29 September, 2013

Hari Ko-kurikulum dan HEM 2013

Pada 28 September 2013 telah diadakan Hari Anugerah Kokurikulum dan HEM di Dewan Dato' Haji Azam. Majlis ini diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang telah berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang HEM dan Kokurikulum.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Tuan Haji Rosland bin Hussein.


Dalam ucapannya, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada SEMESRA kerana berjaya melakar nama dalam usianya yang masih baharu. Beliau berharap agar semua pelajar dapat memperlengkapkan diri bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dari segi kepimpinan untuk bersaing hebat dengan pelajar-pelajar yang lain.

Selepas itu, telah disampaikan hadiah kepada guru-guru dan pelajar-pelajar yang berjaya mengharumkan nama SEMESRA.


Pada tahun ini, kelas 2 Al-Razi telah berjaya merangkul Anugerah Kelas Terbaik Sepanjang Tahun.

Rumah Akhirul Zaman pula telah dinobatkan sebagai Johan bagi Anugerah Rumah Terbaik 2013.


Tahniah diucapkan kepada semua guru dan pelajar yang berjaya mendapat anugerah pada kali ini. Bagi yang kurang berjaya, diharapkan agar tidak berputus asa. Teruskan usaha pada tahun hadapan.

25 September, 2013

Jemputan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin SPM

Sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin bagi pelajar Tingkatan 5 akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh      : 11 Oktober 2013
Tempat    : Surau SEMESRA
Masa        : 9 pagi

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah dengan berbesar hati menjemput ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar Tingkatan 5 untuk bersama-sama ke majlis ini. Terima kasih atas perhatian dan kerjasama tuan/puan.

Takwim Bulan Oktober

Untuk makluman dan rujukan ibu bapa dan penjaga SEMESRA, berikut dipaparkan takwim bagi bulan Oktober.

*click to enlarge

19 September, 2013

Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-56

Semalam telah diadakan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan di Dewan Dato' Haji Azam. Majlis bermula pada pukul 7.10 pagi dan telah dirasmikan oleh Puan Hajah Norzila binti Idris, Pengetua Kanan SEMESRA.

Dalam ucapan beliau, Pengetua Kanan SEMESRA mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah sama-sama menjayakan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan berlangsung. Beliau berharap agar aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan telah berjaya memupuk semangat cintakan negara di kalangan para pelajar.

Para hadirin kemudiannya telah dipersembahkan dengan satu deklamasi sajak oleh Amira Athira bt Zamrus dari Tingkatan 1 Chopin yang merupakan johan bagi Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotisme.

Kemudian hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengetua Kanan kepada pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dipertandingan sepanjang Bulan Kemerdekaan kali ini.



Sebelum bersurai, para hadirin telah dihiburkan dengan persembahan pemenang bagi Pertandingan Lagu-lagu Patriotik iaitu Aiza Raihana dari Tingkatan 2 A-Razi. Para hadirin juga berpeluang untuk menyaksikan tayangan multimedia mengenai pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan.

Tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa pengelola bulan ini. Semoga warga SEMESRA akan terus bersemangat untuk memperbaiki diri demi kebaikan diri dan bangsa.

16 September, 2013

Majlis Jalinan SEMESRA SPM

Satu pertemuan antara guru, pelajar dan ibu bapa pelajar Tingkatan 5 telah diadakan pada 13 September yang lalu. Ia bertujuan untuk berbincang tentang langkah-langkah yang perlu diambil oleh semua pihak bagi membantu pelajar-pelajar Tingkatan 5 untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mereka.

Majlis ini telah bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari.


Diharapkan agar pertemuan ini dapat dijadikan titik tolak bagi semua terutamanya para pelajar dalam membuat persiapan menghadapi peperiksaan. Semoga kejayaan 9A+ akan menjadi milik semua pelajar Tingkatan 5 SEMESRA.

15 September, 2013

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin PMR

Pada 13 September yang lalu telah diadakan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin bagi para pelajar PMR yang akan menghadapi peperiksaan mereka tidak lama lagi.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengetua Kanan SEMESRA Puan Hajah Norzila binti Idris. Dalam ucapan, beliau mengucapkan terima kasih atas kedatangan para ibu bapa ke majlis tersebut dan berharap agar semua pihak akan dapat bersama-sama membantu memastikan pelajar-pelajar Tingkatan 3 adalah berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi peperiksaan mereka.


Yang di-Pertua PIBG Tuan Haji Dahalan bin Abdullah telah dapat bersama-sama meluangkan masa untuk hadir dalam majlis ini. Solat Hajat dan bacaan Yassin telah dipimpin oleh Ustaz Nadzarul Amir.


Diharapkan agar seluruh warga SEMESRA akan terus mendoakan kejayaan para pelajar Tingkatan 3 dalam peperiksaan PMR mereka yang akan berlangsung pada 2 Oktober nanti. Kepada semua para pelajar Tingkatan 3, diharapkan akan terus membuat persediaan yang terbaik bagi memastikan kejayaan 8A di dalam genggaman.

11 September, 2013

Karnival Pendidikan Kerjaya Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Zon Selatan 2013

SEMESRA telah menganjurkan Karnival Pendidikan Kerjaya Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Zon Selatan pada 10 September yang lalu. Ia diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai informasi terkini berkaitan peluang-peluang melanjutkan pelajaran dan keperluan tenaga kerja pada masa depan.


Pelbagai pertandingan yang telah dianjurkan sempena karnival ini termasuklah Folio Kerjaya dan Eksplorasi Alam Kerjaya (EAK).



Selain daripada pertandingan, terdapat juga pameran-pameran pendidikan yang disertai oleh institusi-institusi pendidikan awam dan swasta.


 Majlis perasmian penutup bagi karnival ini telah disempurnakan oleh Encik Shamsuddin Mustapha, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusiaan & Kepimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan.


Hadiah-hadiah juga telah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang dijalankan.


Tahniah diucapkan kepada pasukan SEMESRA yang diwakili oleh Mohd Nazri bin Abu Hassan,Suhaza Afifi bin Sulaiman, Ameera Irisha bt Idrus dan Nur Sakinah bt Sabarudin kerana telah berjaya mendapat tempat saguhati dalam Pertandingan EAK.


Terima kasih kepada semua atas penglibatan demi menjayakan karnival ini. Semoga ia telah dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya pelajar-pelajar Tingkatan 5.

01 September, 2013

Majlis Perpisahan Guru

Satu majlis khas untuk guru-guru yang berpindah telah diadakan pada Jumaat yang lalu di Dewan Dato' Haji Azam. Majlis dimulakan dengan ucapan Pengetua Kanan Puan Hajah Norzila binti Idris. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru yang berpindah atas segala khidmat yang diberikan kepada SEMESRA.


Majlis diteruskan dengan ucapan daripada guru-guru yang diraikan iaitu Cik Nur Farhana, Dr. Rohaidah binti Kamaruddin dan Puan Norhayati binti Yusoff.

 Cik Nur Farhana binti Abdul Rahman

Dr. Rohaidah binti Kamaruddin

 Puan Norhayati binti Yusoff

Kemudian, wakil guru-guru dan para pelajar telah diberi peluang untuk menyampaikan hadiah kepada guru-guru ini sebagai tanda kenangan.


Untuk pengetahuan semua,  Cik Nur Farhana akan bercuti mengikut suami manakala Dr Rohaidah pula akan meneruskan perkhidmatan beliau sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Puan Norhayati telah bertugas sebagai 'caretaker' bagi SM Sains Perempuan Seremban yang akan dibuka tidak lama lagi.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada guru-guru ini atas segala khidmat yang telah dicurahkan kepada sekolah. Semoga guru-guru ini akan terus cemerlang di tempat yang baharu.