23 September, 2012

Majlis Penyerahan Tugas Lembaga Pemimpin Pelajar sesi 2011/2012 dan Pengumuman Calon Pengawas Percubaan sesi 2012/2013


Pada 19 September yang lalu telah diadakan Majlis Penyerahan Tugas Lembaga Pemimpin Pelajar bagi Sesi 2011/2012. Majlis telah diadakan di Dataran Perhimpunan semasa perhimpunan pagi Rabu.

Majlis ini diadakan bagi memberi laluan kepada para pemimpin pelajar Tingkatan 5 yang sedang rancak membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan SPM mereka.

Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis diikuti dengan ucapan Ketua Pelajar Sesi 2011/2012 Sdr Muhammad Atif Haziq bin Roslan.

Sdr Atif mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru terutamanya pihak pentadbiran sekolah yang telah memberi kepercayaan kepada beliau dan rakan-rakan untuk membantu pihak sekolah dalam melicinkan perjalanan sekolah. Beliau memohon maaf bagi pihak pemimpin pelajar sesi 2011/2012 di atas mana-mana kekurangan dalam menjalankan tugas. Sebelum mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan selamat bertugas kepada kepimpinan yang baru.


Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Pengetua Kanan SEMESRA, Hjh Norzila binti Idris. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin pelajar sesi 2011/2012 yang telah banyak menyumbang bakti kepada sekolah dan berharap agar mereka akan terus membantu sehingga tamat pengajian mereka di SEMESRA.

Pengetua Kanan juga melahirkan hasrat kepada pemimpin-pemimpin yang baru agar berusaha untuk terus memperbaiki dan memantapkan sumbangan mereka kepada sekolah. Bagi pengawas percubaan pula, diharapkan agar prestasi baik akan dapat dikekalkan apabila dilantik kelak.



Seterusnya giliran Penolong Kanan HEM, En. Hj Azman bin Awang untuk mengumumkan nama-nama calon pengawas percubaan bagi sesi 2012/2013.


Akhirnya sekali telah diadakan sesi penyerahan tugas daripada wakil Pemimpin Pelajar 2011/2012 kepada wakil pemimpin pelajar 2012/2013.


Terima kasih diucapkan kepada semua pemimpin pelajar sesi 2011/2012 atas jasa dan khidmat yang telah disumbangkan kepada sekolah. Tahniah diucapkan kepada kepimpinan sesi 2012/2013, semoga semua yang telah dilantik akan dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah. Kepada calon-calon pengawas percubaan, selamat maju jaya. Semoga anda akan berjaya untuk menjadi sebahagian daripada badan kepimpinan pelajar SEMESRA pada tahun hadapan.

15 September, 2012

Jalinan SEMESRA Tingkatan 5

Pada 14 September yang lalu, telah diadakan Majlis Jalinan SEMESRA bagi para pelajar Tingkatan 5. Majlis ini diadakan bagi membolehkan para guru, ibubapa dan penjaga membincangkan prestasi akademik pelajar-pelajar dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM yang akan tiba tidak lama lagi.

Majlis ini bermula pada pukul 8.00 pagi di Dewan Dato' Haji Azam. Selepas pendaftaran, ibubapa yang hadir kemudiannya ke kaunter-kaunter subjek yang telah disediakan bagi sesi perbincangan dengan guru-guru subjek anak mereka.


Majlis tamat pada pukul 12.30 tengah hari. Diharapkan agar majlis perbincangan ini telah dapat membantu semua pihak terutamanya para pelajar dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan mereka sebagai persediaan menghadapi SPM.

14 September, 2012

Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan

Semalam, Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan telah diadakan dengan jayanya di Dewan Dato' Azam, SEMESRA. Majlis ini telah dimulakan dengan majlis bacaan Yassin dan Solat Hajat di Surau dan selepas itu, acara bersambung di Dewan Besar.

Warga SEMESRA yang telah berhimpun di dewan kemudiannya menyanyikan lagu Negaraku dengan diikuti oleh ucapan Pengetua Kanan SEMESRA. Dalam ucapan, beliau melahirkan harapan agar warga SEMESRA akan terus bersama-sama berusaha mengekalkan keamanan negara. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Majlis Sambutan yang telah berjaya menganjurkan pelbagai acara dan pertandingan bagi menyemai semangat patriotik di kalangan pelajar SEMESRA.


Seterusnya hadirin telah dihiburkan dengan persembahan pasukan koir rumah Lela Maharaja yang telah memenangi pertandingan koir bagi kategori Tingkatan 2.


Acara diteruskan lagi dengan persembahan sketsa kemerdekaan oleh johan pertandingan.


Seterusnya telah diadakan penyampaian hadiah bagi acara-acara yang telah dipertandingkan sepanjang bulan kemerdekaan ini. Antara acara-acara yang telah dipertandingkan adalah:

 Pertandingan Koir

 
 Pertandingan Aras Kemerdekaan



Pertandingan Poster dan Potrait Kemerdekaan


Explorace

 Kuiz Sejarah

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum Encik Zaili Azmi dan Pengetua Kanan SEMESRA, Pn Norzila bt Idris.

 

Rumah Lela Maharaja telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini. Majlis diakhiri dengan persembahan koir dari pelajar Tingkatan 1.


Sekalung tahniah kepada semua pemenang dan peserta semua pertandingan yang telah diadakan sempena Bulan Kemerdekaan tahun 2012. Diharapkan sambutan ini  telah dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik warga SEMESRA untuk sama-sama menghargai erti kemerdekaan yang sebenar.

11 September, 2012

Makluman Terkini

Untuk makluman semua ibu bapa dan penjaga serta para pelajar SEMESRA,

1. Minggu ini merupakan minggu outing bermalam (OB) bagi pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2, 4 dan 5. 

2. Ibu bapa dan penjaga pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 dibenarkan untuk menjemput anak masing-masing selepas pukul 12.30 tengahari pada 14 September (Jumaat) ini.

3. Bagi ibu bapa dan penjaga pelajar Tingkatan 5 pula, tuan/puan dibenarkan untuk membawa pulang anak masing-masing selepas perjumpaan Jalinan SEMESRA.

4. Para pelajar dikehendaki untuk pulang semula ke asrama pada hari Isnin (17 September) sebelum pukul 6.00 petang.

5. Bagi para pelajar yang menggunakan kenderaan awam, perkhidmatan bas untuk pulang semula ke SEMESRA adalah disediakan. Bas SEMESRA akan berada di Terminal One dari pukul 3 - 4.45 petang dan di stesen KTM dari pukul 5 - 5.15 petang. Oleh itu, bagi para pelajar yang memerlukan perkhidmatan bas untuk pulang ke SEMESRA bolehlah menunggu di tempat dan waktu yang telah ditetapkan.

Sekian, harap maklum.

06 September, 2012

Jemputan ke Majlis Jalinan SEMESRA SPM 2012

Sukacita dimaklumkan SEMESRA akan mengadakan Majlis Jalinan SEMESRA Tingkatan 5 pada ketetapan berikut:

Tarikh: 14 September 2012 (Jumaat)
Tempat: Dewan Dato' Haji Azam
Masa: 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah dengan penuh hormat dan sukacitanya menjemput tuan/puan untuk hadir ke majlis tersebut bagi membincangkan prestasi anak tuan/puan. Semoga kehadiran tuan/puan akan dapat sama-sama membantu bagi meningkatkan prestasi pencapaian akademik anak tuan/puan dalam peperiksaan SPM kelak.