESRA Pn Norzila binti Idris. Beliau melahirkan harapan beliau agar pelajar-pelajar Tingkatan 4 2016 dapat mengorak langkah awal bagi memastikan persediaan SPM 2017 mereka adalah rapi agar kejayaan cemerlang dapat dicapai dalam peperiksaan tersebut.


Pengetua juga telah mengambil kesempatan untuk memberi hadiah kepada dua pelajar Tingkatan 4 yang berjaya mendapat 9A dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2016. Tahniah diucapkan kepada Khairilanwar bin Kamarudin dan Gan Sin Yee atas kejayaan cemerlang ini. Lebih membanggakan apabila Khairilawar berjaya menempatkan diri di tangga ke-10 dalam Senarai Pelajar Terbaik Tingkatan 4 SBP Malaysia. Tahniah!

Diharapkan agar pelajar-pelajar Tingkatan 4 dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan kecemerlangan akademik mereka dalam SPM 2017.

16 November, 2016

Kuiz Sejarah Peringkat Negeri 2016

Pada hari ini telah diadakan pertandingan Kuiz Sejarah peringkat Negeri di SMK Bukit Saujana, Port Dickson. SEMESRA telah menghantar 4 pelajar bagi mewakili sekolah dalam pertandingan ini. 


Alhamdulillah, SEMESRA telah muncul sebagai Johan Negeri apabila berjaya menewaskan 3 pasukan lain di peringkat akhir. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan kuiz ini atas kejayaan yang sangat cemerlang.


Tahniah sekali lagi kepada pelajar-pelajar atas kejayaan ini. Tidak lupa juga kepada guru pembimbing yang telah memberi tunjukajar sehingga membuahkan kejayaan ini. 

13 November, 2016

Pertandingan Olimpiad Matematik dan Sains Negeri Sembilan 2016

Tahniah diucapkan kepada pasukan SEMESRA yang telah menyertai Pertandingan Olimpiad  Sains dan Matematik Peringkat Negeri Sembilan yang telah diadakan di Kolej Vokasional Ampangan pada 11 November lalu. Pasukan sekolah telah memenangi 2 emas bagi kategori Matematik, 1 emas bagi kategori Sains dan 1 gangsa bagi kategori Sains.

Lebih membanggakan apabila Muhammar Ammar bin Arifin telah muncul Naib Johan dalam pertandingan ini dan layak untuk mewakili Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pahang pada bulan Februari tahun hadapan.


Tahniah diucapkan kepada semua peserta serta guru-guru pembimbing atas kejayaan yang sangat cemerlang ini. Didoakan agar Ammar akan berjaya mengulangi kejayaan yang cemerlang ini di peringkat kebangsaan pula.

12 November, 2016

Kejohanan Olahraga Tahunan Ke-7 2016

Pada 11 November yang lalu telah diadakan Kejohanan Olahraga Tahunan Peringkat Sekolah kali ke-7. Ia telah dirasmikan oleh Datuk Azhar bin Mohamed, YDP PIBG SEMESRA.


Buat kali ke-7, rumah Johan Pahlawan sekali lagi muncul sebagai Johan Keseluruhan bagi kejohanan ini. Tahniah diucapkan kepada atlit-atlit rumah Johan Pahlawan yang berjaya mengekalkan gelaran ini. Tahniah juga diucapkan kepada semua pelajar yang telah menyumbang tenaga untuk memastikan kejohanan ini berjalan dengan lancar.

10 November, 2016

Sparkcamp 2016

Pada 8 - 9 November yang lalu telah diadakan SPARK Camp di Dewan Perpatih, PPD Rembau. SEMESRA telah menghantar 6 pelajar untuk menyertai aktiviti tersebut.


Peserta-peserta aktiviti ini telah diminta untk merekacipta satu aplikasi smartphone untuk perniagaan untuk dibentangkan. Kesemua pelajar SEMESRA yang terlibat dengan sukarela telah menjadi pembentang bagi kumpulan masing-masing.

Tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang terlibat kerana mempunyai daya inisiatif dan keberanian dalam mengemukakan pandangan. Semoga pendedahan ini akan dapat membantu anak-anak SEMESRA untuk terus berkeyakinan dan bersemangat dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

07 November, 2016

Selamat Berjuang Prodigy II!

Bermula pada hari ini sehingga 27 November, seramai 162 pelajar Tingkatan 5 SEMESRA akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Seluruh warga SEMESRA mendoakan agar batch Prodigy II akan dapat menjawab soalan dengan baik serta dikurniakan dengan kesihatan yang sempurna sepanjang minggu peperiksaan.

Warga SEMESRA telah berkesempatan untuk sama-sama mendoakan kejayaan cemerlang calon-calon SPM ini dalam perhimpunan pagi yang telah diketuai oleh Ustaz Amir. Seterusnya, semua pelajar serta guru-guru telah membuat terowong bagi mengiringi langkah pelajar-pelajar batch Prodigy II ke dewan peperiksaan.


Selamat berjuang diucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 5 SEMESRA. Semoga kejayaan yang gemilang menunggu anda semua. Kami, seluruh warga SEMESRA akan sentiasa mendoakan kejayaan pelajar-pelajar SPM SEMESRA.

05 November, 2016

Majlis Restu Ilmu SPM

Majlis Restu Ilmu bagi pelajar-pelajar SEMESRA yang bakal menduduki SPM telah diadakan pada Jumaat bersamaan 5 November yang lalu bertempat di Surau An-Nur, SEMESRA.

Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Penyelaras Program Kecemerlangan SPM, Puan Sabariah binti Samad dan diikuti oleh ucapan ringkas oleh Penolong Kanan SEMESRA, Cik Sharizan bin Sheikh Osman. 


Dalam majlis tersebut, calon-calon SPM juga telah dibekalkan dengan alat tulis untuk kegunaan semasa peperiksaan nanti. Alat-alat tulis tersebut telah diserahkan kepada pelajar-pelajar oleh guru tingkatan masing-masing.


Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi bersalam-salaman bersama guru-guru.