29 January, 2014

Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia 2014

Hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia bagi tahun persekolahan 2014. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Zaifulbahri bin Idris, ADUN Chembong.

Majlis bermula pada pukul 2.30 petang dan selepas ucapan ringkas daripada YB Zailfulbahri, bantuan persekolahan tersebut telah disampaikan kepada setiap pelajar SEMESRA.



Terima kasih diucapkan kepada YB Zaifulbahri yang sudi meluangkan masa bagi menyampaikan bantuan persekolahan ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa yang sempat bersama anak-anak mereka dalam majlis ini.

Diharapkan agar bantuan ini akan dapat membantu ibu bapa dan pelajar dalam memastikan kelengkapan persekolahan adalah lengkap dan mencukupi.

27 January, 2014

Jemputan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) 2014

Sukacita dimaklumkan bahawa Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) 2014 untuk pelajar-pelajar SEMESRA akan diadakan sebagaimana butiran berikut:

Tarikh & Hari: 28 Januari 2014 (Selasa)
Tempat: Dewan Dato' Hj Azam
Masa: 2.30 petang
Kadar Bantuan: RM100/setiap orang murid
Perasmi: YB Zaifulbahri b. Idris, YB ADUN Chembong

Sehubungan dengan itu, tuan/puan dijemput untuk menerima bantuan tersebut bagi pihak anak/jagaan tuan/puan. Pihak sekolah juga berharap tuan/puan akan memantau penggunaaan bantuan tersebut supaya dapat digunakan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh tuan/puan.

Sekian, harap maklum.

26 January, 2014

Majlis Penutup Minggu Silaturrahim Pelajar Tingkatan 1 2014

Pada 25 Januari yang lalu telah diadakan Majlis Penutup Minggu Silaturrahim bagi Pelajar Tingkatan 1. Majlis ini merupakan kemuncak bagi Minggu Silaturrahim yang telah berlangsung selama 2 minggu. Selain daripada guru-guru dan para pelajar, majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa.

Selepas ucapan daripada Pengetua Kanan SEMESRA Pn Hjh Norzila bt Idris serta YDP PIBG SEMESRA Tn Hj Dahalan bin Abdullah, seorang wakil pelajar Tingkatan 1 iaitu Saudara Ahmad Naufal bin Ahmad Rithaudin (1 Einstein) telah diberi peluang untuk memberi ucapan.


Seterusnya para pelajar Tingkatan 1 telah mempersembahkan persembahan mereka kepada hadirin yang hadir.


Selepas persembahan, hadiah telah disampaikan oleh YDP PIBG SEMESRA kepada semua pemenang bagi semua pertandingan yang telah diadakan sepanjang minggu silaturrahim tersebut.


Majlis diakhiri dengan lafaz ikrar oleh semua pelajar Tingkatan 1 tahun 2014.


Selamat datang sekali lagi diucapkan kepada semua pelajar baru Tingkatan 1. Diharapkan agar kecemerlangan anda semua di sekolah rendah akan dapat dipertingkatkan di sekolah baru ini. Semoga kehadiran pelajar-pelajar baru Tingkatan 1 ini akan menjadikan SEMESRA terus gemilang.

24 January, 2014

Perjumpaan Pelajar-pelajar Tingkatan 5 bersama Pengetua Kanan SEMESRA 2014

Satu perjumpaan pelajar-pelajar Tingkatan 5 bersama Pengetua telah diadakan pada 21 Januari yang lalu bertempat di Dewan Dato' Haji Azam. Ia adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat serta menetapkan matlamat bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini.

Perjumpaan ini telah dikendalikan oleh Puan Sabariah binti Samad, Guru Cemerlang Matematik Tambahan yang merupakan Penyelaras bagi Program Kecemerlangan Tingkatan 5. Beliau mengingatkan para pelajar agar mempunyai matlamat yang jelas dan terperinci bagi memastikan hala tuju yang tepat.



Dalam taklimat, Pengetua Kanan SEMESRA mengingatkan para pelajar agar belajar bersunguh-sunguh mengikut teknik pembelajaran  dan strategi yang sesuai bagi mempertingkatkan kecemerlangan diri. Keputusan yang cemerlang sesungguhnya akan memberi kelebihan kepada para pelajar dalam menempatkan diri di kalangan yang terbaik kelak.


Pertemuan ini juga telah dihadiri oleh guru-guru Tingkatan 5 dan diharapkan agar pertemuan ini dapat dijadikan titik tolak dalam usaha semua pihak mencapai kecemerlangan.

23 January, 2014

Mesyuarat Agung Badan Uniform 2014

Pada hari Rabu yang lepas telah diadakan Mesyuarat Agung Badan Uniform bagi tahun 2014. Mesyuarat telah bermula pada pukul 3.30 petang selepas perhimpunan kokurikulum yang ringkas di dataran perhimpunan.


Tahniah kepada semua AJK yang telah dilantik. Semoga pelantikan anda ini akan dapat terus memacu SEMESRA ke arah kecemerlangan.

21 January, 2014

Perjumpaan Mentor Mentee Kali Pertama 2014

Pada Isnin yang lepas telah diadakan Perjumpaan Mentor Mentee Kali Pertama. Setiap kamar telah dipertanggunjawabkan kepada seorang guru yang akan menjadi mentor kepada ahli-ahli kamar, 

Pada perjumpaan kali ini, mentor-mentor telah berkesempatan untuk berkenalan dengan mentee masing-masing.



Program mentor mentee ini akan dijalankan setiap bulan dan diharapkan agar dengan adanya perjumpaan ini, para pelajar akan mempunyai tempat mengadu jika mereka menghadapi kesulitan samada di sekolah, asrama ataupun dalam pembelajaran.

15 January, 2014

Sambutan Maulidur Rasul 2014

Semalam telah diadakan Sambutan Maulidur Rasul anjuran Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Badan Dakwah dan Rohani SEMESRA.

Ia telah dimulakan dengan perarakan dan bacaan selawat oleh warga SEMESRA. Perarakan ini telah bermula dari astaka hingga ke dewan besar.
 

Pada tahun ini SEMESRA telah berpeluang untuk mendengar ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Nor Azamir bin Alias, Timbalan Mufti Negeri Sembilan.

 

Sebelum bersurai, rumah Johan Pahlawan telah diumumkan sebagai pemenang bagi Pertandingan Selawat manakala rumah Kelana Petra berjaya memenangi Kategori Sepanduk Terbaik pada sambutan kali ini.

Tahniah kepada semua yang telah berjaya melapangkan masa bagi memeriahkan sambutan ini. Semoga sambutan ini akan dapat dijadikan landasan untuk sentiasa mengingati Nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah dianggap beriman di kalangan kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (HR Bukhari)

14 January, 2014

Mesyuarat Agung Persatuan dan Kelab 2014

Pada 13 Januari yang lalu telah diadakan Mesyuarat Agung bagi Persatuan dan Kelab. Pelajar-pelajar telah berkumpul di dataran perhimpunan sebelum mesyuarat berlangsung.


Selepas pemilihan ahli jawatankuasa bagi persatuan dan kelab masing-masing, ahli-ahli dengan bimbingan guru-guru penasihat telah berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada tahun ini.

Tahniah diucapkan kepada semua pengerusi serta ahli jawatankuasa yang telah dilantik. Semoga persatuan dan kelab di bawah pimpinan anda akan dapat bergerak aktif dan  mencapai kejayaan cemerlang pada tahun ini.

08 January, 2014

Pendaftaran Pelajar Baru Tingkatan Satu

SEMESRA mengalu-alukan kedatangan seramai 133 pelajar baru Tingkatan Satu hari ini. Pelajar-pelajar baru ini telah datang mendaftar bermula pada pukul 8 pagi di Dewan Dato' Hj Azam diiringi oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.


Selepas pendaftaran, satu taklimat ringkas telah diberi oleh Pengetua Kanan Pn. Norzila bt Idris. Beliau juga telah memperkenalkan barisan pengurusan, guru-guru kelas Tingkatan 1 serta warden-warden asrama.

Selepas taklimat, para pelajar baru kemudiannya telah diperkenalkan dengan abang dan kakak angkat masing-masing sebelum bergerak ke asrama.


Selamat datang warga baru SEMESRA. Semoga anda akan terus dapat menyambung legasi kecemerlangan SEMESRA, insyaAllah.

07 January, 2014

Gotong Royong Asrama 2014

Pada 5 Januari iaitu bersamaan hari Sabtu yang lalu telah diadakan gotong royong bagi asrama. Semua pelajar lelaki dan perempuan telah membersihkan dan menceriakan kamar masing-masing dibawah seliaan warden-warden serta pihak pengurusan.


Diharapkan agar asrama pelajar lelaki dan perempuan adalah lebih selesa dan ceria selepas gotong royong ini dijalankan.

05 January, 2014

Gotong Royong Perdana Sekolah 2014

Hari Sabtu yang lepas telah diadakan satu Gotong Royong Perdana Sekolah yang melibatkan para guru serta pelajar SEMESRA. Sebelum aktiviti gotong-royong bermula, para guru dan pelajar telah berhimpun di dataran perhimpunan bagi mendengar sedikit taklimat berkaitan dengan gotong-royong yang telah disampaikan oleh penyelaras aktiviti iaitu Puan Nuraini Salihin.


Selepas taklimat, para guru dan pelajar bergerak ke bilik-bilik atau kawasan-kawasan yang telah ditetapkan untuk kerja pembersihan.


Aktiviti gotong royong ini selesai pada pukul 12.30 tengah hari. Diharapkan agar para pelajar akan terus memastikan kebersihan dan keceriaan bilik masing-masing berkekalan agar sesi pembelajaran akan dapat dijalankan dalam keadaan yang selesa.