30 July, 2011

Majlis Perpisahan Cik Mariah binti Abdul Rahman

Semalam telah diadakan satu majlis perpisahan untuk Guru Cemerlang Matematik Tambahan, Cik Mariah Abdul Rahman yang akan berpindah ke SM Sains Banting, Selangor.

Pengetua Kanan, Puan Norzila binti Hj Idris di dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala sumbangan yang telah diberikan oleh Cik Mariah kepada sekolah. Beliau seterusnya mengucapkan selamat maju jaya kepada Cik Mariah yang akan berkhidmat di sekolah baru.

Di dalam ucapan beliau, Cik Mariah menyampaikan rasa terima kasih beliau kepada semua pihak di SEMESRA atas kerjasama yang telah diberikan. Beliau juga telah memberi sedikit nasihat kepada para pelajar supaya mereka akan terus cemerlang bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat juga. Antara kata-kata azimat yang telah dititipkan oleh beliau adalah 'If you want to get something you've never had, you must be ready to do something you've never done before'.


ucapan daripada Cik Mariah

Sedikit cenderamata telah disampaikan oleh pihak sekolah kepada Cik Mariah untuk tanda terima kasih dan penghargaan sekolah kepada beliau.


penyampaian cenderamata oleh Puan Pengetua

Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada Cik Mariah atas tunjuk ajar yang telah diberikan kepada semua sepanjang beliau berada di sini. Semoga Cik Mariah akan terus berjaya di dalam bidang perguruan.

28 July, 2011

Bengkel Sinar Gemilang Matematik PMR 2011

Pada 22 sehingga 24 Julai yang lalu, Panitia Matematik SEMESRA telah menganjurkan satu bengkel khusus untuk para pelajar Tingkatan 3.

Objektif bengkel ini adalah untuk meningkatkan kemahiran menjawab soalan-soalan Matematik PMR serta mengupas topik-topik yang dianggap sukar oleh para pelajar.

Para pelajar Tingkatan 3 telah dibahagikan kepada 26 kumpulan kecil mengikut prestasi peperiksaan pertengahan tahun yang lepas. Setiap kumpulan ini pula telah diberi fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 yang terpilih.



Pelajar-pelajar ini telah melalui 8 siri bengkel mengikut topik-topik yang telah ditetapkan dan diakhiri dengan satu 'post test' ntuk menguji tahap keberkesanan bengkel ini terhadap mereka.

Dengan adanya bengkel ini, adalah diharapkan agar para pelajar Tingkatan 3 adalah lebih bersedia untuk menghadapi PMR yang akan tiba tidak lama lagi.

25 July, 2011

Pertandingan Robotik Peringkat Negeri Sembilan 2011

Pada 20 dan 21 Julai yang lalu, SEMESRA telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Robotik Peringkat Negeri Sembilan.

Pertandingan adalah terbuka kepada dua kumpulan iaitu kumpulan sekolah rendah dan kategori sekolah menengah. Bagi sekolah rendah, pertandingan telah diadakan pada hari Rabu. Sebanyak 40 pasukan telah mengambil bahagian di dalam Kategori Sekolah Rendah dan 10 lagi pasukan telah mengambil bahagian dalam Kategori Terbuka Sekolah Rendah.



antara sekolah-sekolah rendah yang mengambil bahagian

Pada hari kedua, sebanyak 80 pasukan sekolah menengah dari seluruh Negeri Sembilan telah mengambil bahagian dalam kategori Kategori Sekolah Menengah. 10 pasukan lagi telah mengambil bahagian dalam Kategori Terbuka Sekolah Menengah.



antara sekolah-sekolah menengah yang mengambil bahagian

SEMESRA juga telah menghantar dua pasukan bagi pertandingan ini. Walaubagaimanapun, tuah tidak menyebelahi mereka apabila tiada pasukan SEMESRA yang berjaya memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan.



antara aksi pasukan-pasukan SEMESRA

Tahniah diucapkan kepada semua warga SEMESRA kerana berjaya menganjurkan pertandingan ini dengan baik. Bagi pasukan robotik sekolah, tahniah atas semangat dan usaha yang ditunjukkan. Semoga pasukan sekolah akan terus berusaha untuk menempatkan diri di kalangan yang terbaik.

20 July, 2011

Program Khidmat Bakti SEMESRA - SK Lui

Pada 15- 17 Julai yang lalu, seramai 23 pelajar Tingkatan 4 SEMESRA berserta guru-guru pengiring telah sama-sama ke Felda Sungai Lui untuk satu Program Khidmat Bakti antara SEMESRA dan SK Sungai Lui.

Semasa majlis perasmian program, guru besar SK Sungai Lui merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan atas inisiatif yang telah dibuat oleh SEMESRA dalam membantu anak-anak Felda tersebut.

Menurut beliau, ini merupakan program khidmat bakti yang julung-julung kalinya diadakan di situ dan beliau berharap agar program ini akan menjadi titik tolak untuk program-program lain di antara dua sekolah ini.

Seterusnya, telah diadakan satu majlis penyerahan anak angkat di mana pelajar-pelajar SEMESRA telah diberikan keluarga angkat mereka masing-masing sepanjang program ini berlangsung. Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Azman b. Awang telah sudi menyempurnakan majlis penyerahan anak angkat ini.


majlis penyerahan anak angkat

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti yang telah dijalankan untuk memupuk kesedaran akan pentingnya ilmu kepada anak-anak Felda ini. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah SBP Matlamatku, Resepi Kejayaan, Slot Matematik dan Bahasa Inggeris serta Slot Azam dan Cita-citaku.


slot resepi kejayaan


sukaneka

Sepanjang 3 hari 2 malam, para pelajar SEMESRA telah berpeluang untuk memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada anak-anak FELDA Sg. Lui tentang peluang dan kebaikan berada di sekolah Berasrama Penuh.

Selain daripada itu, mereka juga telah berpeluang untuk menikmati kehidupan di luar bandar dan pastinya ia merupakan satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan oleh mereka.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada guru-guru yang telah sama-sama membantu dalam mencari sumbangan bagi menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada Puan Nuraini Salihin bekas guru SK Sg. Lui yang kini merupakan guru di SEMESRA kerana banyak membantu dalam melicinkan urusan program ini.

Diharapkan agar program ini akan dapat diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah luar bandar yang lain demi kemajuan anak bangsa.


bergambar kenangan di akhir program

16 July, 2011

Kem Penggalakkan dan Penyelidikan Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2011

Seramai enam orang pelajar SEMESRA telah terpilih untuk mewakili Negeri Sembilan ke Kem Penggalakkan dan Penyelidikan Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan yang telah berlangsung dari 4 - 8 Julai yang lalu di SMK Kemena Bintulu, Sarawak.

Kem ini bertujuan untuk memberi pendedahkan kepada para pelajar mengenai ancaman-ancaman yang dihadapi oleh alam sekitar dewasa ini. Selain daripada itu, para pelajar juga telah diberi pendedahan tentang pentingnya penguasaan ilmu sains dan teknologi dalam usaha menentukan kesejahteraan alam sekitar.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah Ceramah Biodiversiti dan Pemanasan Global, Treasure Hunt di Taman Tumbina, lawatan ke Kelab Kidurong dan Pelabuhan Bintulu serta Pertandingan Rekacipta Model berkaitan dengan Pemanasan Global.

Kontingen Negeri Sembilan yang diwakili oleh para pelajar SEMESRA telah berjaya mengharumkan nama sekolah apabila muncul Naib Johan Keseluruhan. Bukan itu sahaja, dua orang pelajar SEMESRA telah dinobatkan sebagai peserta terbaik program ini.


gambar kontinjen bersama guru pengiring Cik Norhayati Sidi
serta GPK Kokurikulum dan Pengetua Kanan SEMESRA


Mohd Zharfan Nafiq telah berjaya menjadi Peserta Terbaik Lelaki manakala Ameera Irisha pula telah berjaya menjadi Peserta Terbaik Perempuan.


dari kiri: Haziq Shahrin, Mohd Zharfan, Hafiz Nurhakim,
Nur Shahirah, Alia Nadhira dan Ameera Irisha


Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta kem ini kerana telah berjaya mengharumkan nama sekolah. Semoga ilmu yang diperolehi akan dapat dimanfaatkan demi kepentingan bersama.

15 July, 2011

Larangan Membawa Peralatan atau Barang Terlarang

Adalah dimaklumkan.


*click for larger view

Sumbangan Permaidani Surau SEMESRA

Kepada semua ibubapa dan penjaga,



*click for large view

11 July, 2011

Perasmian Bulan Kecergasan

Pada Sabtu yang lalu, Bulan Kecergasan telah berjaya dilancarkan di SEMESRA. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Pengetua Kanan SEMESRA, Pn. Hjh Norzila bt Hj Idris di Dewan Dato' Hj Azam.


Antara objektif Bulan Kecergasan ini dilancarkan adalah untuk memupuk semangat untuk hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti sihat seperti sukan dan sebagainya. Pelancaran bulan ini bukan sahaja telah dilakukan di SEMESRA bahkan ia telah dilakukan serentak di semua sekolah seluruh Negeri Sembilan.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sempena pelancaran Bulan Kecergasan ini termasuklah senamrobik dan perlawanan bola sepak antara rumah.


senamrobik


pertandingan bola sepak

Diharapkan agar pelancaran bulan ini dapat memberi kesedaran kepada semua pelajar akan pentingnya untuk menjalani kehidupan yang sihat. Badan yang cergas akan menghasilkan otak cerdas.

07 July, 2011

Outing Bermalam Ditunda

Adalah dimaklumkan bahawa outing bermalam yang dijadualkan pada minggu ini iaitu dari 8 - 10 Julai adalah ditangguhkan kepada minggu hadapan iaitu dari 15- 17 Julai.

Pada hari Sabtu ini bersamaan 9 Julai, lawatan adalah tidak dibenarkan. Ibubapa hanya dibenarkan untuk melawat anak-anak pada hari Ahad bersamaan 10 Julai mulai pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Harap maklum. Terima kasih diucapkan atas kerjasama semua pihak.

05 July, 2011

Jalinan Semesra

SEMESRA telah berjaya mengadakan majlis Jalinan Semesra untuk kali kedua pada Sabtu yang lalu. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada ibubapa, guru-guru dan para pelajar untuk berbincang demi kebaikan bersama.

Majlis ini bermula seawal pukul 9 pagi di mana ibubapa para pelajar Tingkatan 3 dan 5 telah dijemput hadir untuk sama-sama berbincang demi kejayaan anak-anak di dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi tidak lama lagi.





perjumpaan tiga penjuru

Bagi para pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4, sesi mereka bermula dari pukul 2 - 4 petang. Selain daripada perbincangan akademik, turut dipaparkan ialah keputusan para pelajar SEMESRA di peringkat SBP.



Para ibubapa juga berkesempatan untuk mengemaskini pembayaran yuran anak-anak mereka di kaunter-kaunter khas yang telah dibuka khas untuk tujuan ini.

Majlis berakhir lebih kurang pada pukul 5 petang.

Terima kasih diatas kesudian para ibubapa untuk hadir di majlis ini. Semoga keprihatinan kita akan terus memberikan semangat kepada anak-anak untuk lebih berusaha di dalam pencapaian akademik mereka, insyaAllah.

03 July, 2011

Larian Serentak 1 Murid, 1 Sukan

Pada Sabtu yang lepas telah diadakan satu larian sempena Larian 1 Murid, 1 Sukan. Larian ini bukan sahaja telah diadakan di SEMESRA tetapi ia merupakan larian yang diadakan serentak di seluruh Malaysia.

Para pelajar SEMESRA telah berkumpul sejak awal pagi untuk acara ini. Sebelum berlepas, para pelajar dikehendaki untuk membuat sedikit senaman memanaskan badan untuk mengelakkan diri daripada mengalami kekejangan otot.



Mereka telah dilepaskan oleh YDP PIBG Semesra iaitu Hj Dahalan bin Abdullah.



Larian ini hanya sejauh 2 km dan para pelajar berjaya menamatkan larian mereka pada pukul 8 pagi.


wajah gembira selepas menamatkan larian