20 August, 2011

Bubur Lambuk dan Majlis Berbuka Puasa

Semalam telah diadakan acara bubur lambuk dan Majlis Berbuka Puasa di SEMESRA sempena bulan Ramadhan yang mulia ini.

Untuk acara bubur lambuk, para pelajar telah dibahagikan mengikut tingkatan masing-masing dimana setiap tingkatan akan memasak bubur lambuk mereka sendiri dengan bimbingan Penyelaras Tingkatan dan guru-guru.

Walaubagaimanapun, memandangkan para pelajar Tingkatan 5 masih lagi menghadapi peperiksaan percubaan mereka, persediaan bubur lambuk mereka telah dibantu oleh para pelajar Tingkatan 4.

Persediaan untuk bubur lambuk bermula selepas waktu sekolah di mana para pelajar perempuan telah berkerjasama menyediakan semua bahan yang diperlukan untuk bubur lambuk ini. Kemudiannya, para pelajar lelaki turut sama membantu selepas mereka selesai menunaikan solat Jumaat.


menyiapkan bahan-bahan


proses memasak


Puan Pengetua turut turun padang untuk acara ini


bubur lambuk yang sudah siap sedia untuk diagihkan

Bubur lambuk yang sudah siap dimasak kemudiannya telah dimasukkan ke dalam bekas plastik untuk proses pengagihan kepada semua warga SEMESRA. Alhamdulillah, seluruh warga SEMESRA berpeluang untuk merasa bubur lambuk yang telah disediakan.

Pada malamnya pula, telah diadakan satu majlis berbuka puasa di Dewan Makan SEMESRA. Warga SEMESRA yang berkelapangan telah dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan suasana.



Semoga dengan adanya aktiviti-aktiviti ini akan dapat merapatkan ukhuwah sesama warga SEMESRA.

19 August, 2011

Latihan Kebakaran

Semalam telah diadakan satu latihan kebakaran untuk warga SEMESRA. Tepat pada pukul 1, isyarat kecemasan telah kedengaran di ruang udara SEMESRA. Para pelajar SEMESRA dengan iringan guru-guru kemudiannya bergerak ke arah astaka mengikut laluan-laluan yang telah ditetapkan.



kelihatan para pelajar bergerak ke astaka


pelajar berhimpun mengikut kelas masing-masing

Seluruh warga SEMESRA berjaya dikumpulkan di kawasan astaka pada pukul 1.15 petang dan kemudiannya guru-guru tingkatan diminta untuk menyemak nama kehadiran para pelajar. Guru-guru pula perlu melapor diri kepada Ustaz Haikal selalku Pengerusi Kelab Guru dan Staf SEMESRA.


guru-guru tingkatan melapor kehadiran pelajar kepada Ustaz Amir

Mengikut laporan yang diterima, ada beberapa pelajar yang gagal untuk berkumpul di astaka. Diharapkan perkara ini tidak akan berlaku di masa-masa akan datang kerana ia melibatkan soal keselamatan nyawa.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan latihan kebakaran SEMESRA yang pertama ini. Semoga langkah keselamatan ini akan dapat membantu memastikan tiada kemalangan jiwa jika berlakunya kebakaran.

18 August, 2011

Pelancaran Bulan Patriotisme

Pagi ini Bulan Patriotisme SEMESRA telah selamat dilancarkan oleh Pengetua Kanan, Puan Hjh Norzila bt. Hj Idris. Majlis telah diadakan semasa perhimpunan pagi di Dataran Perhimpunan.

Pengetua Kanan SEMESRA di dalam ucapan perasmiannya menyeru agar semua pelajar dapat sama-sama menunjukkan rasa cinta terhadap negara. Beliau berharap dengan adanya perasan cintakan negara, para pelajar akan lebih bersemangat untuk memperbaiki diri demi kesejahteraan negara kerana merekalah bakal pemimpin negara ini.



Seterusnya, Puan Pengetua telah menyampaikan bendera kepada ketua-ketua tingkatan sebagai simbolik pelancaran bulan patriotisme ini.


bendera-bendera yang diagihkan


antara ketua tingkatan yang menerima bendera

Selain daripada pelajar, guru-guru juga telah menerima bendera bagi sama-sama memeriahkan sambutan bulan patriotisme ini.


guru menerima bendera masing-masing

Kemudian seluruh warga SEMESRA telah dijemput untuk sama-sama menyanyikan lagu Keranamu Malaysia.

Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh Panitia Sejarah bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan ini. Antaranya adalah pertandingan sudut bacaan, kuiz dan sebagainya.

Diharapkan agar dengan adanya aktiviti-aktiviti ini, para pelajar akan mempunyai lebih kesedaran akan pentingnya untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

16 August, 2011

Majlis Perpisahan En. Jasmi bin Md Tegol

Hari ini SEMESRA kehilangan seorang lagi guru yang berwibawa iaitu Encik Jasmi bin Md Tegol. Hari ini merupakan hari terakhir beliau di SEMESRA kerana beliau akan berpindah ke SMK Lubok China atas urusan kenaikan pangkat.

Satu majlis ringkas telah diadakan semasa perhimpunan pagi ini bagi menyampaikan rasa terima kasih sekolah kepada beliau. Pengetua Kanan SEMESRA, Puan Norzila bt. Hj Idris merakamkan sekalung penghargaan kepada Encik Jasmi atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh beliau kepada sekolah. Puan Pengetua juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kenaikan pangkat yang diterima oleh Encik Jasmi.

Dalam ucapan balas, Encik Jasmi mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga SEMESRA atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang beliau di sekolah ini. Beliau juga memohon kemaafan jika ada terkasar bahasa sepanjang pergaulan beliau di sini.


ucapan terakhir Encik Jasmi

Bagi para pelajar Tingkatan 5, beliau berjanji akan meluangkan masa untuk membuat kelas tambahan selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi membantu para pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Seterusnya, pihak majlis telah menyampaikan sedikit cenderamata untuk kenang-kenangan serta ucapan terima kasih sekolah kepada Encik Jasmi.


Ustaz Haikal, wakil Kelab Guru dan Staf

Kehilangan ini akan dirasai oleh seluruh warga SEMESRA kerana sumbangan beliau kepada sekolah bukan sahaja di dalam bidang akademik bahkan bidang ko-kurikulum khususnya sukan badminton. Selain daripada itu, ahli-ahli rumah Johan Pahlawan juga akan kehilangan Ketua Guru Rumah mereka.

Perpindahan Encik Jasmi yang berpengalaman mengajar Bahasa Melayu selama 20 tahun sudah semestinya merupakan satu kehilangan yang besar kepada SEMESRA. Walaubagaimanapun, pihak sekolah redha akan perpisahan ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

12 August, 2011

Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia Fasa 2 Parlimen Rembau

Disertakan makluman untuk ibubapa atau penjaga bagi pelajar-pelajar yang terlibat dengan perkara yang disebut di atas.




* click for larger view

Kerjasama dari semua pihak adalah amat diharapkan bagi melancarkan urusan penyerahan komputer ini. Terima kasih.

08 August, 2011

Jalinan Semesra PMR & SPM

Untuk makluman ibubapa dan penjaga para pelajar Tingkatan 3 dan 5, sekolah akan menganjurkan satu majlis Jalinan Semesra mengikut ketetapan yang berikut:





* click for larger view

Kehadiran ibubapa dan penjaga adalah amat diharapkan demi kecemerlangan anak-anak kita dalam peperiksaan PMR dan SPM yang menjelang tiba.

04 August, 2011

Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan Dekat di Hati

Pada Isnin yang lalu, telah selamat disempurnakan Majlis Pelancaran Ihya' Ramadhan Dekat di Hati. Majlis ini telah dianjurkan oleh Badan Dakwah, Akhlak dan Rohani (BADAR) SEMESRA dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam SM Sains Rembau.



Majlis telah bermula seawal 7.15 pagi dengan ketibaan Puan Pengetua, Penolong-penolong Kanan serta Guru-guru Kanan Mata Pelajaran ke Dewan Dato' Haji Azam. Selepas ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis, sidang yang dirahmati Allah telah diperdengarkan dengan bacaan suci Al-Quran oleh Saudara Danial Hidayat.


bacaan ayat-ayat suci Al-Quran

Selepas itu, slot 'Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan' telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Shahizam b. Harun. Dalam slot ini, Ustaz Shahizam telah memberi penerangan mengenai hukum berpuasa serta kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi oleh seseorang yang berpuasa.


slot 'Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan'

Seterusnya, Pengetua Kanan Hjh Norzila bt. Hj Idris telah dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis pelancaran Ihya' Ramadhan Dekat di Hati ini.



upacara simbolik Majlis Pelancaran



Sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini, pelbagai aktiviti keagamaan akan dijalankan. Antaranya adalah Tadarus Al-Quran, Kuiz Ramadhan, Sehari Satu Tip, Tayangan Ramadhan serta Qiamullail. Sebelum bersurai, satu tayangan multimedia oleh BADAR telah dipersembahkan kepada para hadirin.

Selamat datang diucapkan kepada bulan yang penuh barakah, bulan Ramadhan. Kepada semua warga SEMESRA serta ibubapa dan penjaga, diucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan semoga amal ibadah kita akan diterima olehNya.