31 July, 2012

Jemputan ke Program 'Jom Masak Bubur Lambuk!'

Sukacita dimaklumkan bahawa SEMESRA akan mengadakan satu program 'Jom Masak Bubur Lambuk' pada hari Sabtu ini.

Oleh itu, kepada semua ibu bapa dan/atau penjaga yang berkelapangan pada hari tersebut,  anda adalah dijemput hadir untuk memeriahkan lagi program istimewa bulan Ramadhan ini. Kepada kaum ibu, mohon untuk  membawa peralatan seperti pisau, landasan dan sebagainya bagi membuat persiapan bahan-bahan bubur lambuk ini.

Berikut adalah butiran program tersebut:

Tarikh: 4 Ogos 2012
Masa: 11pagi - 3 petang
Tempat: Kantin dan Tempat Parking Belakang Surau

Semoga kesudian ibu bapa dan penjaga ke program ini akan dapat menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadhan pada tahun ini.  

25 July, 2012

Majlis Perasmian Program Ihya' Ramadhan Dekat Dihati

Pada 23 Julai yang lalu, telah diadakan Majlis Perasmian Program Ihya' Ramadhan 2012 bagi mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Pengetua Kanan SEMESRA, Puan Hajah Norzila binti Idris di Dewan Dato' Haji Azam.

Majlis dimulakan dengan bacaaan suci Al-Quran dan terjemahan oleh Sdr Mikael dan Sdr Amir Muhammad Uqail, pelajar-pelajar Tingkatan 2. 


Seterusnya Ustaz Haikal Ash'ari telah dijemput ke pentas bagi slot 'Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan'.


Seterusnya, majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengetua Kanan SEMESRA. Program ini akan berlangsung dari 23 Julai hingga 16 Ogos 2012.


Selepas persembahan multimedia, Pengetua Kanan SEMESRA telah  menyampaikan Risalah Ramadhan yang telah disediakan oleh Badan Dakwah, Akhlak dan Rohani (BADAR) kepada semua ketua tingkatan. Risalah ini mengandungi informasi berguna mengenai bulan barakah ini untuk bacaan semua para pelajar dan guru.



Diharapkan agar semua warga SEMESRA akan mengambil peluang pada bulan Ramadhan ini untuk mencari ganjaran dan keredhaan Allah s.w.t. Semoga segala ibadah yang dikerjakan akan mendapat keredhaan-Nya, insyaAllah.

24 July, 2012

Karnival 1Murid 1Sukan Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Berasrama Penuh

Pada 11- 15 Julai yang lalu telah diadakan satu Karnival 1Murid 1Sukan Peringkat Kebangsaan bagi Sekolah-sekolah Berasrama Penuh di SMS Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan. Karnival kali ini melibatkan dua permainan iaitu Bola Jaring dan Ragbi.

SEMESRA telah menghantar 2 pasukan untuk menyertai karnival ini. Bagi permainan Bola Jaring, SEMESRA telah menentang 3 sekolah dalam pusingan awal. Dalam perlawanan antara SEMESRA dan SM Sains Machang, SEMESRA tewas  nipis dengan kiraan mata 11-12. Perlawanan kedua pula melibatkan SEMESRA dengan SM Sains Sabah dan SEMESRA menang dengan jaringan 14 berbalas 11.  Dalam perlawanan ketiga pula, SEMESRA telah berjaya menundukkan SMS Tunku Abdullah dengan 14 jaringan berbalas 8.

Dengan kemenangan ini, SEMESRA telah berjaya ke pusingan yang seterusnya. SEMESRA telah bertemu SMS Pasir Putih namun tewas dengan mata 18-10. 


Bagi sukan ragbi pula, SEMESRA bertemu SMS Sultan Abdul Halim dalam pertemuan pertama mereka. SEMESRA tewas dengan mata 0-43. Perlawanan kedua pula melibatkan SEMESRA dan SBPI Selandar dan sekali lagi SEMESRA tewas dengan kiraan mata 0-34. Namun begitu, SEMESRA telah berjaya menewaskan pihak lawan iaitu SMS Banting dalam perlawanan sketiga mereka dengan mata 25-0.

Kemenangan ini telah membolehkan SEMESRA untuk layak ke peringkat SPOON. SEMESRA berjaya menewaskan SMS Kuala Terengganu (10-0) namun gagal menewaskan SAMURA apabila tewas dengan kiraan mata 5-20.
 

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan kerana telah berjaya memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain yang jauh lebih berpengalaman. Semoga pengalaman ini akan terus memantapkan lagi persembahan kedua-dua pasukan.

12 July, 2012

Senamrobik 1Murid, 1Sukan, 1Malaysia 2012

Pada 10 Julai yang lalu, telah diadakan Senamrobik 1Murid, 1Sukan, 1Malaysia. Acara ini telah bermula seawal pukul 7 pagi di padang SEMESRA dan melibatkan para pelajar dari Tingkatan 1, 2 dan 4.


Selepas ucapan daripada Pengetua Kanan, Pn. Hjh Norzila binti Idris, sesi pemanasan badan pun bermula. Selepas itu, senamrobik yang juga diadakan serentak di semua sekolah seluruh negara pun bermula.

Senamrobik ini telah dikendalikan oleh 6 orang pelajar tingkatan 4 Chopin dengan bimbingan guru-guru sukan.



Acara senamrobik ini tamat pada pukul 8.30 pagi dan sesi P&P dijalankan seperti biasa selepas itu. Semoga dengan adanya acara senamrobik ini telah dapat menggalakkan para pelajar untuk mengamalkan amalan hidup yang sihat.

05 July, 2012

Lawatan Sambil Belajar SK Tunku Muda Serting

Pada 19 Jun yang lalu, SEMESRA telah menerima kunjungan dari SK Tunku Muda Serting. Seramai 106 pelajar diiringi oleh 6 orang guru dari sekolah tersebut telah datang ke SEMESRA untuk satu lawatan sambil belajar.


Lawatan ini merupakan satu lawatan motivasi bagi para pelajar SK Tunku Muda Serting untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR mereka. Mereka telah didedahkan kepada kehidupan SBP dan kelebihan-kelebihan berada di sini.
 

Terima kasih diucapkan kepada SK Tunku Muda Serting atas lawatan ini. Semoga lawatan sambil belajar ini dapat memberi perangsang kepada para pelajar sekolah tersebut untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam peperiksaan mereka bagi merebut peluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di sekolah berasrama penuh, insyaAllah.

02 July, 2012

Bengkel Penampilan Diri dan Mock Interview

Unit Bimbingan dan Kaunseling SEMESRA telah mengadakan satu bengkel penampilan diri dan juga sesi 'mock interview' bagi para pelajar SPM tahun ini. Bengkel ini telah diadakan pada 26 Jun yang lalu dari pukul 8.30 pagi hingga 2.00 petang di Dewan Dato' Haji Azam.

Sepanjang bengkel yang dianjurkan oleh UBK dengan kerjasama konsultan yang dijemput khas, para pelajar telah didedahkan kepada perkara-perkara asas yang perlu diketahui semasa proses menghadiri temuduga. ereka juga telah dibantu dalam persediaan menghadapi temuduga dari segi fizikal dan mental.


Selain daripada itu, para pelajar telah didedahkan dengan soalan-soalan lazim temuduga. Diharapkan agar bengkel ini telah dapat membantu para pelajar dalam membuat persediaan bagi temuduga-temuduga berkaitan kursus, biasiswa dan sebagainya. Semoga ilmu yang diperolehi sepanjang bengkel ini akan dapat dimanfaatkan oleh para pelajar ini.

01 July, 2012

Kejohanan Olahraga SEMESRA Kali Ketiga

Semalam telah berlangsung Kejohanan Olahraga Kali Ketiga bagi Sekolah Menengah Sains Rembau. Kejohanan ini telah dirasmikan oleh En. Baharudin bin Jali, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.


Kejohanan dimulakan dengan perarakan masuk skuad perbarisan dari keempat-empat rumah sukan dengan didahului oleh Ketua Pelajar dan Ketua-ketua Rumah. Pada kejohanan kali ini, pasukan kawat KRS telah diberi perhormatan untuk mengetuai perbarisan masuk rumah-rumah sukan. Tema kejohanan pada tahun ini ialah 1Malaysia.




Pelbagai acara sukan telah dipertandingkan termasuklah acara lari 100m, 400m, Lompat Tinggi dan sebagainya.

 


Selain daripada acara sukan, perbarisan dan hiasan khemah rumah juga telah dipertandingkan. Bagi Kategori Perbarisan Terbaik, rumah Akhirul Zaman telah dinobatkan sebagai pemenang. Rumah Lela Maharaja pula telah memenangi Kategori Hiasan Rumah Terbaik.



Pada tahun ini, terdapat juga acara yang dipertandingkan bagi kategori guru dan staf. Untuk acara larian 5 X 20 m, guru-guru dan staf dari rumah Akhirul Zaman telah berjaya menjadi Johan manakala guru-guru dan staf dari Lela Maharaja telah berjaya menjadi Naib Johan.


Bagi acara lontar peluru lelaki, acara ini telah dimenangi oleh En. Fairos (AZ), tempat kedua telah dimenangi oleh En Rizal (KP) manakala tempat ketiga pula oleh En. Mohd Saufi (JP). Bagi kategori perempuan pula, Cik Noraini (AZ) telah menjadi johan, Cik Riyanti (LM) telah memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi pada Cik Nurul (JP).


Acara terakhir kejohanan kali ini ialah acara tarik tali antara rumah Akhirul Zaman dan Lela Maharaja. LM telah mengungguli acara ini dengan kemenangan 2-0.


Seterusnya telah diadakan acara penyampaian hadiah kepada semua pemenang. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh tetamu-tetamu jemputan kejohanan.



Anugerah Olahragawan Kejohanan Kali Ketiga telah diberikan kepada Mohd Hazim Mohd Shafie (JP) sementara Olahragawati pula ialah Aimi binti Sayuti (LM).



Rumah Johan Pahlawan pula telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi kejohanan ini buat kali yang ketiga  berturut-turut.



Tahniah diucapkan. Kepada semua pemenang, sekalung tahniah diucapkan dan bagi yang belum lagi berjaya meraih pingat sukan, cuba lagi di kejohanan tahun hadapan.